INTIPATI KHUTBAH JUMAAT


ULANG TAHUN NAKBAH
- oleh Ust Nik Nasri Malek 
Ulangtahun an-Nakbah

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُ تُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat sekalian, saya berseru kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian supaya kita sama-sama bertaqwa kepada Allah.

Hari ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Peristiwa tersebut dikenali sebagai Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibar lah bendera 'The Star of David' dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 63 ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai seorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?

Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa 'nation state' yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 92:

إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ


'Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku'

Di tempat yang lain Allah berfirman:

وَإِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱتَّقُونِ


'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Ku"Surah al-Mukminun ayat 52


Oleh kerana begitu mendalamnya konsep 'nation states' yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam.


Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh. Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan 'legacy' penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang palsu sehingga wujudlah 50 negara Islam yg merdeka dan 19 negara lain yang bergabung bersama wilayah bukan Islam. Negara-negara Islam ini hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea..


Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 69 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroleumnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkatul mukarramah dan Madinatul Munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu BaitulMaqdis di mana terletaknya masjid al Aqsa.

Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bagi Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu masjid al Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di Masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani).

Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh maksud hadis berikut:

”Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra' bin `Azib: Daripada al-Barra' bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan”

Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.

Abdullah ibn Umar bertanya pada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. "Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari

Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setelah ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususi dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini.

Pengisytiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya masjid Al Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid.

Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah. Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka.


Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam. Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk bulan April tahun ini sahaja telah mencecah puluhan orang, termasuk kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam?

Walaubagaimanapun janji Allah itu benar. Tidak ada sesuatupun kehendak Allah yang bolih disekat. Kita menyaksikan hari ini bagaimana regim-regim negara Arab yang mengkhianati saudara-saudara seagama di Palestin ditumbangkan oleh rakyatnya satu persatu. Regim Hosni Mubarak yang telah menindas rakyatnya selama lebih dari 30 tahun dan mewarisi satu pemerintahan yang melaksanakan dasar Amerika Syarikat dan melindungi Israel akhirnya dijatuhkan dengan penuh penghinaan.


Kembalinya gerakan Ikhwan Muslimin yang telah memimpin umat Islam selama lebih 80 tahun di Mesir tetapi ditindas selama ini adalah berita yang amat menggembirakan umat Islam seluruh dunia. Ikhwan Muslimin yang berada di barisan hadapan mempertahankan negara Palestin sejak perang 1948 insyaAllah akan kembali memimpin umat ini untuk mengembalikan baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa kepada umat ini.

Abu Hurayrah menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Sebahagian dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu al-Quds (Palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun. Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya kiamat”
Riwayat At-Tabarani

Allah SWT adalah adalah sebaik-baik perancang. ”Mereka merancang dan Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” Surah al-Imran ayat 54

Manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Turki adalah satu contoh yang amat jelas. Musuh-musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan meletakkan Mustafa Kamal Attatuk untuk menegakkan sistem pemerintahan sekular yang anti Islam. Mereka mahu memastikan khilafah Islam yang pernah menaungi dunia Islam ini tidak akan bangkit lagi. Justeru apabila Israel berdiri pada tahun 1948, Turki adalah antara negara yang paling awal mengiktirafnya. Turki menjadi sekutu paling kuat Israel. Tetapi apa yang berlaku. Bibit-bibit tarbiyah imaniah yang disemai oleh Syeikh Badiuzaman Syed Nursi akhirnya melahirkan pemimpin-pemimpin islam yang kembali meletakkan asas-asas Islam dalam pemerintahan.

Dengan penuh hikmah Raccip Tayyep Erdogan menggunakan hubungan diplomatik yang wujud di antara negaranya dan Israel untuk menekan dan mengugut israel. Bahkan Turki kini menjadi negara yang menerajui usaha-usaha memecahkan tembok kematian yang dibina oleh Israel untuk menjerut rakyat Palestin di Gaza dengan misi-misi kemanusiaan Mavi Marmara, Land Convoy dan Flotilla 2 yang dijangka akan berlayar ke Gaza pada bulan Jun ini.

Sidang Jumaat sekalian.
Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Yahudi? Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap kebobrokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira dari sebegitu banyak hadis. Di antaranya:

Nahik Ibn Surim al-sakuni menyampaikan dari Rasulullah SAW “Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di sebelah barat (Palestin yang terjajah)”


Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah SAW “Allah Maha Besar akan member kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku.Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan.”

