Thursday 25 August 2011

UTAMAKAN YANG LEBIH UTAMA

Alhamdulillah, surau-surau dan masjid-masjid dikunjungi ramai ahli jamaah pada bulan Ramadhan yang mulia ini.  Apatah lagi pada sebelah malamnya.  Bilangan ahli jamaah pada solat sunnat Tarawih sangat ramai sehingga ada yang terpaksa solat di luar surau pada minggu pertama bulan Ramadhan.
Inilah keberkatan Ramadhan.  Ramai manusia berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk bersolat jamaah dan masing-masing berlumba-lumba untuk membuat kebajikan untuk merebut pahala yang berlipat kali ganda pada bulan yang penuh barakah ini.
Namun, ada sebahagian ahli masyarakat yang salah faham akan keutamaan sesuatu amal/perbuatan atas sesuatu amal/perbuatan yang lain yang sepatutnya diutamakan terlebih dahulu.  Antara salah faham itu ialah:
  1. Mengutamakan solat sunnat Tarawih secara berjamaah, tetapi meninggalkan solat fardhu Isyak secara berjamaah.
  2. Mengutamakan cepatnya untuk khatam al-Quran, tetapi meninggalkan usaha untuk tadabbur al-Quran.
  3. Mengutamakan dan berpegang kuat kepada pendapat feqh tertentu, tetapi melupakan adab ikhtilaf dan akhlaq sesama muslim sehingga terguris ukhwah Islamiyyah.  Sedangkan berlapang dada dalam soal khilafiah feqh adalah lebih baik, daripada memutuskan hubungan dan perpaduan masyarakat muslim.
  4. Melambatkan solat fardhu Maghrib disebabkan oleh berbuka.  Sedangkan seseorang sepatutnya menyegerakan solat fardhu Maghrib selepas berbuka puasa secara ringkas.  Jika mahu sambung makan selepas solat fardhu Maghrib, silakan. 
  5. Mengutamakan sunnah berpakaian yang tidak disyariatkan ketika ke masjid seperti berjubah/berserban (bagi lelaki) dan bertelekung putih (bagi wanita), tetapi meninggalkan sunnah berpakaian yang disyariatkan seperti menutup aurat, tidak sombong, membazir, keterlaluan dan bertasyabbuh (meniru) kaum lain ketika berpakaian seharian.
  6. Wanita mengutamakan untuk turut serta solat berjamaah di masjid, tetapi melupakan adab dan akhlaq ketika keluar rumah.  Wanita boleh bersolat di masjid, tetapi jika boleh menimbulkan fitnah lebih elok dia solat di rumah sahaja.
  7. Mengutamakan solat sunnat pada waktu sepertiga malam, tetapi meninggalkan solat Subuh secara berjamaah.  Ini biasa terjadi pada seseorang akibat mengantuk.
  8. Mengutamakan ibadah sunnat di surau atau masjid ketika waktu kerja, tetapi meninggalkan tanggungjawab dan amanah majikan di tempat kerja.
  9. Dan lain-lain lagi.
Di atas adalah senarai beberapa salah faham yang telah saya kenalpasti dan ingat buat masa ini.  Tentu rakan-rakan yang membaca tulisan ini dapat menambah lagi bilangan senarainya.
Mudah-mudahan ummat ISLAM semakin bijak dalam beramal ibadah dan bermuamalah dengan bertambahnya ilmu setiap hari.  Hadirilah majlis ilmu samada di masjid, di surau, di tempat kerja, di seminar-seminar, melalui TV dan radio atau pun melalui maklumat-maklumat di internet.
Semoga ALLAH memelihara kita semua dan menjadikan kita semua hamba-hambaNYA yang berTAQWA, amin…
Wa Allahu Ta’ala A’lam.
25 Ogos 2010, 15 Ramadhan 1431 H.

Monday 22 August 2011

HUKUM FIZIK DALAM IBADAT HAJI.

BAGI orang yang memahami hukum  FIZIK dan banyak mengkaji tentang kehebatan Mekah akan menemukan sesuatu yang baru. Penemuan itu menguatkan lagi keyakinan,Islam agama yang datang dari AllahYang Maha Esa. Sekali gus, menjadikan diri semakin dekat kepada pencipta dan terasa kerdilnya diri di sisi Tuhan.

