Thursday 21 November 2013

WASIAT UNTUK REMAJA - SIRI 2

Istiqamah Membaca dan Beramal Dengannya.

Wahai remaja yang berhati mulia,
Keberkatan dan rahmat bagi sesiapa yang sentiasa membaca al-Quran. Cerahlah mata hati insan yang diterangi oleh ayat-ayat suci kalamullah. Al-Quran menjadi pendinding dari bisikan syaitan dan gangguannya. Suara yang mengalunkan al-Quran akan mengharmonikan suasana  dan memberkati rumah kediamannya. Pahalanya pula berganda-ganda. Allah amat suka akan hamba-Nya yang mesra dengan al-Quran.

Sayangnya pada hari ini kita  menyaksikan bahawa umat Islam terus leka dan sering mengabaikan mukjizat dari tuhan yang diciptakan untuk bekalan hamba-hambanya di akhir zaman. Pelbagai mukjizat yang Allah anugerahkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul-Nya untuk umat-umat masing-masing bagi meningkatkan kataqwaan. Apa yang berlaku pada hari ini ialah orang  bukan Islam mula memanfaatkan mukjizat agung ini sebaliknya orang Islam terus menjadikan al-Quran sebagai hiasan rumah dan jauh sekali daripada memanfaatkan kandungannya. Allah azza wa jalla berfirman pada ayat kedua dalam surah al-Baqarah, mafhumnya, “diturunkan ini kitab (al-Quran) sebagai petunjuk untuk orang-orang yang bertaqwa”. Lihat, al-Quran ini adalah sebagai petunjuk iaitu halatuju bagi mereka yang ingin berjumpa dengan tuhannya yakni khususnya untuk orang-orang yang bertaqwa. Siapakah insan yang mengaku bertaqwa kepada Allah? Dimaksudkan taqwa di sini adalah orang yang takut kepada Allah; mereka menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Ramai orang yang mengaku takut kepada Allah sehinggakan seorang penagih dadah mampu menuturkan kata-kata takut kepada Allah walaupun dalam keadaan tangan kanannya memberi suntikan untuk tangan kirinya. Hakikatnya, orang yang benar-benar takut akan Allah adalah mereka yang sentiasa rasa bersalah terhadap segala tindakannya kerana sering diperhatikan oleh Tuhannya dan akan sentiasa menjaga batas-batas kemurkaan Khaliq[1]nya.  .

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘’Di akhir zaman nanti ramai orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran itu sendiri yang melaknat mereka”. Inilah hakikatnya, apabila umat  Islam sibuk membaca al-Quran sahaja tetapi dalam masa yang sama lalai akan setiap perintah tuhan didalamnya. Apakah kita merasakan diri kita terlepas dari laknat kalamullah ini? Bagaimanakah dengan ayat Quran, “Ingatlah bahawa laknat Allah itu atas orang-orang yang berdusta”. Apakah kita tidak berdusta apabila berkata kita takut akan Allah padahal di hati kita langsung tiada tempat untuk Allah. Sejauh manakah kita takut akan Allah dan sejauh manakah kita takut akan makhluknya yang melata di bumi?   Inilah hal yang perlu direnungkan wahai anak-anak remajaku sekalian. Kita tidak boleh menipu Allah dengan dakwaan taqwa. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati  kita. 

Wahai anak-anak remajaku yang mengidamkan syurga-Nya,
Semailah dan didiklah hati kalian untuk takut akan Allah dengan sebenar-benar takut. Sesungguhnya tiada sesuatu  yang patut kita takuti melainkan takut akan Allah. Jadikan mukjizat al-Quran yang masih kekal ini sebagai panduan dan petunjuk untuk kita meneruskan sisa hidup kita dalam mencari redha Allah. Dunia ini bukannya tempat untuk kita beristirehat dan bukannya tempat untuk bersenang-lenang malah umur kita akan dipersoalkan semula oleh Allah ke  mana ia digunakan, harta kekayaan yang kita miliki akan juga akan disoal ke mana ia dilaburkan. Segalanya apa yang kita miliki akan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ingatlah wahai remajaku, gunakanlah mukjizat ini dengan sebaiknya dengan menuruti segala ajarannya serta berakhlak dengannya sebagaimana akhlak seorang insan agung yang memegang kunci syurga-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Sedarlah, sesungguhnya ramai orang yang membaca al-Quran tetapi hanya sedikit yang memperoleh Nur daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran tersebut.

Tuntasnya ayahanda ingatkan remajaku lazimkan diri membaca al-Quran pada setiap hari dan beriman serta beramallah dengan keseluruhan isi kandung mukjizat Allah ini. Semoga kalian semua mendapat berkat, rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t.

                                    Menjala ikan di tepi titi,
                                                Bawa bersama sebatang joran;
Tenang jiwa indah pekerti,
                                                Baik insan kerana al-Quran.



[1] al-Khaliq = Tuhan Yang Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment