Tuesday, 31 May 2011

Cadangan: Web Pemuda dppkk Sebagai One-Stop Center.

Apabila disemak banyak blog di Kemaman tidak aktif, tidak update dan terlalu jarang dikunjungi. Ini merugikan tenaga kepakaran ICT. Apa kata, webmaster setiap blog pemuda, nisa', Pasti dan cawangan PAS berpadu tenaga dengan hanya berkongsi satu laman saja. Jadikan http://www.dppkk.org sebagai one-stop center untuk panduan, hebahan dan rujukan setiap warga pejuang dan pendakwah di Kemaman.

DUA KISAH MENARIK DARIPADA KULIAH USTAZ UWAIS QARNI.


- Oleh Anak Jati

Berikut merupakan dua insidenh yang menarik untuk direnungi oleh orang yang beriman mahupun yang tidak beriman. Satu kisah tentang dosa fitnah walaupun sekadar disuarakan di dalam hati manakala satu kisah lagi ialah tentang kesan pandangan terlarang.

Insiden pertama, peristiwa melekatnya tapak tangan si pemandi mayat pada kemaluan mayat perempuan yang dimandikannya. Kisah ini berlaku pada zaman Imam Malik. Apabila insiden aneh itu berlaku, seseorang telah berjumpa dengan Imam Malik untuk mendapatkan pandangannya. Apakah kemaluan mayat itu perlu dihiris atau tangan si pemandi mayat itu yang harus dipotong?

Apabila diminta pandangannya, Imam Malik menyuruh ditanyai si pemandi itu sama ada dia telah melakukan sesuatu perkara yang salah dari segi agama. Setelah diajukan soalan itu, lalu terlintaslah jawapan dalam ingatan perempuan si pemandi mayat itu. Katanya bahawa semasa dia membasuh bahagian kemaluan mayat itu, datang terlintas satu fitnah di hatinya iaitu dia merasakan kemaluan mayat  ini agaknya banyak melakukan maksiat semasa hidupnya.

Apabila disampaikan jawapan perempuan ini kepada Imam Malik, lantas Imam Malik menghukumnya qazaf atas fitnahnya tanpa saksi itu. Lalu dijatuhkan sebat sebanyak 80 rotan ke atas pemandi mayat itu. Apabila selesai menerima hukuman, terlepaslah tangannya yang melekat  pada kemaluan mayat tadi.

Moral daripada kisah itu ialah betapa besarnya dosa fitnah. Kalau dalam hati pun sudah dikira berdosa, apalagi perbuatan manusia mutakhir ini yang sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan fitnah. Fitnah sudah jadi seperti sarapan waktu pagi. Selamba sahaja manusia membuat fitnah. Allah tidak menyegerakan balasan kepada pemfitnah adalah sebagai satu bala. Sama seperti Allah tidak menyegerakan bala terhadap Firaun. Allah beri pemfitnah hidup sepuas-puasnya di dunia transisi ini kerana di akhirat sana Allah telah menyediakan balasan yang amat dahsyat dan kekal abadi.

Insiden  kedua pula berlaku terhadap Imam Syafie yang terkenal kerana mampu menghafal  al-Quran sejak berusia 6 tahun lagi. Suatu ketika beliau telah hilang sebahagian daripada hafalannya hanya kerana terpandang betis seorang wanita secara tidak sengaja. Kesilapan yang tidak disengajakan pun telah melunturkan ilmunya. Bagaimanakah pula kita pada hari ini yang penuh maksiat dari siang hingga malam?  Agaknya mungkin ada yang berkata bahawa dia lebih hebat daripada Imam Syafie kerana walaupun pelbagai maksiat dilakukan, tidak pula hilang ingatannya. Mustahil kita lebih hebat daripada Imam Syafie. Yang sebetulnya; ingatan kita tidak hilang setelah melakukan maksiat kerana tiada sesuatu ilmu yang bermanfaat pun  dalam kepala kita. Jadi macam mana mahu hilang kalau memang kepala sudah kosong. 

Moralnya ialah maksiat membawa banyak kesan negatif dalam kehidupan harian kita. Hanya kita sahaja yang tidak menyedarinya kerana ketiadaan ilmu. Kesan negatif itu adalah bala di dunia. Di akhirat kelak, sama-samalah kita maklumi sendiri.

Sunday, 29 May 2011

Sekolah Pondok: Satu Renungan


oleh : BayangDiAir

Amat mendukacitakan apabila para ustaz pondok mengucapkan kepada pelajar pondoknya, ‘kalau mahu belajar, belajar ;  kalau tidak minat, balik”. Ada pondok yang tidak menghiraukan pelajarnya hadir atau tidak. Pelajar yang rajin akan sentiasa memenuhi ruang kehadiran. Pelajar yang malas dan letih pula akan menghadiri kelas wajib dan kelas-kelas tertentu sahaja. Ketahuilah bahawa pelajar masuk ke sekolah pondok atas beberapa keadaan. Ada kerana minat sendiri. Ada kerana kemahuan ibu bapa. Ada kerana malas belajar di sekolah biasa yang sarat dengan akademik. Dan ada kerana masalah akhlak yang kronik lalu ibu bapa lebih berbahagia sekiranya anaknya menjadi insan yang soleh dan berakhlak mulia.

