Saturday 24 March 2012

wasiat Untuk Remaja: Berdoalah


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”

                                                                      Surah al-Baqarah: 164




Wahai remaja yang dikasihi sekalian,

Setiap hari dan detik kita bergerak ke sana dan ke sini atas pelbagai urusan kehidupan. Kita berulang-alik ke sekolah pada setiap pagi dan petang sama ada dengan berjalan kaki, menunggang motosikal, menaiki kereta atau bas. Pada waktu-waktu yang lain kita sentiasa berada di jalan raya yang sungguh mencabar. Kenderaan bersimpang-siur. Alhamdulillah kita selamat.  Kita semua selamat dalam perjalanan ke mana sahaja, bukan kerana kita cekap memandu. Ramai orang yang cekap memandu terlibat dalam kemalangan. Ada kemalangan kerana kecuaian sendiri dan ada kerana kecuaian orang lain.

Percaya dengan yakinlah bahawa kita diizinkan selamat oleh Allah kerana doa kita yang disertai oleh rahmat Allah. Dalam segala aspek kehidupan kita, kita selamat dan berjaya mengharunginya bukan kerana kita cerdik, kaya, cantik dan sebagainya; tetapi kita selamat dan berjaya adalah kerana berkat doa dalam solat, lepas solat dan di segala tempat serta rahmat Allah yang sentiasa melimpah-ruah bagi sesiapa yang sentiasa bersyukur. Jangan lupa juga bahawa ucapan salam yang dihulurkan dan membalas salam orang juga merupakan doa yang memberkati hidup kita.

Putera-puteri yang masih berada di alam remaja,
Ingatlah akan Allah selalu. Setiap detik Allah menjaga kita. Lihatlah bagaimana kalian selamat pergi dan balik dari sekolah. Waktu pagi dan petang, kalian berada di jalan raya yang sibuk. Seandainya Allah tidak menjaga kalian, sudah pasti telah beratus-ratus kali kalian terlibat dalam kemalangan. Oleh sebab Allah menjaga kitalah maka kita sentiasa selamat. Keselamatan itu tidak datang begitu sahaja. Keselamatan adalah anugerah Allah yang jarang kita fikirkan kerana ia berlaku dalam bentuk lumrah. Orang jarang fikir akan perkara yang sudah menjadi lumrah. Kerana jarang berfikirlah maka orang tidak sedar bahawa nikmat Allah selalu melimpah pada dirinya.

Melalui wasiat ini ingatlah wahai para remaja sekalian. Doa itu senjata bagi orang-orang mukmin seperti disabdakan oleh Nabi s.a.w. Yakinilah pada doa.  Berdoalah dengan khusyuk dan ketahuilah apa yang kita doakan sekiranya doa itu dibaca dalam bahasa al-Quran. Jangan kita menjadi seperti burung tiung yang hanya pandai menghafal beberapa patah perkataan tetapi tidak tahu apa yang disebutkan. Doa mestilah datang dari lubuk hati , terpantul pada lidah dan meresap ke dalam jiwa yang penuh pengharapan kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, lazimkanlah berdoa dalam setiap detik dan perjalanan aktiviti hidup kita terutamanya di zaman yang penuh pancaroba  ini. Gandingkanlah doa itu dengan rasa syukur atas anugerah keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita pada setiap detik.

Kata Hikmat :
“ Tidak usahlah membawa pisau dalam tanganmu. Bawalah doa dalam dadamu.”

Wednesday 21 March 2012

WASIAT UNTUK REMAJA: APAKAH YANG PENTING APABILA MENGINGATI MATI?

“Perbanyakkanlah mengingati mati kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan menjadikannya zuhud dalam urusan dunia.”

                                                                                                            Sabda Nabi s.a.w.

Wahai anak-anak yang dikasihi sekalian,
Apabila kita mengingati mati, maka hati kita akan terus hidup kerana mengingati mati menyebabkan hati kita sentiasa mengingati Allah. Orang yang tidak mengingati Allah bermakna hatinya telah mati.

Apabila fikir hal mati, mungkin kita terfikir tentang bila dan bagaimana kematian kita. Bila dan bagaimana kematian kita bukanlah perkara yang perlu difikirkan.  Semua orang akan mati apabila tiba saatnya. Yang penting direnung dan difikirkan ialah adakah mati kita sama dengan doa yang sentiasa kita baca selepas solat. Antaranya, kita mohon kematian kita dimulakan dengan keampunan oleh Allah, mati bersama rahmat dan kasihsayang Allah,mati dalam keadaan Allah terima taubat kita dan mati yang dimudahkan Allah. Inilah yang kita perlu pastikan. Kalau kita hidup sehingga 100 tahun  pun dan mati dalam keadaan tidur pula, itu tiada gunanya  jika kita mati dalam dosa dan kemurkaan Allah.

