Saturday 30 November 2013

LAZIMILAH MEMBACA AYAT QURSI

Bismillahirrahmanirrahim, assalamu'alaikum wbt.


Ayatul kursiy mengandungi khasiat yang besar. Dikatakan terdapat 99 buah hadith yang menerangkan fadilatnya. Di antaranya ialah untuk menolak syaitan, benteng pertahanan, lapangkan fikiran dan menambah iman. Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s. a. w.. dengan segera memerintahkan Zaid bt Tsabit menulis serta menyebarkannya.

Disebut dalam hadis Ubay Bin Kaab:

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم يا أبا المنذر أتدري أي آية من كتاب الله معك أعظم ؟ قال قلت اللهورسوله أعلم قال يا أبا المنذر أتدري أي آية من كتاب الله معك أعظم ؟ قال قلت الله لا إله إلا هو الحي القيومقال فضرب في صدري وقال والله ليهنك العلم أبا المنذر

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?”. Aku (Ubay) berkata: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui”. Sabda baginda: “Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?”. Aku berkata: “Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum”. Lalu baginda menepuk dadaku, dan bersabda: “Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abul Munzir”.

Direkod dalam Sahih Muslim (no: 810).

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda:
إذا أويت إلى فراشك فاقرأ آية الكرسي { الله لا إله إلا هو الحي القيوم } . حتى تختم الآية فإنك لن يزال عليكمن الله حافظ ولا يقربنك شيطان حتى تصبح

Maksudnya: “Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi ‘Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum’, sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu, dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi”.

Monday 25 November 2013

UCAPAN USTAZ HISHAMUDIN A.KARIM DALAM MUKTAMAR PAS


BeritaPerwakilan Terengganu YB Hishammuddin Karim meluahkan rasa bimbang terhadap penguasaan 'Mr Arrogant' dalam PAS yang boleh menjadi punca berlakunya konflik dalaman parti Islam itu.

Sebaliknya tegasnya, pemimpin PAS perlu mempunyai kesatuan fikiran bagi mengelak konflik dalaman dan perkara itu perlu "dikebumikan terus di stadium ini" sebelum pulang ke kawasan masing-masing.

Memuji kepimpinan bekas presiden PAS Datuk Fadhil Mohd Nor sewaktu memimpin PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membantunya satu ketika dahulu sehingga populariti Abdul Hadi melonjak dan dicadangkan mencabar Fadhil merebut jawatan presiden.

"Saya difahamkan jawapan ringkas yang dikeluarkan terbit dari mulut murabbi presiden ini dengan hanya menyatakan solat sunat Ustaz Fadhil pun saya tidak boleh lawan, masakan saya masuk lawan presiden.

"Suasana yang lalu menggambarkan ketenangan dan keharmonian dalam perjuangan PAS yang kini dilihat seperti semakin menghilang daripada kian lenyap diamalkan oleh penyokong PAS.

"Saya bimbang konflik dalaman bukan hasil pertembungan ulama dan 'Erdogan' atau 'Erdogan' dengan Ulama, tetapi ia lahir dari satu perkara baru yang suka saya sifatkan sebagai 'Mr Arrogant' yang muncul dalam PAS.

"Arrogant inilah yang telah mengusai diri dalam sebilangan pemimpin PAS, sehingga kita merasakan kitalah yang terbaik, pandangan kita yang paling hebat menyebabkan kita memandang sinis kepada sebilangan kepimpinan diberi kepercayaan oleh perwakilan," katanya.

Membahaskan usul ucapan dasar presiden, Hishammuddin turut membidas pihak yang menghina Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dalam media sosial sebagai "seorang yang berkerusi roda tapi menggilai jawatan".

Sebaliknya, wakil rakyat itu berasa hairan mengapa Harun tidak diangkat sebagai tokoh muraabi jika hendak dibandingkan Pemimpin Hamas Syeikh Ahmad Yassin yang juga berkerusi roda sehingga akhir hayatnya.

