Saturday 30 July 2011

TIPS ELAK RIAK


- oleh BayangDiAir

Riak adalah  rasa bangga di dalam hati yang membuatkan diri terasa hebat. Sifat ini sekeluarga dengan ‘ujub, samaah dan takabur. Ujub lantunan rasa ajaib akan kehebatan diri, samaah buat supaya orang dengar-dengar kehebatan diri dan takabbur membesar diri apabila bercakap. Senang cakap sifat-sifat ini adalah milikan orang-orang yang jahil dalam beragama.

Apabila tidak belajar agama, seseorang itu tidak sedar bahawa perbuatan itu sangat bersalahan di sisi agama. Itulah sifat pembakar amal. Beramal ibadat banyak tetapi pulangannya kosong. Contohnya, malam bertahajud, pagi esok sudah cerita kepada rakan sepejabat. Tak sampai sehari, amal sudah jadi kosong. Tahun lepas banyak bersedekah di bulan puasa, tahun ini mengungkit balik apa yang dilakukan setahun lepas. Padam pula pahala. Inilah yang dikatakan pembakar amal.

Ingat, jangan pakai pakaian kebesaran Ilahi ini. Bukankah iblis itu merupakan hamba Allah yang taat; penghuni syurga lagi. Hanya kerana sekali takabbur, iblis dinyahkan daripada syurga. Iblis rasa dirinya mulia kerana diperbuat daripada api sedangkan Adam daripada tanah. Dia enggan sujud kepada Adam apabila Allah perintahkan. Iblis menyarungkan pakaian kebesaran Allah dengan  sifat takabbur tadi. Nah, dia menunggu azab di akhirat kelak.

Bagaimana hendak mengelakkan diri daripada sifat-sifat mazmumah ini? Tidak senang juga untuk mengatasinya. Kadang-kadang perasaan hebat ini datang  sendiri tanpa diundang; hanya orang jahil yang wewenang riak dan takabbur. Penulis juga selalu diganggu lintasan-lintasan pembakar amal ini. Astaghfirullah sahajalah. Cuma satu sahaja penulis hendak kongsi bersama. Apabila mari lintasan itu, lalu diri ini kembalikannya kepada Allah. Buang cepat-cepat mainan iblis  itu lalu  diganti dengan rasa syukur melalui iktikad bahawa ‘ ya Allah, syukur aku kepada-Mu kerana memilih aku untuk menzahirkan sifat mulia-Mu melalui tanganku, lidahku dan anggotaku’.

Dua  misalan diberikan. Pertama, jika kita banyak berderma. Hakikatnya duit yang kita dermakan itu hak Allah yang dipinjamkan kepada kita. Allah hendak beri sebahagiannya kepada fakir miskin lalu Allah laksanakannya melalui tangan kita yang juga milik Allah juga sebenarnya. Habis di mana lebih dan hebatnya kita? Kedua, jika kita banyak berzikir. Allah hendak membesarkan diri-Nya sendiri melalui lidah kita. Lidah juga milik-Nya. Lagi tiada lebih dan hebatnya kita. Yang patut ada ialah rasa syukur tadi. Mengapa? Kerana Allah memuliakan kita dengan cara memilih kita untuk menzahirkan kemuliaan dan kehebatan-Nya. Maka tiadalah  lagi perkara yang hendak dibanggakan sebaliknya  melimpahlah rasa kesyukuran.Semoga perkongsian ilmu ini menjadi pahala yang berpanjangan untuk guru-guruku, diriku dan para dai’ yang memanjangkannya pula kepada hamba-hamba Allah yang melata di muka bumi ini.

Wednesday 27 July 2011

TIPS BERGUNA UNTUK PENDIRI SOLAT.


- oleh BayangDiAir

Selain khusyuk, ada elemen lain yang sangat penting semasa kita hendak mendirikan solat. Elemen itu juga mampu menjana kekhusyukan di dalam solat. Dan yang paling penting ialah teras kepada tujuan solat itu sendiri yang kita dambakan. Sepertimana yang diketahui, kualiti solat setiap orang adalah berbeza. Ia bergantung kepada kesempurnaan wuduk, bacaan dan fe’el ( qauli dan fe’li) dan yang pentingnya kekhusyukannya.

Sebenarnya ada satu sudut penting solat yang mesti diidamkan oleh setiap pendiri solat. Sebelum itu, mengapa dikatakan sebagai ‘pendiri solat’ atau ‘mendirikan solat’? Melalui frasa ini Allah hendak menjelaskan betapa solat itu perlu dijaga sebagaimana bangsa Arab menjaga pokok yang bermutu tinggi. Kayu daripada batang pokok yang berkualiti itu dipilih sejak benihnya, dijaga dengan sempurna daripada gangguan serangga perosak atau binatang liar. Pembesaran pokok ini dipantau dan ditatang sejak benih hinggalah pokok tadi menjadi cukup matang. Proses inilah dimaksudkan sebagai ‘mendirikan’, yakni mendirikan sebatang pokok yang berkualiti.

Pokok inilah nanti akan dijadikan bilah-bilah panah yang akan digunakan untuk berburu dan senjata di medan tempur. Panah yang berkualiti, laju dan tepat ini dapat dihasilkan daripada  pokok yang didirikan dengan sempurna ini. Inilah kelaziman dan budaya bangsa Arab, bangsa awal yang menerima perintah al-Quran. Justeru itu, Allah mengaitkan budaya ini dengan konsep yang dikehendaki oleh Allah dalam kata ‘mendirikan solat’.

Berbalik kepada sudut penting yang perlu diidamkan oleh pendiri solat. Sudut tersebut ialah niat mengapa solat itu didirikan kerana Allah? Mengapa bersusah-payah bertoharoh, berwuduk, menyalin pakaian bersih, bergegas mencari surau atau masjid dan akhirnya mengambil masa untuk bersolat? Banyak jawapannya, antaranya kerana iman, kerana menyahut seruan Ilahi, kena pahala yang berganda dan sebagainya. Melalui tulisan ini, penulis ingin berkongsi sesuatu yang besar dan amat murni.

