“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu
melainkan untuk beribadat kepada-Ku”
Surah az-dzariyat: 56
Para
remaja yang soleh dan solehah sekalian,
Lihatlah
mentari yang mula naik di ufuk timur pada waktu pagi dan dan menghilang di ufuk
barat pada waktu senja. Perhatikan pucuk-pucuk muda yang segar selepas hujan
dan daun-daun kering yang berguguran. Renungi burung yang berterbangan, air
yang mengalir dan gunung yang menunjangi bumi dengan kukuhnya. Semua itu ada
pengajaran untuk diambil. Semua itu ada hikmah dan tujuan yang ditentukan Allah
pada kejadiannya. Bagaimanakah pula
tentang kejadian kita yang menjadi khalifah di bumi ini?
Persoalan
pokok tentang kejadian manusia mungkin pernah kalian fikirkan. Kalian
tertanya-tanya mengapa Allah jadikan kita dan atas tujuan apa Allah jadikan
manusia. Mungkin selama ini kita sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk
mencari jawapannya. Kita hanya menghabiskan masa dengan kerja buat
yang dipandu oleh matlamat kita sendiri.
Para
remaja yang dikasihi lagi disayangi sekalian,
Ayat
di atas dari surah azd-dzariyat menjadi jawapannya wahai anak-anak remajaku.
Maknanya cukup jelas dan mudah difahami. Itulah sebenarnya Allah menjadikan
kita dan manusia seluruhnya. Kita diciptakan bukan untuk sesuatu tujuan yang
tidak pasti. Kita juga tidak diciptakan untuk sibuk dengan urusan sendiri.
Apalagi kalau kita tenggelam dalam keseronokan dunia yang penuh dengan hiburan
dan tipudaya yang melalaikan. Itu sangat jauh menyimpang daripada tujuan Allah
menjadikan kita. Itu kesesatan namanya.
Wahai
remaja yang dirahmati semua,
Adakah
kalian sedang bernafas atas landasan dan tujuan kalian diciptakan? Apakah
ertinya beribadat seperti yang dimaksudkan Allah dalam surah di atas? Ibadat
itu luas maksudnya wahai anak-anak remajaku. Ibadat bermakna mengabdikan diri
kepada Allah s.w.t. Beribadat bererti kita menjadi hamba dan memperhambakan
diri kepada Yang Maha Pencipta. Solat, puasa dan berzikir adalah ibadat.
Belajar dan bekerja untuk Islam juga ibadat. Tidur juga ibadat. Malah tidak
melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah juga dinamakan ibadat. Semuanya
menjadi ibadat apabila dilakukan mengikut syariat dan peraturan Allah. Semuanya
menjadi ibadat apabila dilakukan kerana Allah.
Anak-anak
remajaku berada pada jalan yang benar sekiranya kalian melakukan aktiviti dan
rutin kehidupan selaras dengan kehendak agama. Kalian menepati tujuan
diciptakan seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat suci di atas.
Kalau anak-anakku berada di jalan yang bertentangan dengan perintah Allah ,
ayahanda menyeru kalian membetulkan semula langkah di bumi yang bersifat
sementara ini. Tinggalkanlah amalan yang
melalaikan diri kalian daripada
mengingati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Ingatlah bahawa sesiapa yang
gagal melakukan pengabdian diri kepada Ilahi bererti dia gagal menepati tujuan
Allah menciptanya. Sudah pasti balasan yang amat menakutkan menanti manusia
yang menyimpang hidupnya daripada landasan agama. Ayahanda yakin pesanan ini
dapat menjadi renungan kalian. Ayahanda doakan keselamatan dan kesejahteraan
untuk kalian wahai permata hati.
Buluh perindu tumbuh di hutan,
Dibuat serunai merdu sekali;
Taat beribadat kepada Tuhan,
Baru menjadi hamba sejati.
No comments:
Post a Comment