Friday, 3 June 2011

Di Luar Minda: Mencari Sudut Positif Dari Dosa Lepas


- oleh BayangDiAir

Saudara-saudari sekalian,
Ana sungguh teruja apabila membaca tulisan dan artikel kalian yang datang dari ilmu dan pengalaman yang ikhlas. Yakni ikhlas dalam berkongsi ilmu dan pengalaman demi suatu hari nanti kita sama-sama berkongi syurga pula.

Hari ini ana bawa satu renungan yang boleh dikatakan berada di luar minda kita semua. Ana sering juga memikirkan tentang ‘dosa-dosa lepas’ sehingga kadang-kadang menangis seorang diri sebelum tidur dan ketika memandu. Kadang-kadang ana rasa tangisan ana ini palsu dan air mata yang tertumpah adalah airmata buaya. Seolah-olah  diri ini berpura-pura di depan kebesaran Allah.

Entah macam mana, penyesalan pada dosa dan diri yang jahat pada Allah ini tiba-tiba mengilhamkan ana bahawa dosa yang lepas itu ada rahsianya yang mungkin tidak tercapai oleh minda seseorang melainkan dilontar ilham oleh Allah Yang Maha Pengasih. Dosa lepas itu ada sisi positifnya dalam keadaan orang selalu melihat dosa itu negatif. Pelik kan? Dimanakah sudut positif itu?

‘Dosa lepas’ bagi orang yang beriman umpama hutang dan mata pisau yang terlekat pada jantung. Hutang perlu dibayar kepada Allah dalam bentuk taubat dan gandaan amalan soleh. Mata pisau perlu dicabut dengan istighfar, zikrullah dan penyesalan yang bersungguh-sungguh sehingga rasa dekat benar diri pada Allah. Oh nikmatnya diri apabila dapat merasai diri dekat dengan Allah. ‘Dosa lepas’ adalah tali pengikat antara kasih kita kepada Allah dengan kasih Allah kepada kita. Cinta makhluk kepada Khaliq dan cinta Khaliq kepada makhluk boleh terjalin melalui ‘dosa lepas’. Kenapa? Kerana ‘dosa lepas’ adalah pintu taubat, pintu istighfar, pintu zikrullah, pintu takut dan pintu harap. Pintu besar kepada pintu-pintu itu ialah pintu syurga. Manakala Allah pula kasih kepada hamba-Nya yang sedar, insaf, bertaubat, takut dan berharap kepada-Nya.

Bukan untuk menjustifikasikan dosa kita. Bukan untuk rasa selesa dengan dosa-dosa. Apatah lagi untuk mendorong perlakuan dosa. Sahabat-sahabat hanya dapat memahami dan menyelami apa yang ana kata hanya jika diberi kefahaman oleh Allah. Sekiranya apa yang ana fikirkan dan tuliskan ini salah dari aspek akidah, maka betulkan ana melalui komen-komen membina.

Penutupnya ialah, ambillah pengajaran dan peluang dari dosa-dosa lepas untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa insaf, takut dan berharap kepada Allah seiringan dengan istighfar, taubat, zikrullah dan penggandaan amalan soleh. Orang yang ‘menghargai’ dosa-dosa lepas sentiasa benci pada dosa-dosa lepas dan dosa-dosa di hadapan. Ingat! Kita hanya lupa dosa-dosa lepas yakni dosa yang dilakukan sejak zaman remaja tetapi dosa-dosa itu tidak pernah hilang dari lipatan sejarah kehidupan kita. Dosa-dosa itu akan zahir kembali tepat pada masanya antara kita dengan Allah di Padang Mahsyar kelak.

No comments:

Post a Comment