Abdul Rahim Sabri
Malaysiakini.com


Sunday 24 November 2013

SOAL-JAWAB AGAMA 1

GUNA MINYAK PENGASIH UNTUK SUAMI


Soalan; ASSALAMUALAIKUM, APAKAH HUKUM JIKA SAYA MENGGUNAKAN
MINYAK PENGASIH KEPADA SUAMI? DENGAN NIAT SAYA INGIN MENJAGA
 RUMAHTANGGA...., INGIN SELALU DIKASIHI SUAMI...., DAN UNTUK ELAKKAN
 DARI PERGADUHAN. SUAMI SAYA SEORANG YANG CEPAT MARAH (BARAN).
 KADANGKALA BILA BERBUAL ADA YANG TERSILAP KATA, TERUS MARAH2.
 KADANGKALA SEHINGGA SELALU MAIN2 DENGAN PERKATAAN CERAI. SAYA
 TAK MAMPU LALUI SEGALANYA. SAYA JUGA TELAH MENGGUNAKAN MINYAK
 ANUGERAH SERI DAN SUAMI ISTERI. ALHAMDULILLAH ADA PERUBAHAN.
SEGALANYA KERANA ALLAH TAALA. NIAT SAYA SANGAT2 INGINKAN
KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA DAN INGINKAN PERUBAHAN SUAMI.
HARAP USTAZ DAPAT BANTU MENJAWAP.

Jawapan;

Elakkan dari amalan pengasih kerana ia membawa kepada Syirik. Berubat dengan syirik umpama
 mengambil dadah yang mana ia menenangkan seketika, tetapi membawa derita selama-lamanya
 di kemudian hari.

Yakinlah kepada Allah, jangan berputus asa mengharap kepadaNya, jaga solat fardhu, banyakkan
solat hajat dan beristighfar, manfaatkan ketika sujud untuk memohon hajat kepada Allah. Penyelesaian
 dengan minyak pengasih akan membawa kemusnahan di kemudian hari, bayangkan bagaimana jika
 suami mengetahui? Namun pengelesaian dari Allah akan membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Yakinlah kepada Allah dan jangan berputus asa dari rahmah dan kurniaanNya.

Wallahu a'lam.

- oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Saturday 23 November 2013

KEADAAN SESEORANG KETIKA DI ALAM KUBUR


Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila si mati dikuburkan.., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satulagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:”Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: “Apa yang engkau pernah sembah?” Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: “Aku menyembah Allah!” Kemudian ia ditanya lagi: “Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: “Siapa Tuhanmu?” Ia menjawab: “Tuhanku ialah Allah!” Mereka bertanya lagi: “Apa agama mu?” Ia menjawab: “Agamaku ialah Islam!” Mereka bertanya lagi: “Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?” Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: “Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!”
Mereka berkata kepadanya: “Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian”; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga”. “Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: “Tidurlah!” Lalu ia berkata: “Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?”
Dua Malaikat itu berkata kepadanya: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: “Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak”. Lalu dua Malaikat itu berkata: “Memang kami tahu engkau berkata demikian”; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka”. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya.”
- Dari log IslamItuIndah.my

Thursday 21 November 2013

WASIAT UNTUK REMAJA - SIRI 2

Istiqamah Membaca dan Beramal Dengannya.

Wahai remaja yang berhati mulia,
Keberkatan dan rahmat bagi sesiapa yang sentiasa membaca al-Quran. Cerahlah mata hati insan yang diterangi oleh ayat-ayat suci kalamullah. Al-Quran menjadi pendinding dari bisikan syaitan dan gangguannya. Suara yang mengalunkan al-Quran akan mengharmonikan suasana  dan memberkati rumah kediamannya. Pahalanya pula berganda-ganda. Allah amat suka akan hamba-Nya yang mesra dengan al-Quran.

Sayangnya pada hari ini kita  menyaksikan bahawa umat Islam terus leka dan sering mengabaikan mukjizat dari tuhan yang diciptakan untuk bekalan hamba-hambanya di akhir zaman. Pelbagai mukjizat yang Allah anugerahkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul-Nya untuk umat-umat masing-masing bagi meningkatkan kataqwaan. Apa yang berlaku pada hari ini ialah orang  bukan Islam mula memanfaatkan mukjizat agung ini sebaliknya orang Islam terus menjadikan al-Quran sebagai hiasan rumah dan jauh sekali daripada memanfaatkan kandungannya. Allah azza wa jalla berfirman pada ayat kedua dalam surah al-Baqarah, mafhumnya, “diturunkan ini kitab (al-Quran) sebagai petunjuk untuk orang-orang yang bertaqwa”. Lihat, al-Quran ini adalah sebagai petunjuk iaitu halatuju bagi mereka yang ingin berjumpa dengan tuhannya yakni khususnya untuk orang-orang yang bertaqwa. Siapakah insan yang mengaku bertaqwa kepada Allah? Dimaksudkan taqwa di sini adalah orang yang takut kepada Allah; mereka menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Ramai orang yang mengaku takut kepada Allah sehinggakan seorang penagih dadah mampu menuturkan kata-kata takut kepada Allah walaupun dalam keadaan tangan kanannya memberi suntikan untuk tangan kirinya. Hakikatnya, orang yang benar-benar takut akan Allah adalah mereka yang sentiasa rasa bersalah terhadap segala tindakannya kerana sering diperhatikan oleh Tuhannya dan akan sentiasa menjaga batas-batas kemurkaan Khaliq[1]nya.  .