 Masalahnya ialah tuan-puan silap sekiranya beranggapan  bahawa akhlak anak tuan-puan akan ditangani secara serius dan berfokus di sekolah pondok. Di sekolah harian biasa, ada unit kaunseling. Unit ini tidak ada di pondok. Jadi, ibu bapa jangan harap bahawa  anak mereka ‘ dibaiki ‘ oleh ustaz-ustaz pondok. Ustaz-ustaz akan hanya mengajar kitab.  Adalah sedikit selitan nasihat, teguran dan tindakan.  Ada ustaz pondok  berkata, “encik tak mampu jaga anak encik seorang, saya ada berpuluh-puluh pelajar lain untuk diuruskan.”  

Di negara kita ada sistem pondok dan Maahad Tahfiz. Kedua-duanya tidak menjalankan fungsi khusus untuk mengatasi ledakan gejala sosial dalam kalangan remaja. Sistem pondok lebih menumpukan kepada menelaah kitab-kitab dan fardu ain. Bimbingan akhlak cuma diberi dalam bentuk kuliah umum.  Manakala Maahad Tahfiz lebih berfokus kepada hafazan al-Quran. 

Ada pondok dan maahad tahfiz mensyaratkan pelajar yang hendak masuk mesti ada kemahuan, tidak disingkirkan oleh mana-mana institusi dan berakhlak mulia. Jelas bahawa anak tuan-puan yang bermasalah dan terlibat dalam gelaja sosial tidak dialu-alukan agar tidak menjadi ‘pengacau’ dalam pondok. Ada tujuan pondok dan maahad tahfiz membuat syarat begitu. Antaranya  bertujuan menjaga nama baik masing-masing. Adakah pondok tidak betul? Itu terpulanglah pada pandangan  masing-masing.

Kini gejala social makin bertambah. Anak-anak remaja ramai yang terlibat dalam masalah kronik seperti menderhaka kepada kedua ibu bapa, pergaulan bebas lelaki-perempuan, penzinaan, merokok , alkohol, rempit, tidak solat dan sebagainya. Mereka tiada berminat untuk belajar. Kalau belajar pun, tidak guna kalau sudah sesat dalam beragama. Tiada tempat untuk mereka ini di maahad tahfiz. Tiada ruang untuk mereka di sekolah pondok. Satu tempat yang khusus perlu diwujudkan untuk mereka.  Kerajaan, NGO,  badan-badan amal dan para lepasan agama yang berminat untuk mendirikan pondok disarankan mengadakan pondok  tarbiyah khusus untuk menjernihkan remaja dengan akhlak yang mulia dan amalan agama.  

Apakah bezanya pondok tarbiyah ini? Pondok tarbiyah perlu memberi fokus khusus untuk pemulihan akidah dan akhlak. Bentukkan unit kaunseling Islam atau bimbingan sentuhan nurani. Di samping itu, adaptasi mana-mana sukatan  sistem pondok dan maahad tahfiz yang sesuai  sebagai  ko-agenda . Antaranya, pengajian  al-Quran dan hafazan,  asas-asas kemahiran hidup serta pelajaran akademik  yang penting iaitu Bahasa dan Matematik bagi pondok yang mampu melakukannya. Sekurang-kurang selepas keluar daripada pondok tarbiyah, para remaja ini terus mempunyai  kemahiran  dan keupayaan  4M iaitu membaca-menulis-mengira- menaakul. Ini memudahkan mereka menceburi lapangan yang sesuai apabila berada dalam masyarakat nanti.

Kesimpulannya, idea ini mungkin ada cacat-celanya. Namun pihak-pihak berkenaan tadi perlulah mengolah idea asas ini berdasarkan kemampuan masing-masing. Yang penting, pihak kerajaan, badan amal, para lepasan agama dan sesiapa sahaja yang berminat dalam kerja amal usaha dakwah, mestilah menyedari bahawa institusi pemurnian akhlak dan tarbiyah amat diperlukan sekarang sebelum gejala sosial menjadi semakin parah dan tidak terubat lagi. Lakukanlah sesuatu. Namun alangkah baik sekiranya maahad tahfiz dan sekolah pondok yang sedia ada membuka cabang pemurniaan akhlak dan akidah ini. Mereka sudah mempunyai tapak, infrastruktur, tenaga pengajar dan segala kelengkapan. Mereka mampu melakukannya jika mahu.  Sebagai penutup, apa kata kalau PAS mengambil tanggungjawab ini?
 

Saturday, 28 May 2011

Adakah Anda Masih Bersungut?

  - 0leh BayangDiAir



Ketika kita berada di dalam kamar, kita tidak tahu apa yang berlaku di luar kamar.   Ketika kita sedang meyuap secebis ikan ke dalam mulut, kita tidak pernah terfikir nasib nelayan yang sedang menarik pukat di laut. Ketika kita berputar dalam kitaran hidup sendiri, kita tidak pernah sempat menyaksikan kitaran hidup orang lain. Gambar-gambar berikut mungkin menyedarkan anda terhadap dunia yang tidak pernah anda rasai.