Jawapannya ialah kita mendirikan solat adalah kerana ingin ‘rapat dengan Allah dan Rasulullah’. Ya, ingin rapat dan intim dengan Kekasih. Justeru itu, semasa menghampar sejadah atau membetul-betulkan kedudukan atau saf dan sebelum mengangkat takbir, lahirkanlah di dalam minda dan jiwa, ya seluruh minda dan jiwa bahawa ‘ya Allah, aku mendirikan solat ini nanti adalah kerana aku terlalu ingin rapat denganMu dan dengan RasulMu suatu hari nanti di di syurga kelak’.

Inilah bahan perkongsianku. Terima kasih kepada guruku yang menitipkan ilmu  kepadaku. Dan terima kasih ya Allah kerana memilih aku untuk dimasukkan kefahaman ini.


Tuesday 26 July 2011

RAMADHAN: Perbanyakkan Mohon Ampun.

Setiap kita mempunyai dosa samada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja.  Apatah lagi kita yang hidup pada zaman mutakhir ini, kita sering kalah dengan godaan luaran dan pujukan nafsu dalam diri kita sendiri.  Kita sepatutnya berasa malu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala disebabkan oleh kelemahan ini.
Walaupun begitu, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sentiasa tahu kelemahan kita.  DIA tahu kita selalu lupa.  DIA tahu kita sering gagal menghindari dosa.  Dan DIA tahu fitrah manusia yang mahu kembali kepadaNYA.  Betapa baiknya DIA, betapa lembutnya DIA dengan kita.  Kita seharusnya berterima kasih dengan sungguh-sungguh kerana DIA sentiasa bersedia memberi keampunan kepada hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat.
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah az-Zumar 39:53)
Malah, ALLAH ‘Azza wa Jalla sangat gembira dengan sikap hamba-hambaNYA yang mahu bertaubat dan kembali kepadaNYA.  Dalam sebuah hadith, ada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang lebih kurang maksudnya:
“Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di tengah-tengah padang gurun.”  (HR Bukhari & Muslim)
Nah, lihatlah betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta’ala menerima taubat orang yang bertaubat.  Justeru, jangan putus asa dan kecewa.  Walau banyak mana pun dosa kita, insyaALLAH DIA akan terima taubat kita.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan.  Aku tidak peduli.  Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.)
SubhanALLAH, bisa menitis air mata kita tatkala mengenangkan betapa Pemurahnya DIA, betapa Pengampunnya DIA, betapa tak kisahnya DIA akan dosa kita yang menggunung, DIA tetap akan terima kita jika kita mahu kembali kepadaNYA, betapa lembutnya DIA terhadap kita, betapa Penyayangnya DIA.  ALLAH…ALLAH…ALLAH…

Monday 25 July 2011

MENGAPA BERKOMPROMI DENGAN ARAK?


- oleh BayangDiAir

Cara mudah kutip dana ialah mengadakan  majlis makan sambil berceramah di hotel. Satu kerusi RM50 atau RM100. Kalau 200 kerusi, penganjur mudah-mudah dapat bersih RM3 000 hingga RM10 000. Itu tidak termasuk kutipan derma yang dilancarkan dalam majlis tersebut.
Namun begitu timbul persoalan. Bolehkah makan-minum di hotel yang menyediakan minuman keras? Allah melarang keras kerja mengurus, membawa, menghidang, membeli dan  meminum arak. Bekerja dan berurusan dengan minuman keras ini salah, maka tidak salahkah majlis-majlis dianjurkan di hotel yang memang ada peti dan botol najis  ini.
  
Apakah kita terlepas pandang kerana kita tidak pernah didedahkan ( dihidangkan) mimuman keras secara terbuka dalam majlis-majlis yang dianjurkan. Kalaulah botol-botol arak sewenang-wenang dipamerkan di sudut-sudut tertentu di hotel, sudah pasti kita tidak akan berkompromi lagi.

Walaupun kita tidak terpandang botol-botol dan iklan minuman keras, tetapi kita amat pasti bahawa minuman keras itu berada di sana. Justeru itu, wajarkah kita berada di dewan-dewan indah hotel sambil menikmati hidangan dan ucapan sedangkan secara tidak langsung kita telah membantu survival hotel yang mesra minuman keras?

Kini PAS sudah terbiasa mengadakan program ‘makan sambil ceramah’ di hotel. Umat Islam secara individu atau berkeluarga juga kerap berbuka puasa di hotel. Kalaulah perkara ini masuk dalam kategori syubahat sahaja pun, seeloknya gerakan Islam dan umat Islam menjauhi tempat-tempat mesra arak ini. Individu, organisasi dan jabatan kerajaan hendaklah mencari alternatif lain. Pilihlah hotel atau restoran yang bebas minuman keras. Ingatlah, kalau orang yang menghidangkan arak pun sudah dikira haram, apakah pengunjungnya juga  tidak dikira haram? Fikir-fikirkan.

Sunday 24 July 2011

MEMANG QUEEN MEMEPERLI PM MALAYSIA

JARANG sekali Ratu Elizabeth mengenakan satu sut pakaian dengan tema warna yang sama dengan warna jambangan bunga di istananya untuk menyambut tetamu kehormat dari luar negara, kecuali tetamu yang hadir itu benar-benar dianggap istimewa.

Sebagai contoh, gambar berikut diambil semasa pertemuan rasmi Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyip Erdogan bersama Ratu Elizabeth pada 31 Mac 2011 yang lalu.

Ratu England itu mengenakan baju berwarna biru muda terang manakala jambangan bunganya pula berwarna warni. Saksikan juga gambar-gambar Ratu Elizabeth bersama tetamu-tetamu kehormat yang lain (sila gunakan google).


Berbeza dengan pertemuan Ratu Elizabeth bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan isteri. Ratu England itu memilih warna khas(pink) sebagai tema untuk menyambut Presiden negara kuasa besar itu.

