Sunday 29 January 2012

DI MANA HULUBALANG PAS APABILA ULAMA DILIBAS?

- oleh BayangDiAir

Mengapa musuh berani menceroboh istana? Jawabnya adalah kerana para hulubalangnya sedang lena  atau sedang pelahap hidangan di pinggir huma. Apabila musuh melihat istana tidak sedia dilindungi oleh hulubalang, maka musuh tidak gentar lagi untuk ceroboh kamar diraja. 



Mukadimah ini  adalah analogi sinikal untuk sikap pemimpin PAS yang segan untuk bertindak apabila setiap kali istana PAS diceroboh oleh rakan dan lawan. Penulis spesifikkan teguran ini untuk para professional di dalam kepimpinan PAS yang diam setiap kali ulama dan ‘ istana PA.S diserang oleh rakan pakatan.


Penulis tidak berniat buruk apabila menyuarakan pandangan ini. Sebarang niat buruk hanyalah akhirnya membinasakan perjuangan yang didukung oleh penulis sendiri. Seikhlasnya penulis melihat bahawa apabila Prof Aziz Bari membedal pemimpin PAS untuk sekian kalinya, tiada seorang pun daripada kalangan profesional yang vokalis dan terampil, bangkit bangun menyerang balas sikap biadap manusia yang menceroboh istana PAS. Situasinya samalah seperti analogi di atas tadi. Sikap negatif ini menatijahkan sudut pandangan yang negatif juga oleh ahli-ahli di luar ini.


Poin teras maksud penulis ialah para profesional yang menjadi hulubalang hendaklah tangkas gagah mempertahankan ulama dan istana. Tidak moleklah sekiranya hanya para ulama juga yang bertungkus-lumus menjaga air muka ulama. Tentulah ini akan timbul persepsi bahawa ada blok antara professional dan ulama. Ini yang kita tidak mahu kalau benar kesepaduan ulama dan professional sebati, sehati, seia dan sekata. Apabila berjalan,  berderap,  sederap bunyinya.


 Cuba lihat dalam kes bakal PM sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya. PKR tidak segan-silu untuk mengangkat DSAI sebagai calon menanti. Sedangkan kalau tidak diangkat oleh hulubalang PKR pun, PAS pasti boleh terima hakikat peranan dan keterampilan DSAI untuk menjadi PM. Namun, ketika DSAI dijangkakan akan menghuni tirai besi dalam kes liwat baru-baru ini, siapakah dari kalangan profesional PAS yang bersedia mencadangkan TG Presiden yang merupakan seorang ulama untuk menjawat jawatan tersebut? 


Kalaulah cadangan itu dibuat oleh Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan PAS, sudah tentu  kata-kata bahawa hanya ulama mengangkat ulama menjadi benar. Maka sebaliknya benarlah pula bahawa  professional PAS tidak sealiran lagi dengan ketuanya. ( Mujurlah tepat kata Presiden, “burung terbang jangan dipipiskan lada”. Belum tiba masanya untuk berkira. Selesai).


Penulis menulis ini kerana rasa bimbang andai senario ini memungkinkan lawan dan kawan tidak hormati lagi kepada pemimpin PAS dan kehebatan ‘ istana PAS’. Istana ini bagai tidak berpagar lagi. Hulubalang entah ke mana menghilangkan diri. Tinggal paduka bersendiri. Di mana pergi kehebatan gerakan ini?

Justeru itu, professional PAS yang gagah perkasa MESTI bangkit bangun mempertahankan maruah ulama dan ‘istana’ ini. Kami, yang di bawah ini, berbai’ah dan berwala’ akan menjadi pagar yang akan mempertahankan pula siapa sahaja yang bernama pemimpin bagi kami. Ini adalah peringatan kepada lawan mahupun kawan agar  beringat-ingat  dengan peribahasa ini, “kalau ingin memukul kucing, perhati-perhatikan tuannya”.

Nota: Tulisan ini adalah cetus resah-gelisah ahli di bawah ini yang tergugat kesabarannya apabila keceluparan kawan berulang-ulang.

