Thursday 15 December 2011

Dato' Dr. Hassan Ali: Sebutir Permata Di Dalam PAS.

- oleh BayangDiAir

Ada tiga perkara yang perlu dibincangkan dan ditangani  tentang kes Dato’ Dr. Hassan Ali. Pertama, gerakan pemula yang cuba mempertikaikannya. Kedua, kebenaran prinsip perjuangannya. Ketiga, pencalonannya untuk PRU13. Untuk bertindak adil malah menyelamatkan sebutir permata di dalam PAS, kepimpinan PAS Pusat perlu menubuhkan sebuah ‘suruhanjaya diraja’ dalaman  untuk menyiasat kedudukan sebenar sehingga Hassan Ali seakan-akan tersingkir atau menyingkirkan diri daripada PAS. Penulis masih ingat bagaimana tokoh ini meninggalkan peluang jawatan dan kekayaan semata-mata untuk bersama-sama dengan PAS dan penulis tidak lupa bagaimana perwakilan PAS pernah menghina (memfitnah) beliau dalam muktamar suatu ketika dahulu.

Pertama,  bilakah gerak mula usaha memperlekehkah beliau. Adakah sejak muktamar PAS tersebut, sejak beliau naik menjadi Naib Presiden PAS, sejak beliau naik menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor atau sejak terlontarnya idea Kerajaan Perpaduan? Saat gerak mula ini penting dikaji agar kita dapat menelaah justifikasi, tujuan dan niat penggeraknya.

Kedua, apakah prinsip perjuangan yang dipertahankannya khususnya dalam isu perpaduan bercanggah dengan Islam? Kalau tidak bercanggah dengan Islam, apakah ia bercanggah dengan perjuangan PAS sepertimana yang difikirkan oleh golongan yang mempertikaikan kredibilitinya? Dan adakah prinsipnya itu menjadi petanda bahawa jiwa beliau telah lunak dengan UMNO berdasarkan  tiada lagi serangan-serangan beliau  terhadap UMNO sama ada menerusi ceramah atau apa saja ruangan media?

Ketiga, dalam situasi terkini, selamatkah lagi untuk PAS mencalonkan beliau untuk PRU13 nanti? Apakah akan terjadi kepada PAS sekiranya kepimpinan PAS Pusat terus mencalonkan beliau dan apakah yang akan terjadi jika berlaku sebaliknya? Apakah sejarah Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin akan berulang kerana tidak telitinya kepimpinan PAS?

Maaf, penulis hanya mengemukakan persoalan bertujuan diambil perhatian oleh kepimpinan PAS Pusat. Ini adalah kerana penulis sendiri sukar untuk mencari punca mula dan jawapan untuk menyelesaikan kekusutan terbaru ini. Penulis takut pula memberi ulasan dan respon yang kurang tepat. Nanti takut membawa retak dan yang retak pula membawa belah. Cuma kalaulah penulis diberi peluang menyatakan hati halus penulis maka cadangan penulis ialah jangan calonkan beliau untuk PRU13 nanti.

Namun begitu, usaha mengekalkan beliau di dalam PAS perlu diusahakan dengan cara memulangkan maruah, hak dan keadilan untuk beliau yang seakan dicabut oleh kepimpinan PAS Selangor. Walaupun beliau tidak lagi nanti menjadi wakil rakyat, namun beliau hendaklah diberi peluang memimpin satu biro atau jawatankuasa agar idea dan kepakaran beliau dapat dimanfaatkan. Saudara Mazlan Aliman juga bukan wakil rakyat tetapi kini beliau terbukti menjadi seorang pemimpin yang amat berkesan dalam mengepalai ANAK.  Dato’ Dr. Hassan Ali ada potensi besar untuk tujan tersebut.

Kesimpulannya, adakah perselisihan ini adalah indikator perbezaan fikrah antara golongan agamawan dan cendekiawan di dalam PAS? Atau sudah tercabutkah ciri-ciri pejuang Islam dalam diri beberapa kerat pemimpin PAS? Sekiranya ini terjadi, ubatilah sama ada dengan cara menelan ubat atau memotong mana-mana anggota agar penyakit tidak melarat. Tetapi jangan tersilap ubat atau sersilap potong. Marilah kita semua ,penyokong perjuangan Islam yang berada di dalam PAS,  memohon pertolongan Allah secara bersungguh-sungguh agar Allah membantu dan menyelamatkan perjuangan suci kita tertutama dalam situasi kita cukup keliru dan lemah untuk menghadapinya. WalLahu’alam.

NOTA: Situasi  Ustaz Nasarudin Mat Isa hampir sama dengan Dato’ Dr. Hassan Ali. Kedua-duanya perlu ditangani bersama.

No comments:

Post a Comment