Malah jambangan bunga di istananya juga sengaja dipilih berwarna merah jambu(pink) untuk menggambarkan bahawa beliau adalah tetamu yang lebih istimewa berbanding tetamu-tetamu kehormat lain.


Inilah bahasa diplomatik, bagi menyampaikan mesej tertentu di kalangan bangsawan England. Tapi malangnya, Perdana Menteri Malaysia turut menerima "sindiran diplomatik" apabila Ratu Elizabeth menyambutnya dengan warna tema kuning.

Mesej jelas dari Ratu Elizabeth kepada pentadbiran kerajaan Rosmah Mansor di atas kekejaman terhadap perhimpunan aman BERSIH 2.0.



ReJaM© "Lady Gajah tak paham sindiran diplomatik, dia sebok jeling cincin Queen Elizabeth..."

JIHAD PALING BESAR

Semua maklum bahawa hukum berjihad adalah wajib, tetapi bagaimana kedudukannya dalam Islam? Di dalam Islam kedudukan jihad jatuh nombor tiga setelah rukun Iman dan rukun Islam.
Mengapa jihad itu dianggap besar? Setelah Rukun Iman dan Rukun Islam, jihad adalah yang paling utama, dia menjadi nombor satu, dia jadi besar. Mengapa?
Kita cuba ambil satu ayat Quran, Allah berfirman, “Innallahastara minal mukminina anfusahum waamwalahum liannahumul jannah. “
Maksudnya, “Sesungguhnya Allah akan membeli pada diri orang-orang beriman itu dirinya dan harta-hartanya dengan balasan syurga “.

Itu tawaran Allah, karena jihad itu besar maka disuruh beli. Jihad itu ada yang lahir ada yang batin. Dari segi lahirnya jihad menentukan hidup mati Islam. Kalau ada jihad hiduplah, kalau tidak ada jihad matilah. Dari segi batin, jihad menentukan seseorang itu terbangun insaniahnya atau sebaliknya. Tidak ada jihad punahlah insaniahnya.
Jihad secara lahiriah semua sudah tahu iaitu membangun ekonomi Islam, membangun sistem hidup Islam, membangun pendidikan Islam, membangun kebudayaan Islam, membangun kesihatan Islam, berperang jika terpaksa dan lain-lain. Tetapi Rasulullah SAW sangat menekankan tentang adanya jihad yang batin, maknawi atau jihad melawan hawa nafsu. Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, “Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? ” Baginda berkata, “Peperangan melawan hawa nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Rasulullah mengajak kita untuk meninggalkan satu peperangan, satu perjuangan atau satu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu. Orang yang berperang melawan nafsu ini nampak seperti duduk-duduk saja, tidaklah sesibuk orang lain, tapi sebenarnya sedang membuat kerja yang besar iaitu berjihad melawan nafsu.
Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi sangat susah. Mungkin kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan bisa kita pegang, mudahlah kita menekan dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada di dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh kita. Karena itu tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan untuk diperalat sekehendaknya.
Nafsu jahat dapat dikenal melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Dalam ilmu tasawuf, nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah. Di antara sifat-sifat mazmumah itu ialah sum’ah, riya’, ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak bicara, banyak makan, hasad, dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak, serakah, bakhil, sombong dan lain-lain. Sifat-sifat itu melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita malas menggosok sifat itu akan semakin kuat dan menebal pada hati kita. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan kuat menggosoknya maka hati akan bersih dan jiwa akan suci.
Nafsu itulah yang lebih jahat dari syaitan. Syaitan tidak dapat mempengaruhi seseorang kalau tidak meniti di atas nafsu. Dengan kata lain, nafsu adalah ‘highway’ atau jalan bebas hambatan untuk syaitan. Kalau nafsu dibiarkan, akan membesar, maka semakin luaslah ‘highway’ syaitan. Kalaulah nafsu dapat diperangi, maka tertutuplah jalan syaitan dan tidak dapat mempengaruhi jiwa kita. Sedangkan nafsu ini sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH sangat jahat.
” Sesungguhnya hawa nafsu itu sangat membawa pada kejahatan “
(Yusuf: 53)

