Wednesday 14 December 2011

PESAN USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN

 - Oleh BayangDiAir


Dalam tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau selalu menutup tazkirah itu dengan satu ucapan yang berbunyi, “Jangan kita berkira dengan Allah, nanti Allah berkira dengan kita. Jangan kita tiada masa dengan Allah, nanti Allah tiada masa dengan kita.”


Kata-kata di atas amat ringkas dan mudah difahami. Namun natijahnya amat besar. Kadang-kadang kita begitu kedekut untuk menghulurkan duit atau harta ke jalan Allah. Kita berkira takut tak cukup duit untuk keperluan hidup. Puas berkira bercongak belanja itu sini, barulah dihulurkan ke jalan Allah. Kadang-kadang beli permainan anak-anak jauh lebih mahal harganya. Tuan, bagaimana nanti kalau Allah pula berkira dengan kita nanti sebagaimana Tuan berkira dengan Allah tadi? Jawab sendirilah.


Begitu juga masa 24 jam sehari semalam. Sibuknya kita bekerja siang dan malam  - OT dan kerja sambilan. Menderu kereta ke utara dan selatan. Kadang-kadang dengan isteru pun pakai ‘touch and go’ sahaja. Ada pula siang bekerja manakala masa terluang pula dihabiskan untuk hobi dan hiburan. Kata orang tak lekat kat rumah. Nak ke masjid, jauh sekali. Solat, kalau sempat buat, kalau tak sempat pakai ‘mc’-lah. Bila solat pula, nampak sangat macam kena kejar. Bergegas salam. Angkat punggung tak sempat baca doa. Semua ini adalah manifestasi tiada masa dengan Allah. Tuan, bagaimana pula sekiranya Allah pula yang tiada masa dengan kita? Jawab sendirilah.


Kesimpulannya,  Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berpesan kepada kita semua terutamanya kepada para pejuang Islam agar kita mencontohi hubungan tentera Salahudin al-Ayubi dengan Allah Ta’ala. Mereka gagah berjuang di waktu siang manakala malamnya mereka adalah hamba-hamba Allah yang tunduk khusyuk dengan mendekatkan diri kepada Allah menerusi  pelbagai amalan mulia. Mereka tak pernah berkira dengan Allah dan masa mereka siang malam adalah untuk Allah. Merekalah yang berhak bercita-cita akan syurga sedangkan kita adalah golongan yang berangan-angan untuk memasukinya. WalLahu’alam.

No comments:

Post a Comment