Apabila kita memikirkan tentang mati yang dimulakan dengan keampunan, penerimaan taubat, rahmat dan kasihsayang Allah tadi, maka itulah dinamakan tazkirah hati dan muhasabah diri. Tugas kita ialah bekerja untuk mencapai mati seperti itu. Tanpa hati yang mulia dan amal yang banyak, suci dan ikhlas, sukar untuk kita mencapainya. Masakan Allah memberi kematian yang baik itu sedangkan kita kurang amal, ahli fasik[1] dan semasa hidup kita selalu meminggirkan Allah dari hati kita.

Justeru itu, mulalah beramal, bertaubat dan akrab dengan Allah. Cara hidup dan amal kita menggambarkan cara kematian kita. Apabila kita telah melakukannya, maka bolehlah kita letakkan harapan kepada Allah akan satu kematian yang baik. Ketahuilah bahawa kematian adalah salah satu fasa dalam perjalanan kita untuk bertemu dengan kekasih kita yang sebenar.  Bukankah itu indah kalau semasa hidup kita selalu memuja, memuji dan merindui KEKASIH kita? Fikirkanlah wahai anak-anak remajaku sekalian agar hidup kita selamat di dunia dan akhirat dan kita semua dapat berkumpul di dalam syurga Allah yang indah.

“Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan menghadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata: Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia! Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.”
                                                                        Surah al- An’am: 31

Katakanlah “(wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
                                                                                                Surah al-Kahfi: 110




[1] Ahli fasik = orang yang berterusan dengan kerja-kerja maksiat.

Saturday 17 March 2012

DAKWAH PAS DAN PENDATANG ASING

 
PAS telah sekian lama bergerak sebagai badan dakwah dan politik. Kedua-dua aspek ini berjalan seiring meskipun aspek politik kelihatan lebih menonjol. Ini adalah kerana kerja politik itu sendiri telah membawa bersama kerja dakwah. Melalui wadah politik, PAS berdakwah kepada rakyat jelata tentang peranan manusia sebagai khalifah, tentang kewajipan melaksanakan perintah Allah dan urusan pentadbiran dan pengurusan negara serta peranan warga dalam menterjemahkan Negara Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Namun penulis melihat peranan PAS masih terbatas tanpa kita disedari. Benar PAS telah memainkan peranan sama ada pada peringkat glokal atau global. PAS terlibat dalam gerakan Islam antarabangsa dan mengambil cakna tentang nasib serta hala tuju umat Islam di seluruh dunia. Namun, di dalam tanah air sendiri, PAS bagaikan tertinggal satu mad’unya iaitu pendatang asing yang kini berjumlah lebih 3 juta di Malaysia.

Para pendatang ini sama ada yang datang dengan izin atau tanpa izin perlu menerima dakwah. PAS mesti mendekati mereka tanpa bermusim dan sempadan. Justeru itu, PAS perlu menubuhkan satu lujnah khusus untuk menarik mereka kepada Islam dan pengamalan Islam dalam kehidupan yang mencakupi segala aspek. Oleh kerana bilangan mereka agak besar sewajarnya lujnah itu dijenamakan dan seterusnya boleh pula diwujudkan NGO PAS seperti mana Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah yang melahirkan ANAK pimpinan Saudara Mazlan Aliman.

Penubuhan lajnah dan NGO yang berperanan dalam pendatang asing ini semakin relevan kini. Bukan sahaja kerana kerja dakwah itu bersifat universal tetapi juga pendekatan BN sekarang yang cuba mengeksploitasi para pendatang asing ini untuk membantu kemenangan mereka. Cerita pendatang asing yang diberi kerakyatan mudah agar akhirnya dapat mengundi telah lama berlaku. Malah kini hal ini semakin berleluasa dalam usaha BN mengekalkan kuasa dalam PRU13.

Apakah usaha PAS untuk memberi mimpi ngeri kepada BN? Penulis berpandangan bahawa di samping mendedahkan dan menghalang perlakuan khianat BN dalam isu kerakyatan mudah bernuansakan politik kotor ini, PAS juga patut menarik ‘rakyat baru’ ini agar memahami politik Islam dan politik Malaysia. Ambil cakna dan prihatinlah akan kebajikan dan nasib mereka. Dekatkan mereka dengan cara hidup Islam termasuk politik Islam. 

Mereka juga berhak mendapat mesej PAS sebagimana warga Malaysia yang sedia ada. Akidah mereka perlu  diselamatkan. Bawalah yang belum Islam kepada Islam dan yang sudah Islam kepada cara hidup Islam. Pendatang asing sama ada yang telah menjadi ‘rakyat baru’ atau tidak,  akan bersama-sama dengan PAS apabila mereka mengerti akan perjuangan yang dibawa oleh PAS. Sebagaimana persempadanan semula menjadi mimpi ngeri buat BN pada PRU12, marilah kita bergerak pantas untuk mencipta mimpi ngeri kedua buat BN dengan terlepasnya Putrajaya daripada genggaman mereka.

Monday 12 March 2012

BEZA ANTARA MERENDAH DIRI DAN MERASAKAN DIRI RENDAH.