Dan ini dikuatkan lagi oleh sabda Rasulullah; “Musuh yang paling memusuhi kamu adalah nafsu yang ada di antara dua lambungmu “.
Nafsu inilah yang menjadi penghalang utama dan pertama, kemudian barulah syaitan dan golongan-golongan yang lain. Memerangi hawa nafsu lebih hebat daripada memerangi Yahudi dan Nasrani atau orang kafir. Sebab berperang dengan orang kafir cuma sekali-sekali.
Nafsulah penghalang yang paling jahat. Mengapa? Kalaulah musuh dalam selimut, itu mudah dan dapat kita hadapi. Tetapi nafsu adalah sebahagian dari badan kita. Tidak sempurna diri kita jika tidak ada nafsu. Ini yang disebut musuh dalam diri. Sebahagian diri kita, memusuhi kita. Ia adalah jizmullatif – tubuh yang halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala, hanya dapat dirasa oleh mata otak (akal) atau mata hati. Oleh itu tidak dapat kita buang. Sekiranya dibuang kita pasti mati.
Nafsu adalah penghalang yang besar. Kalau hendak solat bukan mudah untuk mujahadah. Akhirnya terlambat solat subuh. Siapa yang membisikkan kepada kita? Itulah nafsu. Bukan mudah hendak berjuang dan berkorban. Bukan mudah hendak sabar apabila berhadapan dengan ujian. Bukan mudah untuk sabar, tidak berdendam dan membalas kejahatan musuh dengan doa dan kebaikan. Bukan mudah sebab nafsu tidak mahu. Begitu juga tidak mudah untuk menahan marah dan hendak memberi maaf orang yang berbuat salah dengan kita? Kita rasa terhina hendak memaafkan orang yang bersalah dengan kita. Lebih-lebih lagi kita yang bersalah, hendak minta maaf lebih sukar lagi. Terasa tergugat ego kita. Lebih-lebih bila ada jabatan dan pengaruh. Bukan mudah untuk ikut syariat, jika nafsu mengatakan jangan. Sebab itu barang siapa yang berjaya melawan hawa nafsu ia dianggap wira, hero atau pahlawan. Dianggap orang berani dan luar biasa. Sebab itu ada Hadis yang mengatakan;
“Tidak dianggap seseorang itu berani bila ia dapat mengalahkan musuhnya, tetapi dianggap berani, jika seseorang itu dapat melawan hawa nafsunya.
” Bukannya seperti yang terjadi hari ini, gelar “Tokoh” atau “wira” yang dikurniakan kepada seseorang, bila kita tinjau kehidupan mereka, kebanyakan mereka yang sudah dikalahkan oleh hawa nafsu. Itulah wira yang palsu. Wira yang sebenarnya wira ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya. Inilah yang dikatakan pejuang yang hakiki. Selama hawa nafsu tidak dapat diperangi selama itulah seseorang tidak akan tertuju kepada ALLAH. Tidak akan dapat benar-benar berkhidmat kepada ALLAH. Tidak akan jatuh cinta dengan ALLAH. Tidak akan memberi ketaatan yang sesungguhnya kepada ALLAH. Kalau nafsu tidak diperangi, tidak akan dapat hidup dalam kebenaran. Hidup dalam pimpinan ALLAH. Firman Allah dalam Al Qur’an maksudnya :
“Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu karena hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami. Sesungguhnya ALLAH itu beserta dengan orang yang buat baik”.
Ini jaminan dari Allah. Siapa sanggup melawan hawa nafsu, Allah akan tunjukkan satu jalan hingga diberi kemenangan, diberi bantuan dan tertuju ke jalan yang benar. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah.
Ertinya mereka mendapat pembelaan dari Allah sejak di dunia. Jadi siapa saja yang sanggup melawan hawa nafsu, dia adalah rijalullah (orang Allah, keluarga Allah, kepunyaan Allah, tentera Allah) Siapa yang menjadi kepunyaan Allah atau tentera Allah, dia akan dibantu oleh Allah. Tapi selama belum menjadi tentara Allah, sebaliknya menjadi tentera manusia atau tentera syaitan, Allah akan biarkan. Kalau diberi kemenangan, atas dasar kuat, bukan atas dasar bantuan. Manakala yang lemah akan diberi kekalahan.
Jadi seseorang itu mesti sanggup melawan hawa nafsu. Kalau tidak, banyak ajaran Islam yang terabaikan, banyak perintah ALLAH yang dilalaikan. Bila tidak dapat melawan hawa nafsu, banyak larangan ALLAH yang akan terbuat. Jadi hanya dengan melakukan mujahadatunnafsi, barulah ajaran Islam itu dapat kita amalkan sungguh-sungguh dan barulah maksiat lahir dan batin dapat kita tinggalkan, karena nafsu yang sangat menghalang itu sudah tidak ada lagi. Nafsu itu sudah kita didik, sudah kita kalahkan, dan sudah menjadi tawanan kita.

Saturday 23 July 2011

Elak Dari Memalukan ‘Organisasi’ Sendiri

Sedang saya makan di sebuah restoran milik bumiputera, tiba-tiba terdengar suara ‘perdebatan’ di antara majikan restoran dan si pembancuh air.  Saya tidak dengar suara majikan tersebut, tetapi kedengaran jelas suara si pembancuh air itu dari meja tempat saya duduk.  Sambil menjamah nasi dan lauk tengahari, terpaksalah juga telinga mendengar drama siaran langsung yang menyakitkan telinga.  Malu saya mendengarnya.
Disebabkan suara si pembancuh air itu kuat, jadi dapatlah saya dengar inti ‘perbualan’ mereka.  Si majikan cuba menegur sikap si pembancuh air yang marahkan pekerja baru yang tulis order tak jelas.  Dengan sikap defensive si pembancuh air tersebut, diluahkan macam-macam kepada si majikan.
Aduhai, bukankah perkara seperti ini boleh diselesaikan di sebalik tabir?  Kenapa perlu dizahirkan suara itu dengan kuat sehingga boleh didengari pelanggan?  Tidak malukah dengan pelanggan dan orang lain yang mendengarnya?

Situasi Sama Dalam Lain-lain Organisasi

Situasi di atas bukan sahaja berlaku di restoran berkenaan sahaja.  Malah ia berlaku dalam mana-mana organisasi, tidak kiralah samada di restoran, di pejabat, di sekolah, di ejensi-ejensi swasta atau kerajaan, di dalam persatuan dan di dalam rumahtangga pun perkara ini juga berlaku.
Kita biasa mendengar ada pekerja yang memburuk-burukkan syarikat mereka sendiri.  Ada sebilangan kakitangan kerajaan yang mendedahkan rahsia kerajaan.  Juga ahli persatuan yang mendedahkan keburukan dan kelemahan persatuan mereka ke pengetahuan umum.  Isi mesyuarat yang sepatutnya tidak didedahkan, tetapi didedahkan, malah disebarkan.  Suami isteri yang menghebohkan masalah rumahtangga dengan rakan mereka.  Dan banyak lagi.  Amat menyedihkan.
Perkara seumpama ini berlaku disebabkan oleh sikap individu-individu di dalam organisasi tersebut yang mungkin tidak mempunyai ‘sense of belonging’ yang tinggi terhadap organisasi mereka.  Faktor yang mungkin menyebabkan ini terjadi adalah suasana kerja yang tidak kondusif, tekanan kerja, ganjaran yang tidak memuaskan, masalah dengan rakan sekerja dan sikap ahli organisasi itu sendiri.
Saya lebih suka melihat ini semua lahir dari sikap sendiri.  Kerana sikap memainkan peranan utama dalam banyak hal.  Sebab itu sangat penting masing-masing menekankan ‘human capital’ sebagai asas dalam organisasi mereka.  Tanpanya, maka akan wujudlah sikap seperti di atas, malah mungkin lebih teruk lagi sehingga menjadi liabiliti dan kemusnahan secara diam kepada sesebuah organisasi atau institusi.

