Wednesday 30 November 2011

JANGAN SANDINGKAN IKHLAS DENGAN BAKHIL.

              
Ya akhi,
Amalan sedekah merupakan tuntutan yang sangat dititikberatkan dalam Islam selain daripada sistem zakat. Umat dituntut malah disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Lalu kita keluarkanlah sebahagian daripada harta benda dan wang kita untuk diisi ke dalam tabung-tabung masjid, peti-peti derma dan  dana-dana perjuangan.

Kita sedar dan sentiasa menyedari tentang pentingnya keikhlasan dalam amalan derma. Tidak
dinafikan bahawa insan yang memahami agama selalu mengutamakan keikhlasan dalam beramal. Lalu ada di kalangan kita yang menghulurkan kepingan syiling. Ada yang menyumbangkan RM 1  dan  RM2 dan ada pula yang sanggup menyumbangkan sehingga beribu-ribu ringgit dalam dana-dana tertentu.

Ya akhi,
Persoalannya ialah siapa kita, berapakah  pendapatan kita dan banyak manakah harta kita?
Persoalannya ialah wajarkah kita dermakan sekadar  seringgit dua asalkan ikhlas sedangkan wang dalam dompet kita terselit beratus-ratus ringgit. Masihkah akhi amalkan lagi teori ‘biarlah 10 sen asalkan ikhlas’? Wajarkah kita sumbangkan RM10 sedangkan kita mempunyai wang dalam bank puluhan ribu ringgit? Inilah persoalan dalam anjakan pemikiran ini.

Semasa kita memasukkan syiling-syiling lebihan belanja untuk tabung  masjid, apakah yang tersembunyi di hati kita? Semasa kita mengambil RM1 daripada ratusan ringgit di dalam dompet kita untuk didermakan kepada jihad, apakah yang tersembunyi di hati kita? Apakah yang bermain ketika kita telah berasa banyak dengan RM10  daripada puluhan ribu ringgit di dalam bank untuk tabung fakir miskin? Dan apabila kita sudah menderma RM100 untuk mendaulatkan hukum Allah sedangkan kita adalah seorang hartawan, maka kita sudah berasa lebih daripada orang lain? Ya akhi, sebenarnya apakah yang tersembunyi di hati kita selain keikhlasan? Jawapannya ialah tak  lain tak bukan; itulah sifat yang dinamakan bakhil. Tilik pandanglah sifat kedekut yang terselit kejap di lipatan amal kita.

Ya akhi,
Wajarkah kita sandingkan sifat ikhlas bersama sifat bakhil di persada iman kita? Bukankah satu itu sifat mahmudah dan satu lagi sifat mazmumah? Sedarlah bahawa perjungan menegakkan hukum Tuhan dan usaha meninggikan syiar Islam memerlukan umat yang mempunyai hati seperti Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf. Hati insan seperti mereka boleh dimiliki oleh seorang nelayan dan petani, apatah lagi seorang hartawan. Soalnya berapa kadar yang akhi  dapat hulurkan untuk fisabilillah nisbah dengan harta yang akhi miliki. Ingatlah, apakah yang masih tersembunyi di lipatan hati ketika di lipatan yang satu lagi kita telah mengatakan ‘saya ikhlas’. Mudah-mudahan ia bukanlah sifat kedekut yang Allah benci. Renung-renungkanlah dan tilikpandanglah.
                                                                                                     

Tuesday 22 November 2011

DOA IMAM BESAR MAKKAH YANG MENYENTUH HATI

 
Ya Allah, Yang memiliki segala Keagungan dan Kebesaran. Ya Allah, Yang maha Berkuasa, Yang Agung, Yang Maha Besar, Yang Maha Tinggi. Kami memohon Keagungan dan Kekuasaan-Mu. Dan kemenangan bagi seluruh mujahiddin yang berjuang pada jalan-Mu. Ya Allah, tetaplah di sebelah mereka dan bersama-sama mereka. Anugerahkanlah kejayaan, dan perkukuhkanlah kedudukan mereka. Ya Allah, satukan wawasan mereka, tetapkanlahlah sasaran senjata mereka, dan teguhkanlah kata-kata mereka, Ya Allah, cekalkanlah hati-hati mereka. Ya Allah, uruskanlah dan musnahkanlah musuh mereka.