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘’Di akhir zaman nanti ramai orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran itu sendiri yang melaknat mereka”. Inilah hakikatnya, apabila umat  Islam sibuk membaca al-Quran sahaja tetapi dalam masa yang sama lalai akan setiap perintah tuhan didalamnya. Apakah kita merasakan diri kita terlepas dari laknat kalamullah ini? Bagaimanakah dengan ayat Quran, “Ingatlah bahawa laknat Allah itu atas orang-orang yang berdusta”. Apakah kita tidak berdusta apabila berkata kita takut akan Allah padahal di hati kita langsung tiada tempat untuk Allah. Sejauh manakah kita takut akan Allah dan sejauh manakah kita takut akan makhluknya yang melata di bumi?   Inilah hal yang perlu direnungkan wahai anak-anak remajaku sekalian. Kita tidak boleh menipu Allah dengan dakwaan taqwa. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati  kita. 

Wahai anak-anak remajaku yang mengidamkan syurga-Nya,
Semailah dan didiklah hati kalian untuk takut akan Allah dengan sebenar-benar takut. Sesungguhnya tiada sesuatu  yang patut kita takuti melainkan takut akan Allah. Jadikan mukjizat al-Quran yang masih kekal ini sebagai panduan dan petunjuk untuk kita meneruskan sisa hidup kita dalam mencari redha Allah. Dunia ini bukannya tempat untuk kita beristirehat dan bukannya tempat untuk bersenang-lenang malah umur kita akan dipersoalkan semula oleh Allah ke  mana ia digunakan, harta kekayaan yang kita miliki akan juga akan disoal ke mana ia dilaburkan. Segalanya apa yang kita miliki akan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ingatlah wahai remajaku, gunakanlah mukjizat ini dengan sebaiknya dengan menuruti segala ajarannya serta berakhlak dengannya sebagaimana akhlak seorang insan agung yang memegang kunci syurga-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Sedarlah, sesungguhnya ramai orang yang membaca al-Quran tetapi hanya sedikit yang memperoleh Nur daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran tersebut.

Tuntasnya ayahanda ingatkan remajaku lazimkan diri membaca al-Quran pada setiap hari dan beriman serta beramallah dengan keseluruhan isi kandung mukjizat Allah ini. Semoga kalian semua mendapat berkat, rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t.

                                    Menjala ikan di tepi titi,
                                                Bawa bersama sebatang joran;
Tenang jiwa indah pekerti,
                                                Baik insan kerana al-Quran.



[1] al-Khaliq = Tuhan Yang Maha Pencipta.

Wednesday 20 November 2013

WASIAT UNTUK REMAJA - SIRI 1


“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada-Ku”
                                                                                                            Surah az-dzariyat: 56

Para remaja yang soleh dan solehah sekalian,
Lihatlah mentari yang mula naik di ufuk timur pada waktu pagi dan dan menghilang di ufuk barat pada waktu senja. Perhatikan pucuk-pucuk muda yang segar selepas hujan dan daun-daun kering yang berguguran. Renungi burung yang berterbangan, air yang mengalir dan gunung yang menunjangi bumi dengan kukuhnya. Semua itu ada pengajaran untuk diambil. Semua itu ada hikmah dan tujuan yang ditentukan Allah pada  kejadiannya. Bagaimanakah pula tentang kejadian kita yang menjadi khalifah di bumi ini?

Persoalan pokok tentang kejadian manusia mungkin pernah kalian fikirkan. Kalian tertanya-tanya mengapa Allah jadikan kita dan atas tujuan apa Allah jadikan manusia. Mungkin selama ini kita sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk mencari jawapannya. Kita hanya menghabiskan masa dengan  kerja buat  yang dipandu oleh matlamat kita sendiri.

Para remaja yang dikasihi lagi disayangi sekalian,
Ayat di atas dari surah azd-dzariyat menjadi jawapannya wahai anak-anak remajaku. Maknanya cukup jelas dan mudah difahami. Itulah sebenarnya Allah menjadikan kita dan manusia seluruhnya. Kita diciptakan bukan untuk sesuatu tujuan yang tidak pasti. Kita juga tidak diciptakan untuk sibuk dengan urusan sendiri. Apalagi kalau kita tenggelam dalam keseronokan dunia yang penuh dengan hiburan dan tipudaya yang melalaikan. Itu sangat jauh menyimpang daripada tujuan Allah menjadikan kita. Itu kesesatan namanya.