 

Friday 27 January 2012

WASPADA, JANGAN CALONKAN PROF AZIZ BARI.

- oleh BayangDiAir

Apakah hak Aziz Bari mencadangkan Ustaz Azizan  masuk BN? Apakah hak Azmin Ali cadangkan Hassan Ali dipecat dari PAS? Mengapa sampai tahap ini gangguan luar dari kalangan rakan Pakatan Rakyat terhadap PAS? Apakah ia akan jadi satu fenomena dalam politik Pakatan Rakyat iaitu  rumah tangga PAS terbuka untuk dicerobohi oleh rakannya sendiri? Kalau senario ini tidak dikawal, maka jangkaan ini tidak mustahil terjadi? Di manakah silapnya?

Silapnya datang dari pemimpin PAS sendiri. Dalam peristiwa Azmin Ali mengutuk Mustafa Ali, tiada pemimpin PAS yang ‘backup’ Mustafa Ali. Ketika Azmin Ali meminta PAS memecat Hassan Ali, hanya Ketua Pemuda PAS menegur sikap Timbalan Presiden PKR ini. Ke mana pemimpin-pemimpin PAS yang lain? Adakah kalian masih bersantai   ketika rumahtangga sendiri dicerobohi hanya semata-mata kalian begitu marah atau tidak sealiran pendapat akan rakan pemimpin parti?

Terdahulu,  Aziz Bari pernah mengkritik secara tidak beradab akan Presiden PAS. Siapakah yang mempertahankan maruah Presiden? Bukan kritikan itu yang dipersoalkan tetapi tahap meminta Presiden diganti atau mengundurkan diri adalah keterlaluan oleh seorang rakan dalam Pakatan Rakyat. Perlukah  mengungkapkan Presiden PAS dengan istilah “Pak Lah versi PAS?” Kritiklah mana yang tak betul tapi janganlah dalam mengkritik kita selit dengan hinaan. Presiden PAS itu ulama. Ulama itu pewaris nabi. Beliau ada maruah. Beliau ada pengikut. Beliau tidak mencalonkan dirinya untuk menjadi Presiden gerakan Islam. Beliau dipilih dan diberi amanah oleh ahli PAS secara total. Apakah intelektual pun tak tahu membezakannya?

Selepas kebiadapan itu, Prof Aziz Bari terus dipuji-puja; maklumlah beliau seorang tokoh perlembagaan dan cendikiawan yang menjadi aset kepada Pakatan Rakyat. Beliau menggunakan ilmunya secara pepat untuk menyanggah kebobrokan UMNO/BN. Siapakah dari kalangan pemimpin atasan PAS yang membela TGHH dan menyelar sikap Aziz Bari? Apabila mereka tidak menyelar sikap Aziz Bari, ada dua natijahnya, iaitu sama ada malas bersuara atau membenarkan penghinaan itu. Tidak-tidak pun mereka memberi muka kepadanya.

Sikap pemimpin PAS ini bagai memberi ruang kepada orang lain bersikap berani mengganggu rumahtangga PAS.  Mana mungkin sekiranya  pemimpin dan ahli PAS berhati perut, sanggup menjemput Aziz Bari untuk menjadi panel diskusi dan program ceramah parti.  Ini menjadikan Aziz Bari rasa tak kekok untuk ganggu rumahtangga PAS lagi.

Terbukti sudah, kini Aziz Bari untuk sekian kalinya menunjukkan sikap kurangnya; mengkritik tanpa berlapik akan Ustaz Azizan, seorang ulama dan seorang pemimpin  sebuah negeri. Diusulkannya agar Ustaz Azizan masuk BN saja hanya kerana isu AUKU di KUIN, Kedah.  Mengapa Aziz Bari tidak pergi jumpa dan’slow talk’ dengan MB Kedah itu sebagaimana beliau pernah pergi jumpa TG Nik Aziz atas isu hudud yang baru berlalu? Kan cara itu menyelesaikan masalah? Mengapa dengan TG Nik Aziz boleh, tapi dengan TG Haji Hadi dan Ustaz Azizan tak boleh buat macam tu? Orang PAS tak rasa apa-apakah? Orang PAS boleh diam lagi untuk menguar-uarkan PAS ni penuh keterbukaan?

