Sunday 29 January 2012

DI MANA HULUBALANG PAS APABILA ULAMA DILIBAS?

- oleh BayangDiAir

Mengapa musuh berani menceroboh istana? Jawabnya adalah kerana para hulubalangnya sedang lena  atau sedang pelahap hidangan di pinggir huma. Apabila musuh melihat istana tidak sedia dilindungi oleh hulubalang, maka musuh tidak gentar lagi untuk ceroboh kamar diraja. 



Mukadimah ini  adalah analogi sinikal untuk sikap pemimpin PAS yang segan untuk bertindak apabila setiap kali istana PAS diceroboh oleh rakan dan lawan. Penulis spesifikkan teguran ini untuk para professional di dalam kepimpinan PAS yang diam setiap kali ulama dan ‘ istana PA.S diserang oleh rakan pakatan.


Penulis tidak berniat buruk apabila menyuarakan pandangan ini. Sebarang niat buruk hanyalah akhirnya membinasakan perjuangan yang didukung oleh penulis sendiri. Seikhlasnya penulis melihat bahawa apabila Prof Aziz Bari membedal pemimpin PAS untuk sekian kalinya, tiada seorang pun daripada kalangan profesional yang vokalis dan terampil, bangkit bangun menyerang balas sikap biadap manusia yang menceroboh istana PAS. Situasinya samalah seperti analogi di atas tadi. Sikap negatif ini menatijahkan sudut pandangan yang negatif juga oleh ahli-ahli di luar ini.


Poin teras maksud penulis ialah para profesional yang menjadi hulubalang hendaklah tangkas gagah mempertahankan ulama dan istana. Tidak moleklah sekiranya hanya para ulama juga yang bertungkus-lumus menjaga air muka ulama. Tentulah ini akan timbul persepsi bahawa ada blok antara professional dan ulama. Ini yang kita tidak mahu kalau benar kesepaduan ulama dan professional sebati, sehati, seia dan sekata. Apabila berjalan,  berderap,  sederap bunyinya.


 Cuba lihat dalam kes bakal PM sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya. PKR tidak segan-silu untuk mengangkat DSAI sebagai calon menanti. Sedangkan kalau tidak diangkat oleh hulubalang PKR pun, PAS pasti boleh terima hakikat peranan dan keterampilan DSAI untuk menjadi PM. Namun, ketika DSAI dijangkakan akan menghuni tirai besi dalam kes liwat baru-baru ini, siapakah dari kalangan profesional PAS yang bersedia mencadangkan TG Presiden yang merupakan seorang ulama untuk menjawat jawatan tersebut? 


Kalaulah cadangan itu dibuat oleh Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan PAS, sudah tentu  kata-kata bahawa hanya ulama mengangkat ulama menjadi benar. Maka sebaliknya benarlah pula bahawa  professional PAS tidak sealiran lagi dengan ketuanya. ( Mujurlah tepat kata Presiden, “burung terbang jangan dipipiskan lada”. Belum tiba masanya untuk berkira. Selesai).


Penulis menulis ini kerana rasa bimbang andai senario ini memungkinkan lawan dan kawan tidak hormati lagi kepada pemimpin PAS dan kehebatan ‘ istana PAS’. Istana ini bagai tidak berpagar lagi. Hulubalang entah ke mana menghilangkan diri. Tinggal paduka bersendiri. Di mana pergi kehebatan gerakan ini?

Justeru itu, professional PAS yang gagah perkasa MESTI bangkit bangun mempertahankan maruah ulama dan ‘istana’ ini. Kami, yang di bawah ini, berbai’ah dan berwala’ akan menjadi pagar yang akan mempertahankan pula siapa sahaja yang bernama pemimpin bagi kami. Ini adalah peringatan kepada lawan mahupun kawan agar  beringat-ingat  dengan peribahasa ini, “kalau ingin memukul kucing, perhati-perhatikan tuannya”.

Nota: Tulisan ini adalah cetus resah-gelisah ahli di bawah ini yang tergugat kesabarannya apabila keceluparan kawan berulang-ulang.

 

1 comment:

  1. benar dan tepat sekali hulubalang tkda telokla tu mana leh nak lawan taekwondo dgn kungfu hehehe

    ReplyDelete