Prof. Norhisham Wahab, Pengasas Color Vaibration Therapy ni banyak mengkaji tentang kaitan amalan haji dengan sains menjelaskan, Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil. Boleh dikatakan ia kawasan paling selamat di dunia. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, jika suatu hari nanti bumi mengalami kekacauan dan malapetaka, Mekah adalah bumi yang paling selamat untuk didiami.

(ni antara dialog Beliau)

“Itulah kawasan yang dicari-cari selama ini, di mana manusia boleh tinggal dengan selamat dan aman sehingga berlakunya kiamat. Sebagai pusat bumi memang banyak keistimewaannya. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

Masjid Al-Aqsa

Suatu masa dulu kiblat kita adalah masjid al-Aqsa dan di situlah pusat bumi ketika itu.Kemudian Allah perintahkan Nabi untuk berpaling ke arah Kaabah sebagai kiblat. Dari apa yang saya pernah kaji, berlaku gempa bumi dan pergerakan lempeng bumi di tanah Arab dan menyebabkan pusat bumi berubah ke Mekah,” katanya.

Prof. Nohisham juga menjelaskan tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit. Sebenarnya ketika berada di sana, sistem imun akan menjadi lebih kuat secara semula jadi tanpa bantuan vaksin.

Pengaruh graviti banyak memainkan peranan untuk merangsang kelenjar pineal (pineal gland) yang terletak di otak tengah untuk mengawal kekuatan sistem imun. Memang sudah dibuktikan apabila berada di Mekah yang sakit akan jadi sihat dan yang lemah akan bertenaga. Apabila graviti tinggi maka banyak elektron ion negatif yang berkumpul di situ. Sebab itulah doa akan termakbul kerana di situ adalah tempat gema atau ruang dan masa serentak. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya.

Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Ketika berada di sisi Kaabah perasaan akan segera berubah menjadi hening, tenang, sayu, rendah diri, kerdil pada kebesaran tuhan. Semua itu adalah pengaruh dari tekanan graviti yang tinggi. Meskipun ada niat jahat Yahudi atau Kristian untuk menghancurkan Mekah, cubaan itu tidak akan berjaya. Setinggi mana teknologi ketenteraan negara-negara maju tetapi tidak dapat menembusi Mekah. Andai kata ada peluru berpandu yang dihalakan ke Mekah untuk menghancurkannya, itu pun tidak akan berjaya. 

Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah. Begitulah hebatnya tempat yang Allah pilih sebagai kiblat bagi umat Islam. Sudah pastinya manusia biasa tidak mampu mencipta sesuatu sehebat itu. Malah teknologi satelit pun tidak boleh mereropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.

“Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itulah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.Sujud, dahi mencecah lantai masih terasa dingin mamar yang dipanah matahari kerana tekanan graviti tinggi itu,” terangnya. 

Selama ini kita hanya diajar tentang melakukan ibadat haji, rukunnya, sejarahnya, perkara yang dilarang semasa ihram dan penjagaan kesihatan ketika di Mekah. Mengapa tidak pernah ada ulama atau tokoh agama yang memberitahu apa rahsia di sebalik rukun haji itu. Hikmah-hikmah yang selalu di laung-laungkan tentang haji sudah terlalu biasa sangat. Haji dilihat sebagai satu pengorbanan, memerlukan kesabaran yang tinggi, persaudaraan, mengabdikan diri, melawan nafsu, dugaan, persamaan, perpaduan, kesu dan rohani, menghambakan diri dan satu cita-cita. Semua yang dijelaskan terlalu subjektif.

Ia sudah pasti dimulakan dengan niat. Nampak mudah tetapi besar impaknya pada keseluruhan ibadat. Niat di sini bukan saja niat ihram tetapi juga niat kali pertama yang terlintas di hati untuk menunaikan haji. 

Apabila niat untuk mengerjakan haji sudah terlintas di hati, ia sebenarnya sudah sampai ke Kaabah. Untuk mendapatkan haji yang mabrur bermula dari niat semasa di tanah air. Akuinya, memang ramai yang mampu untuk mengerjakan haji namun untuk mendapatkan yang mabrur cukup sukar. Budaya masyarakat Melayu sebenarnya banyak menghalang tujuan mendapatkan haji yang mabrur.

Katanya ramai yang tidak faham tentang ibadat tersebut. Ibadat haji mempunyai hubungan yang sangat rapat antara manusia dengan tuhan. Justeru tidak boleh ada rasa riak dan bangga diri. Jika membuat kenduri pun tidaklah sampai menjemput satu kampung.

“Kita pergi ke sana untuk penyerahan diri pada tuhan, rasa kerdil pada kebesaran Nya. Secara automatik akan menyebabkan kita lupa pada urusan dunia dan kesusahan yang ditempuhi. Pemusatan fikiran hanya kepada Allah tuhan yang satu, ia akan datang dengan sendirinya apabila berada di Mekah kerana semua itu ada kaitan dengan kekuatan Kaabah sebagai pusat bumi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati. Mengapa bermalam di Muzdalifah dan Mina menjadi satu perkara yang wajib sebelum melontar ketiga-tiga jamrah. Di sebalik semua itu ada tujuan apabila Allah menurunkan perintahnya. Menurut Prof Norhisham, wajib haji itu bertujuan mendapatkan cukup rehat bagi memulihkan tenaga sebe lum kembali semula ke Masjidilharam menunaikan tawaf dan sai.

Tidur di Mina untuk mendapatkan tenaga secukupnya sebelum tawaf

“Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang.

Pengaruh graviti itu penting untuk menentukan kedudukankan tulang belakang bagi menghasilkan sel darah. Ini adalah sebagai langkah persediaan untuk melakukan rukun haji yang berikutnya sebab itulah diwajibkan bermalam.

“Semasa tawaf nanti memerlukan tenaga yang banyak untuk mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Bila bermalam di Mina seolah-olah kita sudah dapat bateri baru untuk melakukan rukun yang lebih mencabar lagi,” jelasnya. Manakala mengenai tawaf pula memang banyak keistimewaannya. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. Sebenarnya pusat bumi itu bukan sekadar untuk bumi saja tetapi ia seakan satu ruang atau suis yang mengawal seluruh cakerawala, bintang, matahari, planet dan ruang angkasa. Bermakna pusat bumi itu ada tenaga yang cukup kuat yang tidak boleh dili hat, dengar, rasa tetapi boleh dikesan frekuensinya.

Prof Norhisham turut menjelaskan pergerakan lawan jam di dalam jumlah tujuh pusingan. Katanya, semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu. Elektron mengelilingi nukles, molekul protein terbentuk dari kiri ke kanan, darah beredar juga dari arah yang sama di dalam badan, sperma juga beredar mengikut lawan jam, matahari, bulan dan planet semuanya berputar mengikut hukum yang sama.

Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Kaabah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.

“Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya,” terang Prof Norhisham.

Manakala di dalam menunaikan rukun haji, ada perkara yang dilarang semasa berihram seperti tidak boleh tutup kepala, muka dan tapak tangan. Rambut, janggut tidak boleh disapu minyak, tidak boleh menanggalkan bulu dan rambut, memotong kuku dan memakai pakaian bersarung yang ber jahit- khususnya bagi lelaki.
 
DARI BLOG: ZHARIFALIMIN.

Monday 15 August 2011

Proses Penghapusan Bintang-Bintang ( Supernova)

Lihat gambaran Al Quran mengenai bintang-bintang yang berjatuhan dan penghapusan bintang-bintang tersebut seperti-

Firman Allah SWT:

Dan apabila bintang-bintang berjatuhan 
(Takwir :2)

Dan dalam surah lain Allah berfirman :

Dan apabila bintang-bintang itu dihapuskan 
(Mursalat : 8)

Ilmu metafizik diketahui oleh manusia pada akhir kurun ke 20 untuk menegaskan bahawa fasa perjalanan bintang-bintang melalui fasa di mana bintang tersebut berjatuhan dan juga fasa di mana bintang tersebut mengalami fasa penghapusan.

Bintang merupakan objek angkasa yang berpijar (menyala-nyala), bersinar, dan bercahaya dengan sendirinya dan salah satu penyebab yang membuatkan bintang tersebut bersinar ialah proses pemantikan reaksi penggabungan nuklear hasil dari pemanasan di kerak bintang yang ada di dalamnya.

Apabila kandungan bintang berubah dengan sempurna menjadi besi, bintang melalui dua gumpalan proses awal iaitu ia akan meledakkan haba dan memancarkan cahaya. Bintang seperti yang dinyatakan ini di dalam bahasa astronomi di sebut sebagai Supernova dan ada pula bintang yang berakumulasi dengan dirinya sendiri.

Supernova


Apabila bintang tersebut berakumulasi terhadap dirinya, bintang tersebut akan membentuk sebuah gumpalan yang keras dan padat sehingga menyebabkan cahaya yang terpancar tidak dapat lepas dari lingkungannya, akan tetapi sebelum bintang-bintang itu berjatuhan sehingga cahaya-cahaya bintang terpadam dan kemudian bintang itu menghilang dengan sempurna.

