-oleh BayangDiAir
Tanggal 9 JULAI 2011 akan terpahat dalam sejarah negara sebagai suatu tragedi terhadap keadilan dan hak asasi manusia. Rakyat telah dipertontonkan kerakusan segerombolan manusia dalam usaha mengekalkan kuasa. Demokrasi Malaysia ialah sebuah demokrasi tempang apabila pihak penguasa melaksanakan pilihanraya hanya untuk menjustifikasikan kemenangan mereka. Gerombolan ini tidak rela menyediakan demokrasi untuk rakyat hanya kerana untuk mengangkat kerajaan selain daripada mereka.
Detik-detik menuju 9 JULAI 2011 penuh dengan pencabulan terhadap keadilan. Penguasa dan pasukan keselamatan bersikap lunak terhadap pemuda berbaju merah Patriot dan pelilit kepala PERKASA. Sebaliknya mereka menangkap secara kasar pemuda yang berbaju kuning diraja. Mereka tak menyentuh Ibrahim Ali dan PERKASA-nya kerana perjuangannya menguntungkan parti proksinya. . Ucapan provokasi Ibrahim Ali diklasifikasikan sebagai ‘tidak mengancam keselamatan negara’ walaupun bernada ugutan. Manakala pemimpin pembangkang yang berbaju kuning tanpa perkataan dan imej Bersih pun ditangkap secara kasar di depan orang awam.
Tragedi pencabulan hak asasi manusia untuk berhimpun dan bersuara terpahat pada 9 JULAI 2011. Takrifan undang-undang sudah jadi double-standard. Sejak PRU 2008 hingga 2011 sudah kerap rakyat dipertontonkan demonstrasi oleh pemuda UMNO walaupun suatu ketika merekalah menjulang retorik ‘demonstrasi bukan budaya kita’. Demonstrasi mereka berjalan dengan baik dan jayanya tanpa diapa-apakan. Apabila Bersih mengadakan perhimpunan aman mereka takrif mengikut nafsu mereka sebagai perhimpunan haram. Bersih hanyalah satu kempen; mereka kategorikan sebagai satu pertubuhan. Mengapakah penguasa tidak mengambil pandangan pihak ketiga iaitu Suhakam yang berpendapat perhimpunan aman tidak menyalahi undang-undang? Mengapa peranan Suhakam dibakulsampahkan apabila tidak sama dengan selera pemimpin gerombolan?
Tragedi penderhakaan terhadap titah DYMM SPB YDP Agong turut menghitami wajah penguasa. Betapa penguasa tidak menghargai harapan murni Payung Negara. Jelas bahawa Baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak; yang dihajatkan ialah keamanan berkekalan dan keadilan terlaksana. Itu saja harapan Baginda. Tetapi sayang, puak penguasa terus bersikap keras, berdolak dalih dan tiada kompromi. Dengan kuasa di tangan mereka merasakan diri mereka berduri bak durian. Rakyat adalah mentimun; digolek luka menggolek pun luka.
Apakah kegagalan penguasa berkompromi dengan rakyat akan terus memahat tragedi pada 9 JULAI 2011? Apakah itu yang dihajati demi pengekalan kuasa? Apakah provokasi Patriot, PERKASA dan Persatuan Silat Lincah Malaysia akan mencetuskan huru-hara? Moga-moga semua yang terlibat masih berfikiran waras. Junjunglah perintah Tuhan. Junjunglah perintah Tuhan. Junjunglah perintah Tuhan. Antaranya, tunaikan hak dan tegakkan keadilan.
No comments:
Post a Comment