BUKU WASIAT UNTUK REMAJA





BAB SATU
REMAJA DAN HUBUNGANNYA DENGAN ALLAH







 
WASIAT 1:

AWAS! JANGAN  SYIRIK KEPADA ALLAH.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

                                                                    Surah an-Nisa’:48

“(Akibat syirik itu) menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan kepadanya dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan.”

                                                           Surah al-Ankabut: 66.


Wahai para remaja  permata hatiku,
Ketahuilah olehmu bahawa sebesar-besar dosa ialah syirik kepada Allah s.w.t. Syirik bermaksud menyekutukan Allah baik dari segi asma’ (nama-Nya), sifat-Nya dan af’al (perbuatan-Nya). Kita tidak boleh sama sekali merasakan dan mengatakan meskipun di dalam hati bahawa ada makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bulan dan bintang yang sama hebat dan setanding dengan Allah s.w.t. Benar  bahawa dalam sedar memang sukarlah untuk dicari manusia muslim yang sanggup mengatakan kuasa matahari sama hebat dengan kuasa Allah, nama manusia sama indah dengan nama Allah dan kemampuan manusia mencipta mikrocip dan komputer sama canggih dengan ciptaan Allah. Kalau mereka ber’itikad[1] demikian maka sudah pasti jelaslah kesyirikan itu malah boleh membawa kepada kerosakan akidah.


Para remaja sekalian,
Kini kita berada di zaman serba moden, apalagi di zaman kalian akan datang; zaman setelah ayahanda pergi menemui Ilahi. Bukan sahaja corak dan sistem kehidupan serta peralatannya canggih, malah cara berfikir manusia pun semakin maju dan menerawang kepada idea-idea baru. Manusia semakin meminggirkan ilmu dan amalan agama. Sewenang-wenang sahaja manusia bercakap tentang keberkesanan ubat-ubat, ketrampilan sistem teknologi maklumat dan kecekapan sistem perhubungan tanpa bersandar dengan iman kepada Tuhan. Mereka sudah terlupa untuk berkata dan mendetikkan di hati bahawa di sebalik serba kehebatan itu adalah bertitik-tolak dari  kuasa Ilahi semata-mata. Mereka telah lupa dan malas untuk mengiringkan kuasa Allah dalam hal-hal sedemikian. Mereka merasakan diri kolot atau konservatif[2] sekiranya selalu mendendangkan nama Allah; SubhanalLah. Jangan jadi demikian wahai anak-anakku.

Dengarkan lagi wahai anak-anakku,
Sering juga tanpa disedari kita bercakap tentang kuasa makhluk halus. Kadang-kadang manusia mengucapkan pelbagai jampi serapah yang tidak difahami maksudnya. Entah-entah jampi serapah itu memuji dan memuja kuasa hantu dan jin. Besar salahnya apabila kita menilai kuasa hantu dan makhluk halus begitu hebat sehingga dapat menentukan untung nasib dan hayat manusia. Kita merasakan hantu dapat memberi pelbagai sakit misteri dan jin dapat menyembuhkan penyakit. Begitulah juga sikap dan pegangan kita terhadap keberkesanan dan kehebatan ubat-ubatan moden. Kalau kalian meletakkan kehebatan pada ubat-ubatan tertentu, samalah dengan meletakkan kehebatan kepada makhluk-makhluk tadi. Ramai orang faham tentang kepercayaan syirik pada bomoh, jampi dan seumpamanya tetapi mereka pada sisi lain memuji dan memuja ubat dan perubatan moden dan kontemporari[3] seolah-olah ubat-ubatan itu ada kuasa tersendiri. Ini bermakna telah berlaku peralihan syirik bentuk lama kepada bentuk baru.. Kesyirikan tetap wujud. Di manakah Allah wahai anakku? Apakah makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang begitu hebat secara mutlak sehingga kita tidak merasakan lagi sesuatu kejadian itu ditentukan oleh Allah mengikut kehendak dan kuasa-Nya? Sedarilah wahai anak-anak remajaku bahawa kuasa makhluk adalah terbatas, lemah dan merupakan pinjaman sahaja.Hanya jika Allah izin barulah tangan dapat menghayun. Ingatlah diri kita umpama pokok dan bayang. Pokok tidak mampu bergoyang. Kalau pokok bergoyang  bermakna ada angin yang kita tidak nampak menolaknya. Begitu juga bayang; tiada bayang kalau tiada objek konkrit. Bayang yang bergerak itu adalah kerana objek kepada bayang itu bergerak. Kalau objek itu tidak bergerak maka tidak bergeraklah bayang itu. Ironis[4]nya, bergeraknya makhluk adalah kerana keupayaan yang dikurniakan oleh Allah sahaja. Demikianlah kedudukan kuasa makhluk dinisbahkan dengan kuasa Tuhan yang menjadikan kau dan aku serta alam keseluruhannya.