Sungguh Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang beredar dan tenggelam 
(Takwir: 15-16)

Ayat ini membahas tentang penghapusan bintang-bintanig atau lebih dikenali sebagai Supernova. Terbukti Al-Quran telah melangkaui zaman. Tiada ragu keatas kandungannya. Maha suci Allah.
 
sumber: zharifalimin.blogspot.com


Saturday 13 August 2011

MENYINGKAP RAHSIA PUASA

Lagi Mengenai Puasa: Ini Satu Fashal Pada Menyatakan Rahsia Puasa Dan Menyatakan Segala Syaratnya Yang Bathin.
Artikel disalin dari :http://al-fanshuri.blogspot.com/

t1.gstatic
Di dalam kitab Sair as-Salikin oleh al-‘Allamah al-‘Arifbillah asy-Syeikh ‘Abdus Shomad al-Falimbani رحمه الله, pengarang menyebut:


فصل في أسرار الصوم وشروطه الباطن

Ini Satu Fashal Pada Menyatakan Rahsia Puasa Dan Menyatakan Segala Syaratnya Yang Bathin


Ketahui olehmu, hai orang yang menjalani jalan akhirat dan jalan kepada Allah Ta’ala, bahwa adalah bagi puasa itu 3 darjat:


Darjat Pertama - Puasa orang yang awwam yakni puasa kebanyakkan manusia yaitu menegahkan ia daripada makan dan minum dan jima’ [bersetubuh] dan menahan daripada segala yang membatalkan puasanya seperti yang tersebut pada fashal yang lalu


Darjat Kedua - Puasa orang yang khawwas iaitu puasa orang yang sholihin dan orang yang muttaqin iaitu menegahkan segala yang tersebut daripada yang pertama itu [seperti diatas] dan menegahkan pula akan segala anggotanya daripada berbuat ma’siat dan daripada berbuat yang sia-sia yang tiada memberi manfaat kepada akhirat dan hasil kesempunaan puasa mereka itu dengan 7 perkara:


(Pertama) memejamkan kedua matanya dan menegahkan keduanya itu daripada melihat kepada suatu yang mubah yang membimbangkan hatinya dari dhikruLlah Ta’ala dan daripada ingat kepada Allah. Sabda [Nabi] صلى الله عليه وآله وسلم:

النظر سهم مسموم من سهام إبليس لعنه الله، فمن تركه خوفا من الله آتاه الله إيمانا يجد حلاوته في قلبه – رواه الحاكم، صحيح (العراقي)

Ertinya: Melihat dengan syahwat itu iaitu satu panah yang dibubuh racun daripada beberapa panah iblis, maka barangsiapa meninggalkan melihat itu kerana takut akan Allah Ta’ala, nescaya memberi akan dia oleh Allah Ta’ala akan iman yang mendapat akan manis iman itu di dalam hatinya.
Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

خمس يفطرن الصائم، الكذب، والغيبة، والنميمة واليمين الكاذبة والنظر بشهوة – رواه الأزدي، ضعيف (العراقي)

Ertinya: 5 perkara yang membatalkan (pahala) puasa: (pertama) berdusta; (kedua) mengumpat; (ketiga) mengadu-ngadu akan orang; (keempat) bersumpah dengan dusta; (kelima) melihat akan sesuatu dengan syahwatnya, yakni dengan ingin.


(Kedua) memelihara lidah:

� daripada perkataan yang haram dan
� daripada perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat dan
� memeliharakan pula akan lidah daripada berdusta dan
� daripada mengumpat akan orang dan
� daripada mengadu-ngadu akan orang dan
� memelihara pula akan dia daripada segala perkataan yang keji-keji dan
� memelihara pula akan dia daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan orang dan
� memelihara daripada memaki orang.


Dan sayogianya hendaklah orang yang puasa itu

� melazimkan diam dan
� masyghul [sibuk] ia dengan membanyakkan dhikrullah Ta’ala dan
� membanyakkan membaca al-Quran.

Dan kata Mujahid رحمه الله تعالى

خصلتان يفسدان الصيام الغيبة والكذب
Ertinya: 2 perkara membinasakan ia akan puasa: (pertama) mengumpat-umpat akan orang dan(dua) berdusta.