ISLAM Terfitnah Dengan Sikap Ummat ISLAM

Sedang saya mendengar ‘perdebatan’ antara majikan dan pembancuh air itu, di hati saya terlintas akan sikap sebilangan besar ummat ISLAM yang suka bergaduh dan bertengkar, malah label-melabel di antara satu sama lain.  Kebanyakannya hanyalah timbul dari perbezaan pendapat dan pandangan dalam soal-soal cabang dan ijtihadiah yang sepatutnya boleh diselesaikan di sebalik tabir dan di meja-meja rundingan.
Fenomena ini memberi gambaran yang buruk kepada masyarakat yang belum beragama ISLAM.  Sikap keras kepala, suka menuding jari dan tuduh-menuduh, suka label-melabel dengan gelaran yang bukan-bukan, sesat-menyesatkan, malah ada yang sehingga kafir-mengkafirkan menggambarkan seolah-olah di dalam ISLAM ini tiada kesejahteraan dan keamanan buat penganutnya.  Tidak habis-habis bergaduh dan bertengkar.
Bersederhanalah, berukhuwwahlah dan beradablah.  Soal perbezaan pandangan dan pendapat ini telah diselesaikan oleh para ulama sekian lama dahulu.  Mereka telah berlapang dada dan saling hormat-menghormati.  Perbezaan mereka adalah dalam lingkungan ilmu dan adab.  Contohilah para ulama dalam hal ini.  Jangan lebih sudu dari kuah.
Cukup-cukuplah bergaduh.  Bukankah kita ini ummat yang satu, ummatan wahidah.  Tidak sepatutnya kita melupakan asas yang penting ini.  Janganlah disebabkan oleh perkara-perkara remeh dan ranting, kita berpecah belah.
  • Bersederhanalah.  Jangan terlampau keras dan jumud.  Dan jangan pula terlampau longgar dan liberal.
  • Jagalah ukhuwwah dan persaudaraan sesama Muslim.  Ia barang yang terlalu tinggi nilainya untuk dijual dengan ego masing-masing.
  • Jagalah akhlaq sebaik mungkin kerana akhlaq adalah buah agama.  Malah antara tujuan utama Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam diutuskan ialah untuk menyempurnakan akhlaq.
  • Sebarang perbezaan pendapat dan pandangan hendaklah dihadapi dengan adab dan ilmu.  Serahkan hal ini kepada orang yang berkelayakan.  Jangan kita yang tidak layak pun hendak cakap sama.

Kesimpulan

Apa yang ingin saya simpulkan di sini ialah bahawa janganlah kita jadi seperti majikan dan si pembancuh air restoran dalam mukaddimah di atas.  Anggaplah ISLAM sebagai organisasi yang kita sayangi dan perlu kita bela.  Malah ia sebenarnya bukan setakat organisasi, malah lebih besar dari itu.  Ia adalah hidup dan mati kita.
Jagalah ISLAM betul-betul dan jauhilah perkara-perkara yang boleh menyebabkan ISLAM tertimpa malu dek perbuatan kita.  Perbuatan ummat ISLAM yang asyik bergaduh dan bertengkar hanya akan memberi imej yang buruk kepada agama yang kita semua sayangi ini.  Orang lain iaitu orang-orang yang belum ISLAM melihat fenomena ini suatu yang menjengkelkan mereka.  Mereka geleng kepala.  Malah mungkin ada juga di kalangan mereka yang memusuhi ISLAM yang bergembira dan bertepuk tangan apabila ummat ISLAM bergaduh sesama kita.
Justeru, selesaikanlah perbezaan pandangan dan pendapat yang ada di kalangan ummat ISLAM dengan cara yang hikmah.  Jangan biarkan ISLAM dipalit perangai buruk kita lantas menjadi tontonan ‘orang luar’.  Contohilah para ulama bagaimana mereka bertoleransi dan berlapang dada dalam soal-soal ‘dahan dan ranting’.
Kita adalah ummah yang satu.  Janganlah rosakkan organisasi kaum muslimin yang sangat besar dan mulia ini.  Jangan jadikan diri kalian muslim yang mencomotkan ISLAM yang cantik ini.  Ayuh, kita bersatu.  Ada perbezaan, selesaikan di sebalik tabir dan berbincanglah.  Jangan beri malu kepada ISLAM akibat perbuatan kita.
WAllahu Ta`ala A`lam.

Thursday 21 July 2011

Penjelasan Terhadap Artikel Yang Disisikanankan oleh Moderator TKO.


-oleh BayangDiAir
Tulisan di bawah disisikanankan oleh moderator Tranungkite, mungkin kerana tajuknya yang agak sinikal. Tulisan ini juga ditegur secara berhemah oleh seorang forumer. Penulis mengaku tulisan ini ada cacat-celanya. Namun sesiapa yang membaca dengan teliti, pasti dapat memahami maksud tersirat oleh penulis.

Sebenarnya penulis memberi respons terhadap isu penutupan pusat hiburan pada bulan Ramadhan di Kedah berpandukan berita maya The Malaysian Insider, Malaysiakini dan Tranungkite. Ini bermakna tulisan itu berpandukan kepada maklumat yang boleh dipercayai. Dan hujah penulis semakin ternyata apabila membaca membaca Harakah cetak keluaran Isnin lepas, edisi 1658. Penulis berharap agar pembaca telaah sendiri laporan pada mukasurat N22 di bawah tajuk “Enakmen diluluskan kerajaan BN”.   