Anak-anak remajaku yang dirahmati Allah,
Begitu juga dengan hukum-hakam al-Quran. Dari hukum  harus hinggalah kepada hukum wajib, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah hukum itu mengikut nafsu dan kedangkalan ilmu kita. Mutakhir ini atas nama hak dan persamaan, ada orang yang mempertikaikan hukum pembahagian harta pusaka antara waris lelaki dan waris perempuan. Mereka mempertikaikan apa yang telah jelas termaktub di dalam al-Quranul Karim. Apakah mereka lebih pandai daripada Allah? Apakah makhluk (yang dicipta) lebih pandai daripada Khaliq ( Yang Maha Pencipta)? Subhanallah. Mereka merasakan ilmu dan kemajuan zaman mereka dapat mengubah hukum Tuhan mengikut kesesuaian. Ada pula dalam kalangan muslim yang merasakan ada hukum lain yang lebih baik dari hukum Tuhan. Mereka mempertikaikan hukum hudud dan qisas atas alasan tidak sesuai lagi pada zaman moden dan masyarakat majmuk. Apakah Allah begitu lemah sekali sehingga tidak tahu menurunkan suatu hukum yang sesuai untuk semua manusia, zaman dan tempat? Subhanallah. Betapa kronik[5]nya iman manusia yang mengaku muslim pada hari ini. Segala-galanya mereka hendak bersandarkan pada hukum akal mentang-mentang mereka ada segulung ijazah dan Phd. Mereka telah menterbaliksongsangkan keintelektualan mereka tanpa mereka sedari kerana terpesona oleh rasa hebat akan ilmu mereka.

Berwaspadalah wahai anak-anak  kesayanganku agar kalian tidak terperangkap dalam polemik[6] dan perdebatan intelektual yang sesat dan menyesatkan. Berhati-hatilah wahai putera-puteriku agar kalian tidak terperangkap di dalam telaga buta bernama kejahilan.


Anak-anakku para remaja yang dikasihi,
Aku berdoa agar Allah melindungi kalian daripada kejahatan syirik sama ada syirik yang halus atau nyata. Berdoalah kalian dan terus dekatkan diri pada Ilahi dan bertekun dalam mendalami ilmu yang akan menyelamatkan iman dan akidah kalian. Amin.

                              Kerana sisik ikan kelisa
                                  Tersilau pandangan burung pekaka
                              Kerana syirik iman binasa
                                  Tersiksa badan dibakar neraka.






WASIAT 2:
BAGAIMANA ALLAH MENJAGA KITA DAN BAGAIMANA PULA KITA MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH?

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
                                                                                    Surah At-Taubat: 24

Para remaja yang dikasihi Allah sekalian,
Ibu bapa kita mencari rezeki untuk menyara kita tetapi belum tentu mereka memperoleh apa yang dicari. Ibu bapa menjaga kita daripada sakit dan penyakit tetapi belum tentu kita sihat sepanjang masa. Ibu bapa mengawasi dan mendoakan keselamatan kita tetapi belum tentu kita selamat. Yang menentukan segala-galanya ialah pemilik ibu dan bapa kita iaitu Allah s.w.t. 

Allah-lah yang mengizinkan rezeki diperoleh dan usaha ibu bapa kita berhasil. Allah-lah menentukan kita sihat dan selamat dari segala musibah dan bencana baik ketika kita jaga ataupun ketika kita tidur. Allah jaga dan jamin keperluan kita dengan jagaan yang terbaik dari segi kesihatan, keselamatan, rezeki dan sebagainya. Allah menjaga kita begitu rapi dan sempurna seolah-olah kita seorang sahaja hamba-Nya.

Dalam kehidupan sehari-hari, Allah mengutuskan malaikat untuk menjaga kita. Cuba fikirkan kenapa semut tidak masuk ke dalam rongga telinga dan hidung kita sewaktu kita tidur? Bukankah rongga-rongga itu tidak pernah tertutup sedangkan semut ada di merata-rata tempat? Tentulah ada sesuatu yang menjaga kita dari gangguan makhluk-makhluk kecil tersebut. Sudah pasti jawapannya ialah Allah. Kalau Allah tidak menjaga kita, entah apa yang berlaku kepada kita setiap hari dan setiap saat. Adakah kita  juga menjaga hubungan kita dengan Allah sedemikian rupa sedangkan hanya Allah satu-satunya  Tuhan kita? Adakah kita jaga solat kita? Adakah kita menambahkan kecintaan dan ketaqwaan kita? Adakah kita memuja dan memuji Allah umpama kekasih yang tenggelam dalam keasyikan rindu?


Para remaja yang dikasihi sekalian,
Setelah kita sedar betapa Allah menjaga kita, marilah kita mempertingkatkan hubungan kita dengan Allah. Khusyukkanlah hati ketika beribadat dan berzikir. Buanglah cinta palsu yang berasaskan nafsu  yang bertakhta di hati. Persadakan cinta Ilahi  di mercu hati. Semoga dengannya kita sentiasa dirahmati Ilahi.

Kata-kata Hikmat:
“Allah menjaga kita seolah-olah hanya kita seorang sahaja hamba-Nya.”



[1] Iktikad = pegangan atas sesuatu kepercayaan
[2] Konservatif  = berpegang kepada fahaman lama, kuno
[3] Kontemporari  = waktu kini atau semasa
[4] Ironis  = secara halus, sindiran
[5] Kronik = sangat teruk
[6] Polemik = perbahasan tentang sesuatu isu