Dan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

إنما الصوم جنة، فإذا كان أحدكم صائما فلايرفث ولايجهل، وإن امرؤقاتله أو شاتمه فليقل إني صائم، إني صائم

Ertinya: Hanyasanya puasa itu perisai. Maka apabila ada seorang kamu puasa, maka jangan mengerjakan suatu yang sia-sia dan jangan berbuat akan perbuatan orang yang jahil. Dan jika ada seorang hendak membunuh akan dia atau memaki akan dia maka hendaklah ia berkata bahwasanya aku puasa, bahwasanya aku puasa. (Hadits Muttafaqun ‘alaih). Maka jangan dilawan akan orang itu.

(Ketiga) sayogia bagi orang yang puasa itu memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang haram dan perkataan yang makruh dan memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

Dan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

المغتاب والمستمع شريكان في الإثم

Ertinya: Orang yang mengumpat akan orang dan orang yang mendengar akan dia itu bersekutu keduanya itu pada berdosa (Hadits riwayat ath-Thabrani, dhaif - al-‘Iraqi)

(Keempat) seyogianya bagi orang yang puasa itu memeliharakan tangannya dan kakinya daripada segala yang diharamkan dan segala makruh dan segala yang sia-sia, tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

(Kelima) memeliharakan perut pada ketika waktu berbuka itu daripada memakan makanan yang haram atau memakan yang syubhat. Maka tiada faedah bagi puasa, iaitu meninggalkan daripada makan yang halal kemudian maka berbuka dengan makanan yang haram. Maka adalah misal orang yang puasa itu seperti misal orang yang berbuat mahligai pada hal ia merobohkan negeri kerana makanan yang halal itu memberi mudharat ia dengan memakan banyak akan dia dan tiada memberi mudharat ia dengan makan sedikitnya. Dan puasa itu mensedikitkan makan yang halal, iaitu ubat yang memberi manfaat bagi hati dan membanyakkan akan dia itu membinasakan akan hati dan memakan yang haram itu membinasakan agama. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

كم صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش

Ertinya: Beberapa daripada orang yang puasa padah al tiada baginya daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga jua.

Maka kata ulama [dalam menjelaskan maksud hadits diatas] orang itu ialah orang yang berbuka dengan memakan yang haram. Dan kata setengah ulama, iaitu menahan daripada memakan yang halal dan berbuka dengan daging manusia dengan mengumpat-umpat akan orang dan mengumpat itu haram. Dan kata setengah ulama iaitu orang yang tiada memelihara akan segala anggota daripada yang haram yang membawa kepada dosa.

(Keenam) seyogianya bahwa jangan membanyakkan pada ketika berbuka itu dengan memakan yang halal sekira-kira memenuh perutnya, kerana sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

ماملأابن آدم وعاء شرا من بطنه

Ertinya: Tiada memenuh oleh anak Adam akan suatu tempat yang terlebih jahat daripada memenuh perutnya dengan memakan yang halal.

Ini kerana maksud dengan puasa itu iaitu hendak mengurangkan makan supaya dhoif syahwat nafsunya dan syahwat syaitannya, maka jika dihimpunkan makanan yang pagi-pagi dan makanan yang petang-petang itu dengan sekali maka pada ketika berbuka puasa itu, maka tiada faedah puasanya itu. Jadi tiada manfaat puasanya itu melainkan dengan sedikit daripada memakan yang halal kerana mengurangkan makan itu meringankan tubuh pada berbuat ‘ibadat dan berbuat sembahyang tahajjud pada malam hari dan merajinkan mengerjakan wiridnya dan dhikirnya hingga terang hatinya.

(Ketujuh) sayogia bahwa adalah hatinya kemudian daripada berbuka itu berulang-ulang antara khauf dan raja’ yankni berulang-ulang antara takut akan Allah Ta’ala dan antara harap akan Allah Ta’ala kerana tiada diketahui adakah diterima akan puasanya itu, maka iaitu daripada orang yang muqarrabin atau ditolongkan akan puasa itu atasnya, maka iaitu daripada orang yang dimurkai Allah Ta’ala. Dan seyogianya ia menghadirkan yang demikian itu pada ketika kemudian daripada tiap-tiap ‘ibadat yang lain daripada puasa itu. والله أعلم