Dalam berita Harakah itu, memang yang disebut ialah tentang penutupan pusat hiburan. Tiada satu perenggan pun memaklumkan bahawa pusat hiburan hanya ditutup untuk pengunjung beragama Islam. Atas sebab itulah terbitnya pandangan penulis demi menyelamatkan hubungan kerajaan Kedah dengan rakyat bukan Islam dan hubungan harmoni antara PAS dan DAP. Malah lebih dari itu, penulis ingin memperingatkan tentang konsep amalan beragama yang dibolehkan oleh Islam itu sendiri. Penulis yakin bahawa pandangan penulis itu benar. Kerana itulah kerajaan Kedah memutuskan kemudiannya bahawa hanya orang Islam dilarang mengunjunginya. Justeru itu tulisan itu adalah relevan dalam konteks saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati.

Berikut adalah petikan perenggan yang menjadi intisari penting dalam tulisan yang telah disisikanankan itu. Semoga pandangan penulis dapat menjadi sesuatu yang bermanfaat kepada perjuangan ini. Dan seperti biasa, penulis memohon maaf, sedia menerima teguran dan sedia mengakui sekiranya teguran itu lebih benar daripada penulis yang cetek maklumat dan ilmu ini. Tulisan penuh masih terdapat di http://dakwahkemaman.blogspot.com.

(Untuk makluman, penulis juga ditegur dalam artikel “Wira Yang Tak Terbela”. Sila bandingkan artikel saya  dengan kenyataan Tuan Guru Haji Hadi dalam Harakah terbaru, edisi 1659, mukasurat N3 di bawah tajuk “Pemukiman PAS rangka pendekatan hadapi PRU13”. Bezanya pandangan penulis keluar mendahului kenyataan Tuan Guru Presiden.)

_______________________________________________________________

Ini soal bukan hendak menang pilihanraya seperti ulasan Dr. Aziz Bari.? Ini soal hukum. Penulis tidak bersetuju sekiranya sesuatu isu itu dipandang dan ditangani kerana kepentingan politik semata-mata. Bukan kita tidak mahu kemenangan. Memang kita berpolitk dan berjuang kerana hendak menang. Kalau untuk kalah, baik duduk kat rumah bermain sama dengan anak bini saja. Ini persoalan hukum. Kalau Islam mengizinkan bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka, mengapa kita hendak memaksa norma kita ke atas mereka? Sebaliknya, jika kita wajib melaksanakan hukum Islam kepada semua rakyat jelata tanpa kira bangsa dan agama, mengapa pula ditarik balik ketegasan kita? Tentulah salah satunya tidak betul di sini.


Persoalannya ialah, mengapa rundingan  menang-menang ini tidak dilakukan awal-awal lagi sebelum  keputusan yang nampak tegas dibuat? Kalaulah rundingan mendahului  kenyataan, sudah pasti suasana tidak kecoh dan melukakan hati kedua-dua belah pihak; PAS dan bukan Islam. Bagi penulis, ini bukan lagi situasi menang-menang. Imej PAS sudah tercalar pada mata rakyat kerana kelihatan mengalah kepada ugutan DAP.



Konklusinya, sampai bilakah isu-isu agama ditangani secara semberono begini? Sampai bilakah kita hendak mengamalkan ‘buat keputusan, kemudian baru berunding? Dan sampai bilakah DAP akan terus bermain-main dengan ugutan? Awas, kita lalai sedangkan rakyat sedang membina persepsi.

Akhir kalam, penulis memohon ampun kepada Allah s.w.t. sekiranya pandangan penulis yang daif ini menyalahi hukum. Juga penulis memohon maaf kepada Ustaz Azizan sekiranya penulislah yang bersikap semberono dalam mengulas isu ini. Penulis sedia diperbetulkan.

Wednesday 20 July 2011

Wira Yang Tak Terbela


- oleh BayangDiAir
Di sesetengah negara, kematian seorang pejuang akan dibela habis-habisan dan menjadi simbol jihad kepada perjuangan suci. Di Mesir umpamanya, kematian seorang pemuda  penjual sayur boleh menjadi faktor kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya regim Mubarak. Tetapi tidak begitu di Malaysia. Kematian Baharudin Ahmad bukan sahaja gagal membangkitkan semangat juang malah untuk menuntut keadilan bagi pihak beliau dan keluarga beliau pun umat Islam tidak mampu.

Kita cuma mendengar suara simpati dan rungutan. Kita hanya mendengar permintaan ( bukan desakan) daripada PAS dan BERSIH agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kematian beliau. Sehingga kini kita tidak tahu laporan bedah siasat kematian Allahyarham  sama ada telah dikeluarkan atau belum oleh pihak hospital.

Siapakah yang sepatutnya memperjuangkan keadilan bagi pihak Allahyarham? Keluarganya secara bersendirian tentulah tidak mampu dan tidak kuat. Orang ramai secara individu samalah seperti anjing menyalak bukit apabila berhadapan dengan kerajaan yang angkuh. Maka yang sewajar mengambil peranan ini ialah satu organisasi massa yang kredibel sama ada BERSIH, PAS atau NGO yang lain.

Apakah rakyat hanya akan jadi pemerhati dan penerima apa sahaja reaksi dan penjelasan pihak berwajib? Andai mereka mendiamkan isu kematian Baharudin Ahmad, adakah rakyat sama-sama turut terdiam. Kalau begini sikap rakyat, percayalah kematian Baharudin Ahmad akan hanya menjadi satu kematian biasa yang tak terbela. Juga sebagai satu kematian yang tidak dimanfaatkan untuk terus melonjakkan momentum kesedaran rakyat.

Yang tinggal untuk Allahyarham Baharudin Ahmad ialah doa yang berpanjangan agar beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang soleh. Yang tinggal hanyalah nama yang harum dalam lipatan sejarah perjuangan keadilan demokrasi di Malaysia. Manakala yang tinggal bagi kita ialah air-air liur yang terludah di pinggiran jalan.

Tiga Golongan Yang Menjadi Ahli Syurga

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai”.
Riwayat Muslim

Huraian :
Tiga golongan yang menjadi ahli syurga ialah:


1. Pemerintah yang berlaku adil di dalam pemerintahannya.


2. Orang yang mempunyai sifat kasih sayang serta berlemah lembut khususnya kepada ahli keluarga dan umumnya kepada sesama Islam.