Para pembaca yang budiman,
Antara sifat yang mulia ialah sifat merendah diri sesama insan lebih-lebih lagi kepada orang yang lebih rendah kedudukannya daripada kita. Mulialah manusia yang merendah diri. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tawaduk dan soleh. Dipesan oleh nenek moyang kita bahawa ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Ketahuilah para hamba Allah sekalian bahawa kedapatan manusia yang sanggup merendah diri dalam situasi umum tetapi tidak pula rela melihat manusia yang lebih rendah kedudukannya mengatasi mereka dalam situasi yang lain. Mereka mula rasa tercabar. Mereka terasa malu apabila pada suatu ketika orang yang dahulunya rendah tiba-tiba ditakdirkan naik kedudukannya melebihi dirinya. Kini orang seperti ini telah diganggui oleh rasa besar dirinya.

Justeru itu, pembaca yang beriman mesti benar-benar mempunyai jiwa yang zuhud dan tawaduk dalam merendah diri. Dan ketahuilah bahawa manusia yang lebih mulia  di sisi Allah Ta'ala ialah manusia yang merasakan dirinya rendah. Orang seperti ini tidak akan rasa hairan dan tergugat apabila ada manusia yang lebih rendah kedudukannya tiba-tiba diangkat oleh Allah berada pada kedudukan yang lebih baik daripadanya.  Dia tidak akan berasa apa-apa dan tidak juga merasakan bahawa Allah merendahkan kedudukannya kerana dia secara insaf dan zuhud merasakan dirinya memang kerdil, rendah dan berjiwa hamba kepada Allah s.w.t. Hanya dalam situasi begini manusia benar-benar bebas dari sifat riak, takabbur, ujub dan segala sifat yang hanya wajar dimiliki oleh Allah Yang Mencipta alam semesta.

Kata-kata hikmat:
Orang yang merendah diri ada ketikanya merasakan dirinya tinggi. Manakala orang yang merasakan dirinya rendah tidak sedar dirinya tinggi di sisi manusia dan Allah.

Tuesday 6 March 2012

SATU PANDANGAN TENTANG WAKTU CERAMAH PAS


Sudah berpuluh tahun PAS menyebarluaskan politik Islam dan dakwahnya melalui ceramah.  Saya merasakan PAS seharusnya telah lama melakukan transformasi terhadap ceramah yang dianjurkan.    Untuk kali ini saya hanya akan berbicara tentang waktu dan tempoh masa ceramah.

Waktu ceramah biasanya diadakan bermula pukul 9.30 malam hingga pukul 12.00 tengah malam. Waktu ini dikatakan ideal kerana ketika itu orang ramai sudah selesai solat Isyak, pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk ke tapak ceramah.  Soalnya, tidakkah waktu  tamat ceramah itu agak lewat malam?

 Secara umumnya, orang tidur antara pukul 10.30 hingga 11.30 malam. Tidur awal kerana Subuh juga awal. Lainlah bagi orang yang solat Subuhnya ketika matahari sudah naik. Kalau ceramah tamat pukul 12.00 tengah malam, ditambah masa perjalanan pulang mengikut jarak, maka agaknya pukul 12.30 pagi atau lebih, barulah boleh melelapkan mata.

 Apa kata, program  ceramah dimulakan  pada pukul 7.00 hingga pukul 10.30 malam. Mulakan program dengan solat berjamaah Maghrib  di tapak ceramah. Selepas itu, adakan kuliah maghrib atau tayangan video. Boleh juga diteruskan dengan ceramah pertama oleh golongan ulama yang menjurus kepada isu-isu agama. 

 Masuk Isyak, solat berjamaah pula. Pukul 9.00 malam, sudah boleh disambung dengan  ceramah seterusnya. Dengan tiga orang penceramah  termasuk ceramah alu-aluan oleh tuan rumah, program dijangka usai pada pukul 10.30 malam.

 Itulah masa yang saya fikir sesuai untuk orang yang mementingkan solat Subuh berjamaah keesokannya. Malah perjuangan sangat-sangat mengharapkan para penyokong dan ahli-ahli terdiri daripada orang-orang tidak pernah ponteng solat Subuh berjamaah.

Dengan jadual ceramah sedia ada, dibimbangi orang yang biasa tidur sebelum pukul 12.00 malam dan solat Subuh berjamaah terlepas jamaahnya. Orang yang biasa solat Subuh dalam waktunya, terlepas waktunya. Atas maslahat ini, tidak logikkah difikirkan cadangan ini?

Saturday 3 March 2012

Hantar mak ke hospital

Fail SKJ
Jangan sesekali berputus asa untuk menjaga ibu-bapa kita, walaupun semakin banyak tanggungjawab kita, buatlah apa sahaja untuk menjaga mereka.... Gambar diambil di Hospital Chi Mei, China.


Admin: Sepatutnya orang Islam yang menunjukkan contoh seperti ini.