Thursday, 21 July 2011

Penjelasan Terhadap Artikel Yang Disisikanankan oleh Moderator TKO.


-oleh BayangDiAir
Tulisan di bawah disisikanankan oleh moderator Tranungkite, mungkin kerana tajuknya yang agak sinikal. Tulisan ini juga ditegur secara berhemah oleh seorang forumer. Penulis mengaku tulisan ini ada cacat-celanya. Namun sesiapa yang membaca dengan teliti, pasti dapat memahami maksud tersirat oleh penulis.

Sebenarnya penulis memberi respons terhadap isu penutupan pusat hiburan pada bulan Ramadhan di Kedah berpandukan berita maya The Malaysian Insider, Malaysiakini dan Tranungkite. Ini bermakna tulisan itu berpandukan kepada maklumat yang boleh dipercayai. Dan hujah penulis semakin ternyata apabila membaca membaca Harakah cetak keluaran Isnin lepas, edisi 1658. Penulis berharap agar pembaca telaah sendiri laporan pada mukasurat N22 di bawah tajuk “Enakmen diluluskan kerajaan BN”.   

Dalam berita Harakah itu, memang yang disebut ialah tentang penutupan pusat hiburan. Tiada satu perenggan pun memaklumkan bahawa pusat hiburan hanya ditutup untuk pengunjung beragama Islam. Atas sebab itulah terbitnya pandangan penulis demi menyelamatkan hubungan kerajaan Kedah dengan rakyat bukan Islam dan hubungan harmoni antara PAS dan DAP. Malah lebih dari itu, penulis ingin memperingatkan tentang konsep amalan beragama yang dibolehkan oleh Islam itu sendiri. Penulis yakin bahawa pandangan penulis itu benar. Kerana itulah kerajaan Kedah memutuskan kemudiannya bahawa hanya orang Islam dilarang mengunjunginya. Justeru itu tulisan itu adalah relevan dalam konteks saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati.

Berikut adalah petikan perenggan yang menjadi intisari penting dalam tulisan yang telah disisikanankan itu. Semoga pandangan penulis dapat menjadi sesuatu yang bermanfaat kepada perjuangan ini. Dan seperti biasa, penulis memohon maaf, sedia menerima teguran dan sedia mengakui sekiranya teguran itu lebih benar daripada penulis yang cetek maklumat dan ilmu ini. Tulisan penuh masih terdapat di http://dakwahkemaman.blogspot.com.

(Untuk makluman, penulis juga ditegur dalam artikel “Wira Yang Tak Terbela”. Sila bandingkan artikel saya  dengan kenyataan Tuan Guru Haji Hadi dalam Harakah terbaru, edisi 1659, mukasurat N3 di bawah tajuk “Pemukiman PAS rangka pendekatan hadapi PRU13”. Bezanya pandangan penulis keluar mendahului kenyataan Tuan Guru Presiden.)

_______________________________________________________________

Ini soal bukan hendak menang pilihanraya seperti ulasan Dr. Aziz Bari.? Ini soal hukum. Penulis tidak bersetuju sekiranya sesuatu isu itu dipandang dan ditangani kerana kepentingan politik semata-mata. Bukan kita tidak mahu kemenangan. Memang kita berpolitk dan berjuang kerana hendak menang. Kalau untuk kalah, baik duduk kat rumah bermain sama dengan anak bini saja. Ini persoalan hukum. Kalau Islam mengizinkan bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka, mengapa kita hendak memaksa norma kita ke atas mereka? Sebaliknya, jika kita wajib melaksanakan hukum Islam kepada semua rakyat jelata tanpa kira bangsa dan agama, mengapa pula ditarik balik ketegasan kita? Tentulah salah satunya tidak betul di sini.


Persoalannya ialah, mengapa rundingan  menang-menang ini tidak dilakukan awal-awal lagi sebelum  keputusan yang nampak tegas dibuat? Kalaulah rundingan mendahului  kenyataan, sudah pasti suasana tidak kecoh dan melukakan hati kedua-dua belah pihak; PAS dan bukan Islam. Bagi penulis, ini bukan lagi situasi menang-menang. Imej PAS sudah tercalar pada mata rakyat kerana kelihatan mengalah kepada ugutan DAP.



Konklusinya, sampai bilakah isu-isu agama ditangani secara semberono begini? Sampai bilakah kita hendak mengamalkan ‘buat keputusan, kemudian baru berunding? Dan sampai bilakah DAP akan terus bermain-main dengan ugutan? Awas, kita lalai sedangkan rakyat sedang membina persepsi.

Akhir kalam, penulis memohon ampun kepada Allah s.w.t. sekiranya pandangan penulis yang daif ini menyalahi hukum. Juga penulis memohon maaf kepada Ustaz Azizan sekiranya penulislah yang bersikap semberono dalam mengulas isu ini. Penulis sedia diperbetulkan.

No comments:

Post a Comment