3. Seseorang yang tabah dan cekal menghadapi kesusahan hidup tanpa mengharapkan pertolongan orang lain.

Monday 18 July 2011

Isu Hiburan Bukan Situasi Menang-Menang


 - oleh BayangDiAir

Ini soal bukan hendak menang pilihanraya seperti ulasan Dr. Aziz Bari.? Ini soal hukum. Penulis tidak bersetuju sekiranya sesuatu isu itu dipandang dan ditangani kerana kepentingan politik semata-mata. Bukan kita tidak mahu kemenangan. Memang kita berpolitk dan berjuang kerana hendak menang. Kalau untuk kalah, baik duduk kat rumah bermain sama dengan anak bini saja. Ini persoalan hukum. Kalau Islam mengizinkan bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka, mengapa kita hendak memaksa norma kita ke atas mereka? Sebaliknya, jika kita wajib melaksanakan hukum Islam kepada semua rakyat jelata tanpa kira bangsa dan agama, mengapa pula ditarik balik ketegasan kita? Tentulah salah satunya tidak betul di sini.

Kita tidak tahu duduk perkara sebenar. Adakah media UMNO telah memanipulasikan kenyataan MB Kedah atau sememangnya kerajaan Kedah berkeras ingin melaksanakan enakmen kawalan operasi pusat hiburan ini. Daripada maklumat awal yang penulis perolehi, memang MB Kedah berazam untuk menutup terus operasi pusat hiburan pada bulan Ramadhan nanti. Maksudnya, semua orang sama ada Islam atau bukan Islam tidak dibenarkan meneruskan operasi hiburan atau  mengunjungi tempat maksiat itu.

Maka berlakulah apa yang telah kecoh sehari dua ini. DAP melenting sama dengan MCA dan Gerakan. Karpal Singh bagai kehabisan ubat penenang lagi. Ugutan untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat disuarakan lagi. Kali ini oleh Tony Phua. Hebat sungguh desakan sahabat Pakatan Rakyat ini. Setelah rundingan  diadakan dengan pengusaha pusat hiburan, kerajaan PAS Kedah bersetuju untuk melaksanakan ‘situasi menang-menang’. Pengusaha bersetuju untuk menutup pintu kepada pengunjung yang beragama Islam.

Persoalannya ialah, mengapa rundingan  menang-menang ini tidak dilakukan awal-awal lagi sebelum  keputusan yang nampak tegas dibuat? Kalaulah rundingan mendahului  kenyataan, sudah pasti suasana tidak kecoh dan melukakan hati kedua-dua belah pihak; PAS dan bukan Islam. Bagi penulis, ini bukan lagi situasi menang-menang. Imej PAS sudah tercalar pada mata rakyat kerana kelihatan mengalah kepada ugutan DAP.

Ustaz Azizan  saja cari pasal. Keputusan untuk membenarkan pusat hiburan beroperasi dengan syarat sekatan kepada umat Islam sepatutnya diputuskan  awal-awal lagi. Beliau  juga seorang  ulama dalam PAS. Tentunya beliau tahu hak-hak bukan Islam. Maka apabila beliau cuba memaksa bukan Islam menerimapakai cara hidup Islam, tentulah bercanggah dengan ‘tiada paksaan dalam beragama’.

Bagi penulis, Ustaz Azizan telah mencipta persepsi buruk umat terhadap  PAS. Orang tak kata Ustaz Azizan selalu mengalah pada DAP. Mereka kata PAS lemah dan menjadi kuda tunggangan DAP. Hujah penafian PAS lemah apabila semakin  kerap PAS berundur apabila diterjah oleh DAP. Rakyat tengok kelemahan PAS melalui media yang sedia mengangkat isu-isu seperti ini. Persoalannya, tidak mampukah Ustaz Azizan merujuk pandangan Dewan Ulama PAS Pusat? Apakah beliau telah merasakan cukup dengan  kuasa prerogatif dan taraf ulama yang ada padanya sehingga tidak perlu lagi merujuk kepada sahabat-sahabat dalam Dewan Ulama PAS Pusat?

Karpal Singh pula sampai bila tak habis-habis dengan perangai tak senonohnya.  Mudah sangat melenting dalam isu-isu agama. Sebagai pemimpin yang rumah kata pergi, kubur kata mari, sebaiknya matanglah sikit dalam bertindak. Bagai menari rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Bukankah kita ada Majlis Pakatan. Bawalah berbincang. Buat apa memberi peluru kepada Barisan. Menyampah betullah. Cerdik bodoh macamlah Abu Nawas. Hari tu sudah kena sebiji oleh TG Nik Aziz. Kata Tuan Guru, “ada bulan di dada Karpal Singh”. Sinis dan cukup pedas.  Mudahnya keegoaan seorang peguam dihunjam oleh seorang ulama.

Konklusinya, sampai bilakah isu-isu agama ditangani secara semberono begini? Sampai bilakah kita hendak mengamalkan ‘buat keputusan, kemudian baru berunding? Dan sampai bilakah DAP akan terus bermain-main dengan ugutan? Awas, kita lalai sedangkan rakyat sedang membina persepsi.

Akhir kalam, penulis memohon ampun kepada Allah s.w.t. sekiranya pandangan penulis yang daif ini menyalahi hukum. Juga penulis memohon maaf kepada Ustaz Azizan sekiranya penulislah yang bersikap semberono dalam mengulas isu ini. Penulis sedia diperbetulkan.