Wahai remaja yang dirahmati semua,
Adakah kalian sedang bernafas atas landasan dan tujuan kalian diciptakan? Apakah ertinya beribadat seperti yang dimaksudkan Allah dalam surah di atas? Ibadat itu luas maksudnya wahai anak-anak remajaku. Ibadat bermakna mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Beribadat bererti kita menjadi hamba dan memperhambakan diri kepada Yang Maha Pencipta. Solat, puasa dan berzikir adalah ibadat. Belajar dan bekerja untuk Islam juga ibadat. Tidur juga ibadat. Malah tidak melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah juga dinamakan ibadat. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan mengikut syariat dan peraturan Allah. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan kerana Allah.

Anak-anak remajaku berada pada jalan yang benar sekiranya kalian melakukan aktiviti dan rutin kehidupan selaras dengan kehendak agama. Kalian menepati tujuan diciptakan seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat suci di atas. Kalau anak-anakku berada di jalan yang bertentangan dengan perintah Allah , ayahanda menyeru kalian membetulkan semula langkah di bumi yang bersifat sementara ini.  Tinggalkanlah amalan yang melalaikan diri kalian  daripada mengingati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Ingatlah bahawa sesiapa yang gagal melakukan pengabdian diri kepada Ilahi bererti dia gagal menepati tujuan Allah menciptanya. Sudah pasti balasan yang amat menakutkan menanti manusia yang menyimpang hidupnya daripada landasan agama. Ayahanda yakin pesanan ini dapat menjadi renungan kalian. Ayahanda doakan keselamatan dan kesejahteraan untuk kalian wahai permata hati.

                        Buluh perindu tumbuh di hutan,
                                    Dibuat serunai merdu sekali;
                        Taat beribadat kepada Tuhan,
                                    Baru menjadi hamba sejati.

                                    

Tuesday 19 November 2013

MATI MULIA

- oleh BayangDiAir
Mati ketika sujud
Setiap muslim mesti bercita-cita untuk mati syahid. Mati syahidlah mati yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. Mati syahid bermakna mati di jalan Allah kerana berjuang menegakkan dan mempertahankan Islam. Betapa mulianya orang yang mati syahid seperti yang telah diungkapkan oleh Allah di dalam firman dan diterangkan olehRasulullah s.a.w. di dalam sabda. Para Sahabat dan umat terdahulu berebut-rebut untuk mati syahid. Tanya diri sendiri, di mana posisi kita?

Tulisan ini ingin membawa pembaca kepada satu dimensi lain yang cukup biasa tentang mati mulia. Mati mulia ialah mati dalam keadaan ditangisi makhluk di bumi dan dijemput oleh al-Khaliq. Seseorang itu mati mulia apabila makhluk rasa kehilangan kita kerana hidup kita penuh jasa terhadap mereka, kita bersikap mulia dan ramah dengan mereka, bersopan bila berkata, baik hati sesama manusia, tidak pandai berdendam dan tidak pernah bermusuh dengan kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga. Dalam situasi ini kita sepadan dengan perumpamaan ‘gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Kematian ini ditangisi oleh orang ramai kerana mereka merasakan kematian kita  menjadi satu kehilangan bagi masyarakat.

Tidak habis di situ. Mati yang mulia ialah apabila mati kita Allah dahului dengan keampunan, mati kita diiringi oleh rahmat Allah dan Allah menjemput kita pulang bagaikan ayah yang menjemput anaknya pulang dengan kucupan dan kasih sayang. Berpisah roh dari jasad menuju Kekasih yang sepanjang umur dipuja dan dipuji. Kematian yang dibawa melalui lorong-lorong syurga, yang ditemani oleh amal di dalam kuburnya dan yang telah mempertemukan hamba dengan Kekasihnya.


Demikianlah mati mulia. Siapa yang tak mahu mati begini. Mati yang tak perlu ditakuti, malah tak sabar menanti. Namun, kita kena muhasabah. Adakah kita memenuhi syarat dan ciri-cirinya? Kalau belum, doakan untuk penulis dan penulis doakan untuk pembaca yang budiman agar Allah memberi kekuatan dan kesempatan untuk memenuhi ciri dan syaratnya.