- oleh BayangDiAir
![]() |
Mati ketika sujud |
Setiap muslim mesti bercita-cita untuk mati syahid. Mati
syahidlah mati yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. Mati syahid bermakna mati
di jalan Allah kerana berjuang menegakkan dan mempertahankan Islam. Betapa
mulianya orang yang mati syahid seperti yang telah diungkapkan oleh Allah di dalam
firman dan diterangkan olehRasulullah s.a.w. di dalam sabda. Para Sahabat dan
umat terdahulu berebut-rebut untuk mati syahid. Tanya diri sendiri, di mana
posisi kita?
Tulisan ini ingin membawa pembaca kepada satu dimensi lain
yang cukup biasa tentang mati mulia. Mati mulia ialah mati dalam keadaan ditangisi
makhluk di bumi dan dijemput oleh al-Khaliq. Seseorang itu mati mulia apabila
makhluk rasa kehilangan kita kerana hidup kita penuh jasa terhadap mereka, kita
bersikap mulia dan ramah dengan mereka, bersopan bila berkata, baik hati sesama
manusia, tidak pandai berdendam dan tidak pernah bermusuh dengan kaum kerabat,
sahabat handai dan jiran tetangga. Dalam situasi ini kita sepadan dengan
perumpamaan ‘gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama’. Kematian ini ditangisi oleh orang ramai kerana
mereka merasakan kematian kita menjadi
satu kehilangan bagi masyarakat.
Tidak habis di situ. Mati yang mulia ialah apabila mati kita
Allah dahului dengan keampunan, mati kita diiringi oleh rahmat Allah dan Allah
menjemput kita pulang bagaikan ayah yang menjemput anaknya pulang dengan
kucupan dan kasih sayang. Berpisah roh dari jasad menuju Kekasih yang sepanjang
umur dipuja dan dipuji. Kematian yang dibawa melalui lorong-lorong syurga, yang
ditemani oleh amal di dalam kuburnya dan yang telah mempertemukan hamba dengan
Kekasihnya.
Demikianlah mati mulia. Siapa yang tak mahu mati begini.
Mati yang tak perlu ditakuti, malah tak sabar menanti. Namun, kita kena
muhasabah. Adakah kita memenuhi syarat dan ciri-cirinya? Kalau belum, doakan
untuk penulis dan penulis doakan untuk pembaca yang budiman agar Allah memberi kekuatan
dan kesempatan untuk memenuhi ciri dan syaratnya.
No comments:
Post a Comment