Kalau Azmin Ali sanggup cadang Hassan Ali dipecat dan Aziz Bari mencadangkan Ustaz Azizan masuk BN maka melalui tulisan ini penulis hendak menggunakan hak yang sama adil. Penulis menasihatkan Azmin Ali dan PKR ( dan mungkin juga DAP) agar tidak menerima Aziz Bari menjadi ahli parti; apalagi mencalonkan beliau untuk bertanding dalam PRU13 nanti. Kelibat awal professor ini nampaknya akan menghuru-harakan keharmonian kesatuan Pakatan  suatu hari nanti. Ya, suatu hari nanti. . Mungkinkah Aziz Bari juga suatu hari nanti juga akan jadi “Hassan Ali Ke-2”? Bezanya, Hassan Ali menyerang pemimpin PKR manakala Aziz Bari pula menyerang pemimpin PAS (kecuali TG Nik Aziz). Serang TG Nik Aziz, tahulah muka si Aziz ini.

Sebagai penutupnya, ditegaskan bahawa ini adalah satu cadangan dan pendapat penulis demi kebaikan PAS dan Pakatan Rakyat.  Penulis ada kelemahan sendiri dari segi ilmu dan maklumat. Abaikanlah sekiranya tulisan ini bersikap prejudis dan penulis tidak lupa memohon maaf kepada yang empunya diri.

Tuesday 24 January 2012

Mampukah Saudara Menjinakkan Ular Berbisa?


= oleh BayangDiAir

Saya dan tuan puan memerlukan harta untuk hidup. Tanpa harta kita jadi peminta. Dengan harta, kita dapat berumahtangga dan bekeluarga serta menguruskan keperluannya. Ada orang mencari harta dengan dua tiga pekerjaan. Pagi ke petang dengan kerja pertama dan sesi malam dengan kerja sambilan. Kita tidak akan pernah cukup dengan harta. Kalau diberikan kepada kita selembah emas, kita mahukan dua lembah.

Orang yang tiada harta dengan caranya. Ada yang terpaksa berhutang dan meminta. Keperluan keluarga tidak pernah sempurna. Bolehlah untuk hidup walaupun nasi dengan ikan masin, berteduh dengan atap rumbia. Yang kaya pula dengan caranya pula; berkereta dan berumah besar dengan pinjaman bank ratusan ribu ringgit. Tengok jiran atau kawan  membesarkan rumah, mari keinginan untuk membesarkan pula rumah sendiri. Kepuasan tidak pernah ada titik nokhtahnya.

Memang Islam tidak melarang umatnya mencari dan memiliki harta. Hartawan yang pemurah lebih disayangi dan diperlukan oleh agama. Selagi harta diusahakan secara halal dan dibelanjakan secara halal, carilah harta wahai orang-orang mukmin. Selagi tidak lalai solat, zakat dan menadah kitab, carilah harta yang Allah sediakan untuk orang-orang beriman.Namun iIngatlah, harta adalah umpama ular. Ular adalah haiwan berbahaya bagi manusia. Ada segelintir sahaja manusia yang mampu menjinakkan ular sedangkan ramai tewas dengan belitan dan bisa ular. 

Akhir tazkirah, teringat saya akan kata-kata tok guru. Katanya, “ harta kita mungkin berjuta. Namun bahagian kita hanyalah sekadar apa yang kita sempat pakai untuk sekujur tubuh yang panjangnya tak sampai enam kaki, apa yang kita makan untuk perut yang hanya sebesar labu air. Yang selebihnya, sama ada di dalam bank dan yang tak sempat kita nikmati adalah pasti bukan bahagian kita.” Rupanya ular yang kita cari hanya untuk bermain-main pada hujung ekornya.