Ya Allah, usirkanlah perhimpunan mereka, hancurkanlah integriti mereka, lemahkanlah kekuatan mereka, dan tanamkanlah ketakutan ke dalam hati mereka, Ya Allah, nasib kami ditangan-Mu, dan urusan kami akan dikembalikan kepada-Mu, dan keadaan kami tidak terlindung dari pengetahuan-Mu, Kepada-Mu serahkan kesengsaraan kami, Dan jiwa kami, dan kepada-Mu kami mengadu, Kepada-Mu dan hanya kepada-Mu sahajalah kami mengadu tentang kekejaman mereka yang menindas, Dan kekejaman "Faajirin", Dan kemarahan mereka yang dikhianati oleh penjenayah. Hanya kepada-Mu, Ya Allah, kami mengadu tentang kekejaman dendam Kristian, Ya Allah, kegelapan penindas telah dipanjangkan, Ya Allah, kegelapan penindas telah dipanjangkan, (lagi) Ya Allah, kegelapan penindas telah dipanjangkan, (dan lagi) Ya Allah, kegelapan penindas telah dipanjangkan, (lagi) Ya Allah, kegelapan penindas telah dipanjangkan.

Dendam golongan atheis telah berterusan jauh. Dan ... Pemimpin penjenayah Ya Allah, (berhenti) Ya Allah, Kirimkan kepada mereka tangan-tangan kebenaran ... Untuk mengangkat dengannya penghinaan kami, Dan untuk mengembalikan kepada kamu penghormatan kami, Dan untuk memusnahkan musuh kami dengannya, Ya Allah, (berhenti) Ya Allah, Engkau uruslah sumber kekejaman dan penindasan, (lagi) Engkau uruslah sumber kekejaman dan penindasan, Ya Allah, Kirimkan Kekuasaan-Mu menentang Amerika, Pusat kekufuran dan fasaad (lagi) Kirimkan kekuasaan-Mu menentang Amerika, (lagi) Pusat kekufuran dan fasaad, Ya Allah, kami menyedari tentang mereka, Mereka menyebarkan fasaad di bumi-Mu.

Dan mereka membunuh hamba-Mu, Dan mereka menghina agama-Mu (lagi) Ya Allah, kami menyedari tentang mereka, Dan di atas mereka segala kekuatan, Ya Allah, Kirimkan kekuasaan Kamu menentang mereka, (lagi) Ya Allah, Kirimkan kekuasaan Kamu menentang mereka. Ya Allah, hantarkan kepada mereka ribut kaum Aad, dan tangisan kaum Thamud, Dan taufan kaum Nuh, Ya Allah, Hantarkan kepada mereka sesuatu yang diturunkan dari langit, Dan dari apa yang keluar dari bumi, Ya Allah, Engkau pecah-belahkan negara mereka, Ya Allah, Jadikanlah negara mereka berpecahbelah dan pisahkanlah mereka, Ya Allah, Yang Maha Hidup dan Maha Berkuasa, Engkau tundukkanlah mereka di bawah genggaman hamba-Mu, (lagi) Engkau tundukkanlah mereka di bawah genggaman hamba-Mu, Ya Allah, Jadikanlah ribut taufan melanda mereka berterusan. (Lagi) Ya Allah, Jadikanlah ribut taufan melanda mereka berterusan.

