Saturday 3 December 2011

JIKA SESEORANG MEMILIKI SIFAT-SIFAT TERPUJI DAN KESANNYA PADA PERIBADI SESEORANG

Jika seseorang itu dapat menajamkan rasa kehambaan dan
rasa bertuhan di dalam hatinya maka kesannya adalah
seperti berikut:
Pertama: Jika sifat dan rasa kehambaan itu amat kuat berlaku
pada seseorang muslim itu, ia akan menghilangkan atau memusnahkan
sifat-sifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub,
sum'ah, sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.
Sebaliknya apabila rasa kehambaan itu tidak wujud, maka
akan lahirlah rasa ketuanan. Rasa ketuanan itulah yang melahirkan
rasa sombong, riyak, sum'ah, pemarah, hasad, minta dipuji,
meninggi diri, dendam, tamak dan lain-lain lagi. Kemudian jika
sifat ketuanan itu dibiarkan subur dan dibaja, maka akan lahirlah
pada seseorang itu rasa atau sifat ketuhanan yang mana ia adalah
milik Allah SWT. Maka jatuhlah dia kepada syirik. Wal'iya–
zubillah. Dan kalau dia orang yang berkuasa, maka dia akan
menjadi orang yang sangat zalim dan kejam.
Oleh itu kita sebagai hamba, kenalah mempertajam dan
menyuburkan rasa kehambaan itu agar segala sifat-sifat mazmumah
hilang. Begitulah yang dituntut oleh Allah Taala kepada
hamba-hamba- Nya.
Apabila rasa kehambaan itu menghilangkan sifat-sifat mazmumah
seperti yang telah disebut tadi maka secara automatik lahirlah pada
diri seseorang itu sifat-sifat mahmudah seperti merendah
diri, malu, bertolak ansur, berkasih sayang, bertimbang
rasa, mengutamakan orang lain, bertawakal, sabar, rasa berdosa,
rasa kurang, rasa lemah, rasa mengharap, memberi maaf, meminta
maaf, merasa diri bersalah, rasa berdosa dan lain-lain lagi.
Kedua: Apabila rasa bertuhan benar-benar dihayati dan
benar-benar mencengkam hati seseorang muslim serta dibawa
ke mana-mana, maka apa yang akan berlaku pada seseorang
itu ialah dia rasa diawasi dan diperhati oleh Allah Taala. Rasa
malu sentiasa wujud. Rasa takut tidak akan lekang lagi dari
seseorang itu. Dia akan benar-benar merasa dirinya di dalam
kekuasaan Allah. Nasibnya benar-benar ditentukan oleh Allah
Taala.
Maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia
takut membuat dosa. Malu dengan Tuhan. Dia akan menjadi
orang yang jujur dan ikhlas. Suka membuat baik. Dia akan menjadi
orang yang beradab dan bersopan, berdisiplin, menunai janji.
Apabila membuat dosa terseksa jiwanya. Sentiasa muraqabah,
jiwanya sentiasa hidup dan berhubung dengan Allah Taala.
Maka mereka itu di dalam keadaan macam mana pun, mereka
tetap tidak lalai. Apatah lagi mereka tidak akan hanyut di dalam
arus kemaksiatan dan kemungkaran masyarakat. Mereka tetap
dapat mengawal dan menjaga diri. Dengan kata yang lain, rasa
bertuhan itulah menjadi benteng pada seseorang itu daripada
melakukan dosa dan derhaka. Sekaligus ia merupakan anak
kunci segala kebaikan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa tajamkan
atau hidupkan rasa bertuhan di dalam hati kerana rasa bertuhan
itulah kita akan menjadi orang baik di dunia ini.
PERINGATAN:
Sebagai peringatan, bahawa sembahyang dan ibadah yang
banyak dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati
maka rasa kehambaan pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa
bertuhan tidak akan timbul. Maka ibadah yang semacam ini bukan sahaja
tidak dapat
melahirkan orang yang merendah diri dan berkasih sayang tetapi
akan lahir daripada sembahyang dan ibadahnya yang banyak
itu sifat-sifat sombong dan riyak, sum'ah dan ingin dipuji, rasa
diri bersih dan tidak takut dengan Tuhan. Oleh itu sembahyang
dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan diri seseorang
hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi
hijab seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dosa seperti inilah
biasanya seseorang itu mati tidak berampun kerana dia tidak
tahu atau tidak merasa membuat dosa. Akhirnya manusia itu
mati di dalam suasana su'ul khatimah kerana dia rasa dia membuat
baik bukan membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat
dosa di atas saluran yang baik. Membuat dosa dan derhaka
di dalam berbuat taat. Lahirnya nampak taat tapi batinnya derhaka.
Mereka bersembahyang dan beribadah bukan untuk memusnahkan
mazmumah tapi dengan ibadah itulah dia menyuburkan
mazmumah.
Wahai Tuhan! Berilah kami pimpinan! Engkau perlihatkanlah
diri kami lahir dan batin! Engkau perlihatkanlah
perkara-perkara yang seni-seni di dalam kebaikan dan kejahatan
agar kami selamat daripada dosa-dosa yang susah
hendak difahami. Amin, ya Rabbal alamin.


dari minda sahibuzaman...

No comments:

Post a Comment