Saturday 3 September 2011

CERITA BERSAHABAT DENGAN ORANG-ORANG SOLEH.

- oleh BayangdiAir

Dengan siapa kita berkawan atau bersahabat? Bercerita dengan kawan yang minat bola, kita akan dapat maklumat tentang bintang bola, team-team dunia yang handal dan keputusan terkini bolasepak dunia. Bercerita dengan kawan yang minat memancing, kita akan tahu tentang lubuk ikan di laut atau di darat, umpan terbaik dan pengalaman memancing yang menarik. Bercakap dengan kawan yang minat bermain saham, kita akan mendapat maklumat tentang naik turun saham, jatuh bangun ekonomi dunia, harga minyak dunia, tukaran matawang dan harga emas terkini.

Kita berkawan dengan pelbagai jenis manusia. Di sini aku mahu berkongsi pengalaman dan amalan sahabat-sahabat yang soleh. Aku hanya menurunkan tiga  cerita  yang kecil tetapi teramat besar ertinya dalam pengalaman persahabatanku.
Cerita 1:
Ada sahabatku yang amalannya sangat suka memasang stiker islamik. Di setiap kenderaannya dan di rumahnya, banyak terdapat stiker-stiker seperti itu. Antaranya, “I love Allah”, “I love Islam”, Anda Islam, Anda Selamat” dan beberapa sticker lagi yang aku tak ingat perkataanya. Kata sahabatku, daripada tampal stiker MacD, MU, minyak pelincir, baik kita pamerkan kecintaan kita kepada Allah dan Islam. Moga itu menjadi saksi nanti di akhirat kelak. Moga itu menjadi dakwah yang bergerak ke mana sahaja kenderaan kita tuju dan berada. Katanya, “stiker aku adalah manifestasi cintaku kepada Allah dan Islam. Stikerku adalah dakwah bergerak. Moga ia menjadi bukti dan  saksi cinta yang bergelora dalam dadaku ketika hidup apabila aku berhadapan dengan Kekasihku di akhirat kelak.

Cerita 2:
Ketika berbual dengan seorang lagi sahabatku beberapa tahun dahulu, beliau berbicara tentang sikap orang yang menghina Quran tanpa sedar. Ada orang meletakkan rehal, kunci, buku dan macam-macam di atas Quran. Ada orang meletakkan Quran secara  terbiar sehingga berhabuk dan kotor  di rumah. Di mana sahaja dia ternampak al-Quran yang diletakkan secara tidak wajar dan terbiar , dia akan melakukan sesuatu untuk memperelokkan letaknya serta memastikan kebersihan agar terpelihara kemuliaan. Kata sahabatku itu, “Walaupun al-Quran itu kitab cetakan, bukankah ia adalah mukjizat , firman dan wahyu Tuhan, Allah Yang Amat Mulia Zat, Sifat dan Af’alnya? Mengapa diremehkan kemuliaannya?

Cerita 3:
Seorang sahabatku lagi pernah mengajarku tentang bersalam selepas aku memberi respons terhadap cara bersalamnya. Sekian lama aku menyedari teknik salamnya.  Apabila dia bersalam, dia akan menggengam erat tangan tanganku  sambil berpandangan mata. Yang menarik bagiku  ialah dia akan senyum setiap kali dia bersalam denganku. Katanya, suatu waktu dulu dia terfikir, “kenapa manusia bersalam dengan wajah yang tak mampu mengikat silatulrahim. Banyak orang bersalam dengan air muka yang tawar, seakan-akan garang dan terpaksa dan ada ketikanya bersalam sambil memandang ke arah lain. Hal ini katanya sering berlaku dalam kalangan jamaah masjid sendiri yang mempraktikkan salam beramai-ramai selepas solat jamaah. Dia tertanya-tanya dengan cara bersalam begitu, terlaksanakah maksud dan konsep salam itu sendiri? Lantas, dia memperbaiki cara bersalamnya hinggalah kini walaupun katanya salamnya tidak disambut secara wajar oleh sesetengah ahli jamaah sendiri.

Demikianlah ilmu yang aku timba daripada sahabat-sahabat yang soleh. Moga menjadi bahan renungan dan perkongsianku dan semua manusia yang bercita-cita akan iman dan taqwa. Jangan diremehkan soal-soal kecil. Ia mungkin amat besar di sisi Allah. Ingatlah kisah pelacur yang memberi minum anjing di padang pasir.  Bukankah dia mendapat redha Allah kerana ihsannya pada anjing yang sedang kehausan? Ingatlah pada kisah iblis yang dihalau dari syurga hanya kerana ada sekali perasaan takabbur? Iblis tak menafikan keesaan dan sifat ketuhanan Allah, dia hanya rasa  dia lebih mulia dari Adam yang diperbuat daripada tanah lalu dia mendapat murka dan celaka daripada Allah. Renung-renungkan.

No comments:

Post a Comment