(berhenti 30 saat) Ya Allah, bebaskanlah saudara-saudara kami yang ditawan, Ya Allah, bebaskanlah mereka, Ya Allah, berilah kekuatan kepada mereka, Ya Allah, Teguhkanlah keimanan mereka, Ya Allah, jadikanlah segala kemungkinan untuk mereka, Ya Allah, urusilah orang-orang yang menyiksa mereka. (Lagi) Ya Allah uruskanlah orang-orang yang menyiksa mereka, Ya Allah hapuskanlah mereka dengan kuasa-Mu dan Kekuasaan-Mu,

Ya Allah, jadikanlah perancangan mereka menentang kami sebagai sebab kepada kehancuran mereka, Dan kelicikan mereka, sebagai kelicikan terhadap mereka, Ya Allah, Tuhan sekalian alam, Yang Maha Hidup, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Besar dan Yang Maha Pengasih, Yang Mendengar segala doa, Yang terdekat, untuk menerima doa, Kami berdoa kepada-Mu, menyedari janji-janji- Mu, dan penerimaan-Mu. Kerana Engkau telah berfirman dan kata-kata-Mu adalah benar: "Mintalah kepada-Ku, Aku akan menerima permintaanmu", Ya Allah, terimalah doa kami, (lagi) Ya Allah, terimalah doa kami,

Ya Allah, Yang Maha Kekal, Yang Maha Agong, Yang Maha Berkuasa di atas segala yang ada di langit dan bumi, kami memohon agar Engkau selamatkan al-Aqsa daripada kejahatan Yahudi, (lagi) Ya Allah, selamatkan al-Aqsa daripada kejahatan Yahudi, Ya Allah, bebaskanlah al-Aqsa daripada setiap kegelapan hati orang-orang kafir, Ya Allah, rehatkanlah kami dalam membebaskan Aqsa, dan kalahkanlah dendam Yahudi, Ya Tuhan yang Maha besar lagi Maha Pengasih, Seluruh makhluk merendah diri kepada-Mu, patuh, ... Ya Allah, Penciptakami dari satu ruh, Ya Allah, Yang Maha Tinggi kedudukan-Mu, Ya Allah, Yang mempunyai kekuatan yang Maha Kuat, kami memohon kepada keagongan Islam dan umat Islam.

Ya Allah, Yang Maha Hidup, Yang Maha Berkuasa, Ya Allah, lindungilah para ulama yang berkerja keras (lagi) lindungilah para ulama yang berkerja keras, Dan teguhkanlah mereka yang ikhlas menyeru manusia pada jalan-Mu, Dan angkatlah kedudukan mereka yang menyeru kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, Dan anugerahkanlah keampunan yang sama kepada umat Islam yang menyertai mereka, Ya Allah, Yang Maha Hidup, Yang Maha Berkuasa, Ya Allah, Yang Maha Besar lagi Maha Pengasih, Ya Allah, dia yang menyerah diri untuk menghancurkan mereka, Yang bercakap untuk memburukkan kehormatan mereka, Dan mencari tempat perlindungan mereka, Dan mereka yang tidak Engkau berikan petunjuk, Ya Allah, jadikanlah kesengsaraan destini mereka, Ya Allah, kekacauan di jalannya, Ya allah, tukarkanlah kesihatan mereka kepada kesakitan, Dan kekuatan mereka kepada penyakit, Dan kekayaan mereka kepada kemiskinan, Dan kekuasaan mereka kepada kelemahan.

Amin Ya Rabbal 'alamin!

Dicatat oleh AMBUYAT EL-BINANGKIT dipetik dari :  http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=5246
Share this topic on Facebook

Sunday 6 November 2011

Penting: Akidah Kakitangan Kerajaan Semakin Kronik!

Saudara,
Kerja yang saudara sayang sekiranya dibuang. Rezeki yang saudara jaga takut ketirisan. Rumah dan kenderaan yang saudara sayangi serta  kampung halaman yang saudara tidak mahu berjauhan. Semua itu anugerah Tuhan. Kalau saudara menyedari dan beriktikad demikian, sepatutnya tiada sebab saudara takut berjuang untuk membantu agama Tuhan. Takut berjihad menentang kebatilan. Mengapa saudara memilih zon selesa dalam keadaan Islam memerlukan penglibatan saudara. Dan dalam banyak-banyak cabang perjuangan, yang amat menyedihkan adalah apabila saudara takut untuk mendekati kuliah-kuliah agama di surau dan masjid yang saudara dan bos saudara cop sebagai surau pembangkang. Tergamaknya saudara meminggirkan diri kerana takut pada manusia?