Rasulullah SAW mengatakan berhubung penghuni Tanah suci (al-Quds), “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ‘ribat (pengawal pada kubu) pada jalan Allah” riwayat At-Tabarani

Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat” Para sahabat bertanya ‘Di mana mereka itu”? Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”  Iman Ahmad

Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya dari rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah?

(pilih ayat al-Quran yang sesuai untuk dibaca)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ







JAUHI FITNAH 
- oleh Ustaz Nik Nasri Malek

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian

Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.


Firman Allah Ta’ala:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

“Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia.” (Ar-Rum: 41)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (4) إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kemudian dia tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan. Jangan ambil persaksian mereka (selepas itu) selama-lamanya. Mereka adalah orang-orang fasik” Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nur:4 - 5).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ayat-ayat di atas adalah berkaitan dengan satu peristiwa besar yang dihadapi oleh rumahtangga Rasulullah SAW. Ia menyangkut kesah isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA yang dilemparkan tuduhan keji oleh golongan Munafiq di Madinah. Peristiwa inilah yang disebut sebagai hadis ifk. Fitnah jahat yang dilontarkan oleh golongan munafik ini berlatarbelakangkan peperangan Bani Musta’liq atau Perang Muraisi yang berlaku pada bulan Syaaban tahun ke 6 Hijrah. Perang ini dilancarkan ke atas Bani Musta’liq apabila Rasulullah SAW mendengar ketua Bani Musta’liq al-Harith ibn Dirar akan menyerang umat Islam di Madinah.

Inilah satu peperangan yang turut disertai oleh golongan munafiqun yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay bin Salul di mana mereka menyangka umat Islam akan menang atau menjangka tidak akan berlangku pertumpahan darah ini. Tindakan pantas Rasulullah SAW telah menyebabkan Bani Mustaliq kalah dalam peperangan ini dan ramai yang menjadi tawanan perang. Sebaliknya para sahabat memerdekakan tawanan-tawanan tersebut dan Rasulullah SAW sendiri mengahwini anak al-Harith yang bernama Juwairiya. Ini merupakan satu strategi dakwah yang amat berkesan kerana ramai dari kalangan Bani Mustaliq memeluk Islam selepas itu.

Keadaan ini menyebabkan golongan munafiq semakin geram kerana kedudukan umat Islam di Madinah semakin kukuh. Abdullah Bin Ubay terus menjalankan siasat liciknya dengan melaga-laga umat Islam. Dia menghasut golongan Ansar dengan menfitnah golongan Muhajirin akan mengusir orang-orang Ansar

“Apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.

Peristiwa ini dirakam oleh Allah SWT dalam surah al-Munafiqun ayat 8

يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Mereka berkata lagi: Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (al-Munafiqun: Ayat 8).

Perancangan jahat mereka telah digagalkan oleh Allah SWT. Namun orang-orang munafiq tidak berputus asa. Abdullah bin Ubaiy menggunakan pula peristiwa Aishah RA yang tertinggal dalam perjalanan pulang ke Madinah untuk menyusun perancangan jahat seterusnya.
Aishah RA telah diundi sebagai isteri baginda untuk menemani Nabi dalam ekspedisi Bani Mustakliq ini. Beliau ketika itu baru berusia 14 tahun. Ketika berhenti rehat dalam perjalanan pulang Aishah keluar dari rombongan untuk qada hajat. Tentera muslimin yang tidak menyedari Aishah tidak ada lagi di atas untanya (dalam naungan yang tertutup) telah bergerak meninggalkan Aishah. Apabila kembali Aishah dapati beliau tertinggal sehinggalah ditemui oleh seorang tentera muslimin yang berada di belakang rombongan yang bernama Shafwan bin Mu’athal. Aishah pulang dengan ditemani oleh Shafwan sehingga dikembalikan kepada Rasulullah SAW dengan selamat.

Peristiwa ini dieksploit oleh Abdullah bin Ubaiy untuk menyebarkan fitnah keji ke atas isteri Rasulullah SAW sendiri. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila cerita jahat dan tidak berasas ini turut disebarkan di kalangan orang-orang islam atas pelbagai alas an. Keadaan ini berlangsung untuk beberapa waktu sehingga menimbulkan suasana tegang dalam rumahtangga Rasulullah SAW dan di kalangan masyarakat Islam. Golongan munafiq amat gembira dengan kemelut yang mereka cipta yang dilihat Berjaya menggoyahkan keimanan dan kesatuan umat Islam di Madinah.

