Saturday, 30 July 2011

TIPS ELAK RIAK


- oleh BayangDiAir

Riak adalah  rasa bangga di dalam hati yang membuatkan diri terasa hebat. Sifat ini sekeluarga dengan ‘ujub, samaah dan takabur. Ujub lantunan rasa ajaib akan kehebatan diri, samaah buat supaya orang dengar-dengar kehebatan diri dan takabbur membesar diri apabila bercakap. Senang cakap sifat-sifat ini adalah milikan orang-orang yang jahil dalam beragama.

Apabila tidak belajar agama, seseorang itu tidak sedar bahawa perbuatan itu sangat bersalahan di sisi agama. Itulah sifat pembakar amal. Beramal ibadat banyak tetapi pulangannya kosong. Contohnya, malam bertahajud, pagi esok sudah cerita kepada rakan sepejabat. Tak sampai sehari, amal sudah jadi kosong. Tahun lepas banyak bersedekah di bulan puasa, tahun ini mengungkit balik apa yang dilakukan setahun lepas. Padam pula pahala. Inilah yang dikatakan pembakar amal.

Ingat, jangan pakai pakaian kebesaran Ilahi ini. Bukankah iblis itu merupakan hamba Allah yang taat; penghuni syurga lagi. Hanya kerana sekali takabbur, iblis dinyahkan daripada syurga. Iblis rasa dirinya mulia kerana diperbuat daripada api sedangkan Adam daripada tanah. Dia enggan sujud kepada Adam apabila Allah perintahkan. Iblis menyarungkan pakaian kebesaran Allah dengan  sifat takabbur tadi. Nah, dia menunggu azab di akhirat kelak.

Bagaimana hendak mengelakkan diri daripada sifat-sifat mazmumah ini? Tidak senang juga untuk mengatasinya. Kadang-kadang perasaan hebat ini datang  sendiri tanpa diundang; hanya orang jahil yang wewenang riak dan takabbur. Penulis juga selalu diganggu lintasan-lintasan pembakar amal ini. Astaghfirullah sahajalah. Cuma satu sahaja penulis hendak kongsi bersama. Apabila mari lintasan itu, lalu diri ini kembalikannya kepada Allah. Buang cepat-cepat mainan iblis  itu lalu  diganti dengan rasa syukur melalui iktikad bahawa ‘ ya Allah, syukur aku kepada-Mu kerana memilih aku untuk menzahirkan sifat mulia-Mu melalui tanganku, lidahku dan anggotaku’.

Dua  misalan diberikan. Pertama, jika kita banyak berderma. Hakikatnya duit yang kita dermakan itu hak Allah yang dipinjamkan kepada kita. Allah hendak beri sebahagiannya kepada fakir miskin lalu Allah laksanakannya melalui tangan kita yang juga milik Allah juga sebenarnya. Habis di mana lebih dan hebatnya kita? Kedua, jika kita banyak berzikir. Allah hendak membesarkan diri-Nya sendiri melalui lidah kita. Lidah juga milik-Nya. Lagi tiada lebih dan hebatnya kita. Yang patut ada ialah rasa syukur tadi. Mengapa? Kerana Allah memuliakan kita dengan cara memilih kita untuk menzahirkan kemuliaan dan kehebatan-Nya. Maka tiadalah  lagi perkara yang hendak dibanggakan sebaliknya  melimpahlah rasa kesyukuran.Semoga perkongsian ilmu ini menjadi pahala yang berpanjangan untuk guru-guruku, diriku dan para dai’ yang memanjangkannya pula kepada hamba-hamba Allah yang melata di muka bumi ini.

11 comments:

  1. Wahhh...memang....bermaanfaat apa yg dikongsikan...terim kaish atas perkongsiannya...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih..saya suka artikel ini..

    ReplyDelete
  3. artikel yang sangat hebat! jangan ujub! hehe

    ReplyDelete
  4. Ilmu yang sangat bermanfaat. Terima kasih. May Allah bless you

    ReplyDelete
  5. terima untuk info yang bermanfaat ini

    ReplyDelete
  6. Tqvm semoga Allah merahmati penulis n semoga kita sentiasa ingat selalu..aamiin

    ReplyDelete
  7. "Kerana Allah memuliakan kita dengan cara memilih kita untuk menzahirkan kemuliaan dan kehebatan-Nya." Saya suka ayat ni. Terima kasih penulis atas perkongsiannya. Semoga kita semua sentiasa istikarah dalam membendung sifat riak dalam diri masing2. Aminn InsyaAllah

    ReplyDelete