Friday 16 December 2011

MENGAPA 'KUEK' SANA 'KUEK' SINI?


- oleh BayangDiAir
Tiada peraturan disiplin lagikah di dalam PAS terutama dalam kaedah berkomunikasi ? Kita sebagai ahli kadang-kadang jadi keliru dengan gelagat pemimpin kita yang sewenang-wenangnya ringan mulut dengan media.  Sudahlah cabang media semakin banyak ditambah dengan media baru, pemimpin pulak macam itik yang berebut-rebut nak menunjukkan ‘kuek, kuek, kuek’ siapa yang lebih kuat dan menarik perhatian. Lupakah pemimpin akan saranan perwakilan dalam muktamar terdahulu agar jangan mudah terpesona dengan kelibat media? Malah dengan media parti sendiri pun sewajarnya kita kena cermat dan bijaksana.

Fokus kini ialah kepada isu,  Dato’ Dr. Hassan Ali dan Ustaz Nasarudin Mat Isa.  Tanpa mahu memanjangkan cerita, penulis cuma meluangkan masa di waktu malam begini untuk memberi cadangan demi  menamatkan polemik  dan menyelamatkan suasana. Maaflah andaikata tulisan ini nampak macam budak-budak mengajar bapak.

Ringkasnya begini. Presiden dan beberapa orang pucuk pimpinan berjumpalah dengan Dr. Hassan dan Ustaz Nasha. Bincang dari hati ke hati. Cari suasana menang-menang untuk kelestrarian jamaah ini. Kemudian buat analisis di samping memohon petunjuk Allah. Akhirnya, buat satu keputusan secara kolektif di kalangan pemimpin. Lepas tu, bolehlah diadakan satu sidang media yang diharapkan dapat mengakhiri kemelut ini.

Penulis merasakan bahawa Badan Disiplin PAS perlu mengambil inisiatif sekiranya berlaku kes-kes macam ni. Mereka boleh berbincang, minta penjelasan dan memberi nasihat secara bersemuka. Yang penulis pelik ialah mengapa pemimpin kita suka berpolemik macam ahli biasa dan blogger. Bukankah, mereka  boleh akses dengan mudah antara satu sama lain kerana mereka memiliki nombor telefon dan handset  masing-masing. Tak boleh ‘hello’ kah sepatah kata sesama sendiri? Tak bolehkah jemput minum kopi bincang dengan penuh ukhuwah?  Mengapa mesti media?

Yang berlaku ialah masing-masing respon dan buat ulasan dari jauh melalui ‘saluran TV’ masing-masing. Maaf cakap, macam itik, satu ‘kuek’ di sana, satu lagi ‘kuek’ di sini dan ada lagi itik-itik lain ‘kuek-kuek’ dari tempat masing-masing. Nampak sangat macam tak sereban. Waima apapun, ambillah tindakan di atas dengan segera. Jangan biarkan rakyat membina persepsi baru terhadap PAS. Kami di bawah ini tidak  mahu kerja-kerja parti menjadi sia-sia kerana rosaknya imej parti di mata rakyat. WalLahu’alam.

No comments:

Post a Comment