Saturday 16 July 2011

Masyarakat yang bermaklumat akan tolak UMNO/BN - Ustaz Wan Sukairi



Kemaman, 16hb. Julai - Para petugas penerangan diminta menggandakan usaha penerangan untuk menyebarluaskan apa jua maklumat kepada masyarakat jika mahu memenangi PRU ke-13 nanti.
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukhairi Wan Abdullah (gambar kiri) berkata demikian semasa sessi taklimat isu semasa anjuran Lujnah Penerangan dan Dakwah, PAS Kawasan Kemaman di sini pagi tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Nik Mohd Nasri Nik Malek, Ketua Penerangan PAS Kawasan Kemaman, Amri Mamat dan Setiausaha, Mohd Tishaah Hamzah dan semua ahli jawatankuasa PAS Kawasan Kemaman, ajk Dewan - Dewan, ajk Majlis Tindakan DUN - DUN, ajk Dewan Harian Cawangan - Cawangan dan para nuqaba dan mubaligh seluruh Kemaman.
Beliau meanmbah lagi, 'gerak kerja penerangan ini bukan hanya terletak di bahu ahli jawatankuasa penerangan sahaja bahkan suka saya memperingatkan disini bahawa semua ahli PAS adalah agen penerangan', ujarnya.
Ustaz Wan Sukhairi seterusnya berkata, 'statistik dan analisa telah merumuskan tempat - empat dimana masyarakat mendapat maklumat yang secukupnya dari PAS dan Pakatan Rakyat maka di situlah UMNO/BN ditolak dan kecundang menyembah bumi', katanya.
Keputusan PRU ke-12 menunjukkan penduduk di kawasan bandar iaitu ibu negeri telah memilih PAS dan PR dan menolak UMNO/BN kecuali di Parlimen Johor Bahru dan Parlimen Arau sahaja.
Pakatan Rakyat telah memenangi kerusi Parlimen bagi ibu negeri di Alor Setar, Georgetown, Ipoh, Seremban, Bandar Melaka, Kuantan, Kuala Terengganu dan kota Bahru.
Manakala bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur UMNO/BN hanya menang di Parlimen Setiawangsa dan parlimen Pandan sahaja selebihnya dimenangi oleh PR.
Ini kerana masyarakat di bandar mempunyai sumber maklumat yang lain iaitu media massa alternatif seperti kemudahan internet, blog, laman web, facebook dan twitter.
Justeru itu, semua ahli PAS diminta menggandakan usaha melengkapkan para pengundi sasaran dengan maklumat terkini melalui pelbagai cara mengikut kemampuan masing - masing.
'Kongkongan media arus perdana oleh kerajaan yang sekarang ini mengalami krisis keyakinan pelanggan dengan jumlah jualan yang menjunan jatuh terus digunapakai sebagai senjata utama UMNO/BN bagi menghadapi kemaraan PR tetapi dengan pendekatan yang efektif dan menyeluruh dalam menangani isu penerangan saya yakin dan percaya rakyat akan menolak UMNO/BN dalam PRU ke-13 akan datang', ulasnya lagi.
Beliau seterusnya berkata, 'rakyat yang bermaklumat akan memilih kerajaan yang menolong rakyat bukannya kerajaan yang membebankan rakyat dengan mengenakan pelbagai cukai, caj tambahan dan memperdagangkan keperluan asas rakyat seperti air dan elektrik disamping kos bahan keperluan asas seperti makanan dan minuman yang semakin melambung naik sejak kebelakangan ini', katanya. 

dari DPPKK.

Friday 15 July 2011

Tuntutan BERSIH sepatutnya 9.

- oleh BayangDiAir

Amat mengejutkan. Patutlah nampak benar gaya, sikap dan tindakan SPR selari benar dengan kehendak kerajaan BN dan UMNO. Rupa-rupanya pegawai-pegawai kanan  SPR bukan sekadar makan gaji dengan kerajaan, malah rupa-rupanya mereka ini datang dari tong  yang sama. Masakan kerajaan UMNO/BN akan lantik pegawai tertinggi  daripada mereka yang dilihat berada di atas pagar atau pro-pembangkang. Bukankah itu posisi yang amat strategik?  Ini berdasarkan infomasi  yang didedahkan  oleh Ahmad Lutfi Othman melalui Catatan Hujung Harakah bilangan 1657.  Sumber rujukannya ialah laman web SPR.

1.    Abdul Aziz sebelum dilantik sebagai Pengerusi SPR ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
2.    Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad pernah  terlibat di bahagian keselamatan dan politik, Jabatan Perdana Menteri.
3.     Zainal Abidin sebelum dilantik ke SPR adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
4.    Jamdin pula pernah menjadi Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Sabah.
5.    Mohd Ramji merupakan bekas Pengarah Kemas Negeri Sarawak pada tahun 2004.
6.    Dr P Manogran adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia  (2004-2006).
7.    Christopher pernah memegang jawatan Ketua Cawangan Khas (SB) Kuala Lumpur (2002-2005) dan jawatan terakhirnya sebelum dilantik ahli SPR adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Berdasarkan infomasi ini, rakyat Malaysia sewajarnya melakukan desakan yang kuat agar pegawai-pegawai SPR yang ‘bias’ meletakkan jawatan. Malah sekiranya memorandum BERSIH 2.0 belum dibawa menghadap YDP Agong, sewajarnya dimohon perkenan Baginda agar mengambil kira latar belakang pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik menganggotai SPR.

Selama ini rakyat hanya ‘prejudis tanpa sandaran’ tentang sikap memihak  pegawai SPR. Dengan pendedahan Saudara Ahmad Lutfi ini, skeptisme  kita terjawab. Patutlah mereka berperanan sampai dapat menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak; bukan lagi sekadar untuk mengendalikan pilihanraya.

Tidak mungkinkah sekiranya  keputusan memihak kepada Pakatan Rakyat, SPR akan bertindak ‘kamikaze’ dengan melakukan sabotaj dan manipulasi agar Barisan Nasional terus dapat diumumkan sebagai kerajaan selepas PRU13 nanti. Persepsi negatif dan andaian karut ini perlu diperbetulkan dengan cara melaksanakan 8 tuntutan BERSIH. Atau kita jadikan tuntutan peletakan jawatan pegawai SPR sebagai tuntutan yang kesembilan..