Saudara,
Kalau hendak mendengar kuliah agama pun takut, itu bala namanya. Jangan ingat bala hanya apabila ditimpa musibah banjir, ribut dan bencana alam sahaja. Berkekalan takut untuk bertandang ke kuliah agama itu lagi bala. Bala akidah namanya. Sedarkah saudara bahawa bala itu bermakna Allah melaknati saudara? Di surau dan masjid yang saudara dan bos saudara cop sebagai sarang pembangkang, ada kuliah dari para ustaz yang ikhlas dalam penyampaian ilmu. Jangan saudara ingat, asal surau pembangkang, isunya politik, politik, politik. Di sana ada fekah, sirah, akidah dan tafsir. Semuanya dikupas dengan menarik. Tergamak saudara meninggalkan itu semua kerana takut dipanggil dan ditegur oleh bos-bos saudara?

Saudara,
Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini. Adakah saudara ingin tunggu usia pencen 60 tahun baru hendak berjinak-jinak dengan surau dan masjid ini? Kalau mendengar kuliah pun sudah saudara takut pada manusia, apalah lagi dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah? Apakah saudara hanya mahu jadi penonton kepada jatuh dan bangunnya Islam? Jawablah di hadapan Allah apabila saudara bertemu-Nya di akhirat kelak. Dan saudara mesti ingat, belum tentu saudara dapat bersama dengan perjuangan ini pada usia 60 nanti.

Saudara,
Di sini kutinggalkan sedikit nota pesan dari al-Quran ( Surah as-Saff: 10 – 14) agar dapat saudara hadam.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).   (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. 

Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang  beriman.
   
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. 

Wednesday 2 November 2011

Persoalan Tentang Ibadat Qurban.