Darjah ketiga - Puasa orang khawwasul khawwas iaitu puasa orang yang muqarrabin yang ‘arifin iaitu menahan hati daripada mencita-citakan dunia dan memikirkan akan dia dan mengosongkan rahsia yang di dalam hati [sirr] daripada barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan sentiasa hatinya itu syuhud kepada Allah Ta’ala dan batal puasanya itu dengan memikirkan barang yang lain daripada Allah Ta’ala dan yang lain lain daripada negeri akhirat. Demikian lagi batal puasa itu dengan memikir akan pekerjaan dunia, melainkan jika ada dunia itu membawa kepada manfaat akhiratdan jadi bekal baginya di dalam akhirat, maka iaitu tiada dinamakan dunia. Kerana inilah kata ulama ahlul bathin:

من تحركت همته بالتصرف في نهاره لتدبر ما يفطر عليه كتبت عليه خطيئة

Ertinya: Barangsiapa bergerak cita-citanya dengan berbuat di dalam harinya itu kerana membicarakan sesuatu yang akan dimakannya pada ketika berbukanya itu, nescaya disurat atasnya akan dosa.

Dan yang demikian itu kerana kurang percaya dengan anugerah Allah Ta’ala dan kemurahanNya pada memberi rezqi akan dia dan kurang yaqin ia dengan rezqinya yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.

Dan darjat puasa yang ketiga iaitu martabat anbiya’ dan orang-orang siddiqin dan orang-orang muqarrabin yang ‘arifin, kerana cita-cita hati mereka itu semata-mata berhadap kepada Allah Ta’ala dan berpaling hati mereka itu daripada segala yang lain daripada Allah Ta’ala dan telah masuk mereka itu di dalam makna firman Allah:

قُلِ ٱللَّهُ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

Ertinya: Ucap olehmu akan Allah Ta’ala kemudian maka tinggalkan olehmu akan manusia di dalam pekerjaan mereka itu pada hal bermain-main mereka itu. (Surah al-An’am: 91)

[Petikan dari kitab Sair as-Salikin ila ‘Ibaadati Rabbil ‘Alamin, tahqiq al-Fadhil Ustaz Abu ‘Ali Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, edisi jawi, halaman 414 – 419]

Usahakanlah paling kurang puasa peringkat kedua. Semoga kita memperolehinya dengan rahmat dariNYA.

Saturday 6 August 2011

KISAH UWAIS AL-QARNI BAGI INSAN YANG MASIH MEMPUNYAI IBU.


- oleh BayangDiAir
Setiap orang yang masih mempunyai ibu wajar menimbang-nimbang hubungannya dengan orang yang telah mengandungnya selama sembilan bulan . Sembilan bulan penuh sabar dan payah membawa bebanan dalam kandungan yang berat. Kemudian bertarung nyawa dihiris kesakitan ketika melahirkan si anak. Dijaganya sejak bayi ditatang sehingga besar. 

Apakah bayi yang merah itu kini sudah menjadi tuan-tuan kepada orang yang melahirkannya? Apakah ibu-ibu tua ini sekarang sedang menyepi hiba di rumah kebajikan orang-orang tua? Untuk semua dari kita yang masih mempunyai ibu, terutamanya ibu yang sudah lanjut usia dan uzur, marilah kita renung sejenak pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kisah kasih sejati seorang anak terhadap ibunya. Mudah-mudahan baki usia ibu yang sudah tidak beberapa lama lagi mengungsi alam fana ini menjadi masa keemasan bagi anak yang soleh untuk berbakti kepada ibu yang tiada lagi ganti sekiranya mereka menyahut panggilan Ilahi nanti.

Nabi Muhammad  s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali  r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka agar diampunkan dosa oleh Allah.  Apakah rahsia besar kelebihan Uwais al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam sejarah kemuliaan seorang insan?

Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman. Dia menghidapi penyakit kulit (sopak).  Suatu hari ibunya yang sudah tua berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan bagi perjalanan yang amat jauh itu. Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya di singgahsana hatinya,  dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.

Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah anak lembu itu.

Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya, “wahai ibu, bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama lagi.”
“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke sana?” tanya ibunya.
“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”
Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya yang sudah uzur.
Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan. Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya, “apa yang kau baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”
“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu.” Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam hidup ini.
Lalu berkata ibunya lagi,” Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”
“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya. Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”
“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”

Maka tidaklah mampu lagi Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka berdoalah Uwais dengan kata, “Ya Allah, kerana mentaati kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”

Apabila Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. itu.

Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini. Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita. WalLahu ‘alam.