Allah SWT tidak akan membiarkan Nabinya dan umat Islam terus diperkotak kattik oleh golongan musuh dan kaum munafiqun. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 13


لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ (12) لَوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ (13)

“Kenapa tidak ketika kamu mendengar berita tersebut, orang-orang beriman lelaki dan perempuan bersangka baik sesama mereka sambil mengatakan ‘Ini adalah berita bohong’ jika penuduh-penuduh itu tidak membawa 4 orang saksi yang mendakwa orang yang dituduh? Maka sekiranya penuduh-penuduh itu tidak mengemukakan saksi-saksi berkenaan maka disisi Allah merekalah pembohong-pembohong” (An-Nur : ayat 12 - 13).


لَولَا إِذ سَمِعتُمُوهُ قُلتُم مَّا يَكُونُ لَنَا أَن نَّتَكلَّمَ بِهـٰذَا سُبحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهتَـٰنٌ عَظِيمٌ يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُواْ لِمِثلِهِۦ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤمِنِينَ وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلأَيَـٰتِ‌ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Firman Allah swt bermaksud, “Kenapa tidak apabila kamu mendengar saja berita tersebut, kamu mengatakan ‘Tak sepatutnya kita membincangkan perkara ini. Mahasuci Engkau (ya Allah) ini adalah pembohongan yang besar !!’ Allah mengingatkan kamu agar jangan lagi mengulangi kesalahan membicarakan isu ini sekiranya kamu orang-orang beriman.  Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (An-Nur : ayat 16-18).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Mengapa Allah SWT merakamkan peristiwa yang mengaibkan ini di dalam al-Quran. Bahkan fitnah ini mengenai peribadi Nabi SAW yang menjadi qudwah kepada umat Islam. Ia menunjukkan kepada kita bahawa inilah modus operandi golongan yang bermaksiat untuk memporak perandakan umat Islam, menimbulkan perpecahan, mengaibkan tokoh-tokoh tertentu bagi mengekalkan kepentingan duniawi termasuklah kuasa politik. Bukankah tujuan Abdullah bin Ubaiy menyebarkan cerita keji ini juga untuk menggoyahkan sendi-sendi masyarakat Islam supaya dia kembali berkuasa di Madinah.

Peristiwa yang didedahkan oleh Allah di dalam al-Quran meletakkan garis panduan yang amat jelas iaitu sebarang pertuduhan ke atas seseorang yang didakwa melakukan perzinaan atau seumpamanya mastilah sabit dengan (1) Pengakuan oleh orang yang dituduh, atau (2) Persaksian oleh 4 saksi dari pihak yang menuduh.  Tanpa salah satu dari (1) atau (2), orang yang dituduh adalah bebas seperti seadanya, manakala 3 orang saksi atau kurang tersebut disebat sebanyak 80 kali sebatan kerana menyampaikan berita tanpa bilangan saksi yang cukup (4 orang) .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Ingatlah apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita adalah suatu yang amat dimurkai oleh Allah.  Firman Allah SWT.

إذ تَلَقَّونَهُ ۥ بِأَلسِنَتِكُم وَتَقُولُونَ بِأَفوَاهِكُم مَّا لَيسَ لَكُم بِهِۦ عِلمٌ وَتَحسَبُونَهُ ۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ

“Ketika kamu bertemu dengan isu ini dengan perbualan-perbualan kamu, dan kamu bercakap-cakap dengan isu yang kamu tidak mempunyai maklumat (sepatutnya) mengenainya. Kamu ingat membicarakannya (seperti itu) suatu perkara yang kecil sedang perbuatan itu besar di sisi Allah !!” (An-Nur : ayat 15).

Marilah kita mengambil peringatan tentang amaran yang cukup keras dari Allah SWT


إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلأَخِرَةِ‌  وَٱللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لَا تَعلَمُونَ

Firman Allah swt bermaksud, “Sungguh orang-orang yang suka kelucahan tersebar dalam masyarakat orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih didunia dan Akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (An-Nur : 19).


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