Wednesday 30 November 2011

JANGAN SANDINGKAN IKHLAS DENGAN BAKHIL.

              
Ya akhi,
Amalan sedekah merupakan tuntutan yang sangat dititikberatkan dalam Islam selain daripada sistem zakat. Umat dituntut malah disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Lalu kita keluarkanlah sebahagian daripada harta benda dan wang kita untuk diisi ke dalam tabung-tabung masjid, peti-peti derma dan  dana-dana perjuangan.

Kita sedar dan sentiasa menyedari tentang pentingnya keikhlasan dalam amalan derma. Tidak
dinafikan bahawa insan yang memahami agama selalu mengutamakan keikhlasan dalam beramal. Lalu ada di kalangan kita yang menghulurkan kepingan syiling. Ada yang menyumbangkan RM 1  dan  RM2 dan ada pula yang sanggup menyumbangkan sehingga beribu-ribu ringgit dalam dana-dana tertentu.

Ya akhi,
Persoalannya ialah siapa kita, berapakah  pendapatan kita dan banyak manakah harta kita?
Persoalannya ialah wajarkah kita dermakan sekadar  seringgit dua asalkan ikhlas sedangkan wang dalam dompet kita terselit beratus-ratus ringgit. Masihkah akhi amalkan lagi teori ‘biarlah 10 sen asalkan ikhlas’? Wajarkah kita sumbangkan RM10 sedangkan kita mempunyai wang dalam bank puluhan ribu ringgit? Inilah persoalan dalam anjakan pemikiran ini.

Semasa kita memasukkan syiling-syiling lebihan belanja untuk tabung  masjid, apakah yang tersembunyi di hati kita? Semasa kita mengambil RM1 daripada ratusan ringgit di dalam dompet kita untuk didermakan kepada jihad, apakah yang tersembunyi di hati kita? Apakah yang bermain ketika kita telah berasa banyak dengan RM10  daripada puluhan ribu ringgit di dalam bank untuk tabung fakir miskin? Dan apabila kita sudah menderma RM100 untuk mendaulatkan hukum Allah sedangkan kita adalah seorang hartawan, maka kita sudah berasa lebih daripada orang lain? Ya akhi, sebenarnya apakah yang tersembunyi di hati kita selain keikhlasan? Jawapannya ialah tak  lain tak bukan; itulah sifat yang dinamakan bakhil. Tilik pandanglah sifat kedekut yang terselit kejap di lipatan amal kita.

Ya akhi,
Wajarkah kita sandingkan sifat ikhlas bersama sifat bakhil di persada iman kita? Bukankah satu itu sifat mahmudah dan satu lagi sifat mazmumah? Sedarlah bahawa perjungan menegakkan hukum Tuhan dan usaha meninggikan syiar Islam memerlukan umat yang mempunyai hati seperti Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf. Hati insan seperti mereka boleh dimiliki oleh seorang nelayan dan petani, apatah lagi seorang hartawan. Soalnya berapa kadar yang akhi  dapat hulurkan untuk fisabilillah nisbah dengan harta yang akhi miliki. Ingatlah, apakah yang masih tersembunyi di lipatan hati ketika di lipatan yang satu lagi kita telah mengatakan ‘saya ikhlas’. Mudah-mudahan ia bukanlah sifat kedekut yang Allah benci. Renung-renungkanlah dan tilikpandanglah.
                                                                                                     

No comments:

Post a Comment