Nota: Semoga Allah melimpahkan pahala kepada guru-guruku yang telah menitiskan ilmu kepadaku.


 

Friday 5 August 2011

MENGAPA WAJAH TIDAK BERSERI KETIKA SOLAT?


- OLEH BayangDiAir

Ya Allah, baru kusedari bahawa wajahku tidak pernah senyum apabila sedang berhadapan dalam majlis-Mu. Sedangkan solatku ini adalah berhadapnya aku dengan-Mu, Kekasihku. Adakah aku tidak ikhlas dalam berhadapan dengan-Mu dalam solat ini, wahai Tuhanku?

Ya Allah, beratnya wajahku BAGAI aku menanggung beban yang sangat hebat. Tiada seri dan ceria pada air muka ini. Bagai air kolam yang bertakung begitu lama. Tiada riak, bagai angin tak pernah sampai di sini. Mengapa jadi begini?

Ya Allah, bukankah aku sedang berdiri, rukuk dan sujud. Menyerahkan diri ini kepada-Mu. Kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Indah. Sewajarnya aku sedang menikmati keindahan-Mu ya Zul-Jalal Liwal Ikram. Bukankah wajah ahli syurga akan berseri-seri di syurga kerana dapat memandang Zat-Mu?

Ya Allah, apakah hambamu ini belum mencapai martabat ihsan? Aku belum mampu beribadat seolah-olah aku yakin Engkau melihatku atau aku seolah-olah sedang melihat Engkau? Kalau benar aku ini ihsan ya Allah, tentulah wajahku  berseri-seri di dalam solat. Bukankah begitu wahai Kekasihku?

Ya Allah, sewajarnya wajahku ceria ketika patah-patah ayat suci bermesra di lidahku. Sewajarnya air mukaku kelihatan gembira ketika aku qiam, rukuk dan sujud kepada-Mu. Aku sewajarnya tersenyum dan berwajah permata kerana Engkau-lah yang sedang berada di majlis amalan cintaku.

Ya Allah, kalau hamba-Mu akan gembira dapat melihat Zat-Mu di syurga kelak, apakah aku tidak patut gembira dalam solat ini? Bukankah solat ini telah menemukan aku rapat dengan-Mu, ya Allah. Bukankah yang sedang berada di depanku sekarang ialah Engkau, wahai Kekasihku?

Ya Allah, aku tidak pernah menunjukkan wajah senyumku kepada-Mu ketika solatku. Aku takut kepada-Mu ya Allah kerana dosa-dosaku. Namun, hati ini sangat gembira sebenarnya kerana Engkaulah di depanku. Sebagaimana Engkau janjikan ahli syurga gembira berhadapan dengan Kekasih di dalam syurga, izinkanlah di dunia ini, dalam solat yang singkat ini, aku merasai pengalaman syurga ya Allah. Biarlah manusia lain berwajah berat menanggung beban solat, namun aku lebih rela berwajah ceria kerana kegembiraanku dapat berada dalam majlis-Mu telah mengatasi rasa takut dan berat bebanku.

Ya Kekasih para mukmin, kurniakanlah kepada kami wajah berseri-seri dalam solat ini. Kurniakanlah kami ihsan yang menjadikan kita bukan lagi sekadar rapat dengan kata-kata tetapi telah rapat menyelinap di dalam jiwa. Dunia solat yang singkat ini adalah pancaran dunia syurga. Di mana sahaja kami berada, izinkan kami melihat dengan haqqul yakin kewujudan-Mu Yang Terindah. Sesungguhnya, gembira kami telah mengatasi rasa takut ini kerana kami sedar betapa melimpah-ruahnya kasih sayang dan keampunan-Mu. Perkenankanlah cita-cita kami wahai Zat Yang Maha Suci.

Wednesday 3 August 2011

PRU13: PAS AKAN GAGAL DI TERENGGANU?


- oleh BayangDiAir

Benarkah PAS akan bangkit di Terengganu? Berdasarkan pilihan raya olok-olok, BN akan terus kekal memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti. Perkara ini boleh menjadi realiti walaupun pahit untuk ditelan. Ada dua aspek yang memungkinkan kekalahan PAS/PR itu berlaku. 

