Saturday 6 August 2011

KISAH UWAIS AL-QARNI BAGI INSAN YANG MASIH MEMPUNYAI IBU.


- oleh BayangDiAir
Setiap orang yang masih mempunyai ibu wajar menimbang-nimbang hubungannya dengan orang yang telah mengandungnya selama sembilan bulan . Sembilan bulan penuh sabar dan payah membawa bebanan dalam kandungan yang berat. Kemudian bertarung nyawa dihiris kesakitan ketika melahirkan si anak. Dijaganya sejak bayi ditatang sehingga besar. 

Apakah bayi yang merah itu kini sudah menjadi tuan-tuan kepada orang yang melahirkannya? Apakah ibu-ibu tua ini sekarang sedang menyepi hiba di rumah kebajikan orang-orang tua? Untuk semua dari kita yang masih mempunyai ibu, terutamanya ibu yang sudah lanjut usia dan uzur, marilah kita renung sejenak pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kisah kasih sejati seorang anak terhadap ibunya. Mudah-mudahan baki usia ibu yang sudah tidak beberapa lama lagi mengungsi alam fana ini menjadi masa keemasan bagi anak yang soleh untuk berbakti kepada ibu yang tiada lagi ganti sekiranya mereka menyahut panggilan Ilahi nanti.

Nabi Muhammad  s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali  r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka agar diampunkan dosa oleh Allah.  Apakah rahsia besar kelebihan Uwais al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam sejarah kemuliaan seorang insan?

Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman. Dia menghidapi penyakit kulit (sopak).  Suatu hari ibunya yang sudah tua berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan bagi perjalanan yang amat jauh itu. Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya di singgahsana hatinya,  dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.

Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah anak lembu itu.

Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya, “wahai ibu, bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama lagi.”
“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke sana?” tanya ibunya.
“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”
Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya yang sudah uzur.
Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan. Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya, “apa yang kau baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”
“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu.” Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam hidup ini.
Lalu berkata ibunya lagi,” Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”
“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya. Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”
“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”

Maka tidaklah mampu lagi Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka berdoalah Uwais dengan kata, “Ya Allah, kerana mentaati kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”

Apabila Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. itu.

Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini. Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita. WalLahu ‘alam.

Nota: Semoga Allah melimpahkan pahala kepada guru-guruku yang telah menitiskan ilmu kepadaku.


 

No comments:

Post a Comment