- oleh BayangDiAir
Selain khusyuk, ada elemen lain yang sangat penting semasa kita hendak mendirikan solat. Elemen itu juga mampu menjana kekhusyukan di dalam solat. Dan yang paling penting ialah teras kepada tujuan solat itu sendiri yang kita dambakan. Sepertimana yang diketahui, kualiti solat setiap orang adalah berbeza. Ia bergantung kepada kesempurnaan wuduk, bacaan dan fe’el ( qauli dan fe’li) dan yang pentingnya kekhusyukannya.
Sebenarnya ada satu sudut penting solat yang mesti diidamkan oleh setiap pendiri solat. Sebelum itu, mengapa dikatakan sebagai ‘pendiri solat’ atau ‘mendirikan solat’? Melalui frasa ini Allah hendak menjelaskan betapa solat itu perlu dijaga sebagaimana bangsa Arab menjaga pokok yang bermutu tinggi. Kayu daripada batang pokok yang berkualiti itu dipilih sejak benihnya, dijaga dengan sempurna daripada gangguan serangga perosak atau binatang liar. Pembesaran pokok ini dipantau dan ditatang sejak benih hinggalah pokok tadi menjadi cukup matang. Proses inilah dimaksudkan sebagai ‘mendirikan’, yakni mendirikan sebatang pokok yang berkualiti.
Pokok inilah nanti akan dijadikan bilah-bilah panah yang akan digunakan untuk berburu dan senjata di medan tempur. Panah yang berkualiti, laju dan tepat ini dapat dihasilkan daripada pokok yang didirikan dengan sempurna ini. Inilah kelaziman dan budaya bangsa Arab, bangsa awal yang menerima perintah al-Quran. Justeru itu, Allah mengaitkan budaya ini dengan konsep yang dikehendaki oleh Allah dalam kata ‘mendirikan solat’.
Berbalik kepada sudut penting yang perlu diidamkan oleh pendiri solat. Sudut tersebut ialah niat mengapa solat itu didirikan kerana Allah? Mengapa bersusah-payah bertoharoh, berwuduk, menyalin pakaian bersih, bergegas mencari surau atau masjid dan akhirnya mengambil masa untuk bersolat? Banyak jawapannya, antaranya kerana iman, kerana menyahut seruan Ilahi, kena pahala yang berganda dan sebagainya. Melalui tulisan ini, penulis ingin berkongsi sesuatu yang besar dan amat murni.
Jawapannya ialah kita mendirikan solat adalah kerana ingin ‘rapat dengan Allah dan Rasulullah’. Ya, ingin rapat dan intim dengan Kekasih. Justeru itu, semasa menghampar sejadah atau membetul-betulkan kedudukan atau saf dan sebelum mengangkat takbir, lahirkanlah di dalam minda dan jiwa, ya seluruh minda dan jiwa bahawa ‘ya Allah, aku mendirikan solat ini nanti adalah kerana aku terlalu ingin rapat denganMu dan dengan RasulMu suatu hari nanti di di syurga kelak’.
Inilah bahan perkongsianku. Terima kasih kepada guruku yang menitipkan ilmu kepadaku. Dan terima kasih ya Allah kerana memilih aku untuk dimasukkan kefahaman ini.
No comments:
Post a Comment