Aspek yang teramat penting ialah aspek luaran khususnya daftar pemilih bagi negeri Terenggganu yang telah dikotori selepas PRU10 yang dimenangi oleh PAS. Sudah banyak kali didedahkan data-data tentang peningkatan mendadak bilangan pengundi di Terengganu pada PRU11. Ada pengundi hantu, pengundi berganda dan pengundi warga asing yang dianugerahkan kad pengenalan merah. Sejak itu, daftar pemilih yang mencurigakan itu tidak pernah dibersihkan. Justeru itu, PAS yang yakin akan menang, terus kalah lagi pada PRU12.

Dalam menghadapi PRU13 ini pun, daftar pemilih yang sekian lama tercemar itu masih digunakan dengan pertambahan pengundi baru yang juga dkhuatiri kesuciannya. Seminggu dua ini, terbukti banyak pengundi yang mencurigakan termasuk dari kalangan pemilik kad pengenalan merah. Kecanggihan sistem semakan pengundi yang diaplikasi oleh aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat menemukan ribuan pengundi berganda serta mencurigakan malah tidak layak menjadi pengundi pun. Tetapi itulah yang berlaku. Diharapkan kecanggihan sistem semakan mampu ‘menangkap’ pengundi-pengundi haram di Terengganu.

Aspek luaran yang tidak kurang pentingnya ialah Wang Dana Khas. Dengan adanya wang ini bermacam-macam program mengambil hati rakyat berjaya dilakukan oleh UMNO/BN. Wang ini cukup mewah di Terengganu sehingga secara puratanya setiap keluarga di Terengganu mendapat habuan RM 2000.00 setahun yang diperuntukkan melalui Dana Remaja, Wang Khas Hari Raya, bantuan pakaian sekolah dan pelbagai lagi. Bantuan-bantuan inilah yang menyebabkan rakyat Terengganu yang pelahap duduk kemas di bawah ketiak UMNO/BN. Sebab itulah MB Terengganu, Dato’ Mad Said memperli PAS yang berkempen negara berkebajikan. Kata beliau, perlu apa lagi kepada PAS sedangkan kerajaan BN Terengganu sudah lama melaksanakan negara berkebajikan.

Dari aspek dalaman pula, memang ternyata PAS/PR tidak mampu menarik sokongan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, Felda atau Ketengah.kerana beberapa kekangan dan kelemahan sendiri. Antaranya, dihalang dan diganggu untuk mengadakan ceramah, aktiviti kemasyarakatan dan pengedaran risalah di kawasan-kawasan Ketengah/Felda. PAS/PR juga kekurangan kakitangan, aktivis dan sumber untuk melaksanakan program dan aktiviti di kawasan yang dikawalselia oleh UMNO/BN tersebut.  Kekangan ini berterusan sejak puluhan tahun. Ini menyebabkan PAS selalu 'memberi' hampir 10 kerusi  dengan majoriti yang besar di kawasan Ketengah/ Felda ini. Sepuluh kerusi ini menjadi deposit besar bagi UMNO/BN untuk terus kekal memerintah Terengganu.

Maaf kata, dalam isu Terengganu ini perkara paling pokok ialah daftar pemilih yang tercemar itulah puncanya. Selagi daftar itu tidak dibersihkan dengan sebersih-bersihnya seperti mana yang dituntut oleh Bersih, selagi itulah PAS/PR hanya berangan-angan untuk menawan Terengganu. Sebab itulah penggunaan dakwat kuku dan daftar pemilih yang berwibawa amat penting dalam pilihan raya yang adil dan bersih. Maka, apa kuasa dan  tindakan kita sekarang? 

Tulisan ini tiada niat untuk melemahkan semangat PAS Terengganu. Namun realitinya ialah kita mesti memberi fokus utama untuk membantah daftar pemilih negeri Terengganu dengan bukti-bukti berdokumen. Kita mesti terus mendesak SPR agar melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0. Mudah kata, DAFTAR PEMILIH BERSIH, PAS MENANG.

Di samping itu, kita mestilah bekerja keras untuk mendaftar semaksimum mungkin pengundi-pengundi baru di Terangganu. Usaha hendaklah dilakukan bagi menarik dan mendaftar golongan atas pagar dan ahli Tabligh agar mereka faham mengapa semestinya mereka perlu bersama kita sekarang. Semoga Allah membantu kita kerana Allah-lah Maha Berkuasa ke atas sesuatu.


Monday 1 August 2011

BATAS-BATAS IMAN DALAM BERHIAS

Hadis :

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah." Riwayat Ibnu Mas’ud

Huraian :

i) Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

ii) Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.

iv) Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.

v) Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan. 


SUMBER: DAKWAH2U.BLOGSPOT.COM