Pada 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi meraikan kejayaan sebilangan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah. Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, lazimnya meraka akan mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung atau rumah terbuka untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam.
Selain itu, Hari Raya Aidiladha turut disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu akan disembelih binatang seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadat korban ini bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis berikut (bermaksud):
Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.
(Surah al-Kauthar: Ayat 2)
Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah SWT dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Erti Pengorbanan
Antara hikmah ibadat korban ialah untuk menghidupkan erti pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS ketika Allah SWT memerintahkan Baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah Allah SWT tersebut, tetapi Allah SWT telah menggantikan sembelihan tersebut dengan seekor kibasy. Keimanan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ketika melaksanakan perintah Allah SWT ini menjadikan ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri untuk dihayati oleh setiap orang Islam.
Ukhwah Islamiah Yang Utuh
Selain itu, ibadat korban juga mengandungi pengertian untuk mendidik umat Islam agar mereka tidak melupakan golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan setelah Allah SWT berikan rezeki kepada mereka. Ibadat korban turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih-sayang sesama sanak-saudara dan jiran-tetangga yang hadir untuk bersama-sama kita bergotong-royong melaksanakan ibadat korban. Dengan itu akan lahirlah sebuah ikatan persaudaraan Islam yang kuat antara individu dan masyarakat.
Hukum Ibadah Korban
Menurut majoriti ulama dan mazhab Shafie, hukum korban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan. Namun ia boleh menjadi wajib dengan dua sebab: Pertama, apabila seseorang itu mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk dikorbankan seperti menyatakan "ini adalah korbanku" atau "aku akan korbankan binatang ini".
Kedua, apabila seseorang itu bernazar atau mewajibkan dirinya melaksanakan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti menyatakan "wajib bagi aku korban kerana Allah SWT".
Binatang yang disyariatkan untuk dikorbankan adalah unta, lembu atau kambing. Selain ketiga-tiga binatang ini, tidak sah melakukan korban dengan binatang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT (bermaksud):
Dan bagi setiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan Allah kepada mereka.
(Surah al-Hajj: Ayat 34)
Menurut ulama, perkataan binatang ternakan dalam ayat di atas bermaksud unta, lembu dan kambing. Selain itu, tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan korban selain daripada tiga jenis binatang tersebut. Oleh itu, binatang paling afdhal (terbaik) ialah unta, kemudian lembu atau kerbau dan kemudian kambing.
Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. Maka harus melaksanakan korban dengan mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian itu. Manakala kambing pula tidak boleh dibahagikan seperti unta dan lembu.
Waktu Korban
Waktu korban bermula selepas terbit matahari Hari Raya Aidiladha iaitu selepas dilaksanakan solat sunat hari raya dan selesai mendengar khutbah. Manakala tempoh mengadakan korban berakhir setelah terbenam matahari pada akhir haritasyrik iaitu 13 Zulhijjah. Sepanjang tempoh tersebut, umat Islam boleh melakukan korban bila-bila masa sahaja, namun korban pada waktu malam kurang digalakkan. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW (bermaksud):
Setiap hari tasyrik adalah sembelihan (waktu korban).
(Riwayat Ibn Hibban)
Daging Korban
Sekiranya korban tersebut adalah korban wajib atau nazar, maka tidak harus bagi orang yang melakukan korban dan mereka di bawah jagaannya memakan daging korban tersebut. Jika salah seorang daripada mereka memakan sedikit daging korban itu, daging korban itu hendaklah diganti semula dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian daging yang dimakan.
Namun sekiranya korban tersebut adalah korban sunat, maka harus bagi orang yang melakukan korban itu memakan mengikut kadar yang dikehendakinya dengan syarat dia hendaklah bersedekah sedikit daripada daging korban itu. Manakala paling afdhal ialah memakan sedikit sahaja daging korban itu untuk keberkatan dan bakinya yang lain disedekahkan. Oleh itu, harus bagi orang yang melakukan korban itu memakan satu pertiga daripada bahagiannya, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat-handai dan jiran-tetangga walaupun mereka orang kaya.
Daging korban yang dihadiahkan kepada orang kaya hanya boleh dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya. Manakala daging korban yang diberikan kepada fakir miskin tidak terikat dengan syarat ini. Maka mereka boleh memakan atau menjual daging tersebut mengikut kehendak mereka.
Kulit Binatang Korban
Bagi orang yang melakukan korban, mereka boleh sedekahkan kulit binatang korban itu atau dimanfaatnya untuk dirinya sendiri. Tetapi tidak boleh dijual atau diberikan kepada penyembelih binatang korban itu sebagai upah kepada sembelihannya. Ini kerana perbuatan memberi upah dengan cara sebegitu boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadat korbannya. Namun jika pemberian tersebut bukan atas dasar upah kerana orang yang melakukan korban telah memberikan wang sebagai upah kepada penyembelih, maka pemberian kulit dan sebagainya lagi tidak menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi penyembelih adalah orang fakir miskin. Ini bertepatan dengan hadis-habis berikut (bermaksud):
Rasulullah SAW telah memerintahkan aku (Ali RA) menyembelih unta-unta Baginda (sembelihan korban ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku sedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah daging) sedikit pun daripadanya.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tiada korban baginya.
(Riwayat al-Baihaqi)
Manakala antara sunat-sunat ibadat korban seperti; disunatkan tidak menghilangkan bulu dan kuku apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan orang yang melakukan korban menyembelih binatang korbannya sendiri, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia hadir menyaksikan sembelihan itu dan disunatkan bagi pemerintah melakukan korban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam.
Demikianlah penjelasan ringkas mengenai persoalan yang berkaitan dengan ibadat korban yang akan dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha nanti. Semoga dengan penjelasan ini akan meningkatkan mutu ibadat korban kita berbanding tahun-tahun sebelumnya. InsyaAllah.
Wallahualam.
- Artikel iluvislam.com