.......
Jika anda rasa tidak selesa, adakah mereka lebih selesa dari anda?

Jika anda merasakan gaji anda tidak mencukupi, bagaimana pula dengan anak kecil ini?

Jika anda rasa tiada kekuatan untuk hidup, bagaimanakah pula dengan si kudung ini?

Jika anda rasa telah kuat berusaha, bagaimana pula dengan lelaki ini?

Sejauh manakah kesusahan dan beban anda mencari rezeki berbanding mereka?

Adakah anak-anak akan menjadi beban anda hingga  hari tua?



Sudikah anda meletakkan makanan yang berlebihan ke dalam periuk mereka?

Anda tidak bersyukur atas nikmat tidur, sedangkan ada manusia yang berharap tidak lagi terbangun dari tidur.
 
   Adakah anda masih  bersungut?
Kurangkan bersungut. Lebihkan sumbangan.
Perhatikan sekeliling anda. Bersyukurlah akan apa yang anda miliki di dunia transisi ini.

...

Friday, 27 May 2011

Program Forum Perdana 
Tempat: Pondok Mustaqim, Binjai
Tarikh: SABTU, 28 MEI 2011
Masa: 9.00 malam.

TajuK: "Ke Syurga Atau Ke Neraka." 

Ustaz Suhaimi Saad

Ahli Panel: 
Us Muhammad Rashidi Abdullah
       
Ustaz Mustafa Kamal
          l
Moderator: Us. Hisyamuddin A. Karim
Tuan-puan dijemput hadir untuk menyokong program pondok dan memeriahkannya. Bawa bersama keluarga dan rakan. Bantu sama menyebarkan maklumat ini segera. Jangan lupa. Kita jumpa di sana.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Kuliah Dhuha Mingguan Ustaz Hisyamuddin A. Karim di Masjid Solehin, Taman Permai Jaya, pada Jumaat  3 JUN 2011, DIBATALKAN  bagi meraikan Muktamar PAS. Kuliah akan disambung semula pada 10 JUN 2011. Harap Maklum dan Sebarkan.

Thursday, 26 May 2011

mari pakat renung

 "Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: 'Anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi Muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.' Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui."

-Ustaz Muhd Asri Zainul Abidin, Bekas Mufti Perlis..
Yang dok ada... (ni Tok Senapi kata).. bila masuk UMNO jadi macam ni:

Wednesday, 25 May 2011

Sukar bangun Subuh? Ini tips nya


DRP:SKJ

Oleh Ust Zuridan Al-Teminie

Sesungguhnya segala puji-pujian hanya layak bagi Allah Azza Wajalla, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Antara suasana yang membimbangkan berlaku kepada kebanyakan umat Islam pada hari ini ialah gejala meninggalkan solat Subuh dan meninggalkan solat Subuh berjamaah di Masjid. Meskipun diketahui bahawa mengerjakan solat Subuh khususnya di Masjid secara berjamaah mempunyai kelebihan yang besar di sisi Islam dalam menjana kekuatan Iman namun kini ramai yang mengabaikannya. Malah di kalangan mereka yang mendokong perjuangan Islampun ramai yang kalah untuk bangun awal mengerjakan solat Subuh di Masjid.

Keadaan ini adalah berpunca dari sikap suka berjaga lewat malam samada kerana melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bersukan, makan-makan dan berbual kosong dalam perkara yang tiada manfaat. Inilah yang selalunya menyebabkan umat Islam berjaga hingga lewat malam hingga menyebabkan mereka terlepas keberkatan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW di awal pagi. Jika kita lihat generasi umat Islam lampau mereka sangat mengambil berat soal tidur awal agar mereka dapat bangun lebih awal untuk melaksanakan ibadah dan seterusnya bekerja di awal pagi dengan perasaan yang segar dan sihat. Oleh kerana itulah kehidupan generasi lampau di kalangan datuk, nenek dan moyang kita sentiasa sihat dan bertenaga di siang hari. Jarang sekali kita dengar mereka ditimpa penyakit atau tekanan perasaan seperti yang berlaku pada ramai orang pada hari ini. Oleh kerana itulah Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Ertinya: “Ya Allah! Berkatilah ummat ku diwaktu paginya”. Hadis riwayat Ahmad
Bagi membantu sahabat-sahabat untuk bangun awal diwaktu pagi supaya dapat bertahajjud, solat sunat dua rakaat sebelum subuh dan solat subuh berjamaah di Masjid, di sini dinukilkan beberapa kaedah yang sedikit-sebanyak dapat membantu.
Kaedah membantu diri untuk mudah bangun pagi ialah:
1) Tidur awal:
Menjadi kebiasan mereka yang tidur awal akan bangun awal dan sebaliknya mereka yang tidur lewat akan bangun lewat. Oleh kerana itu adalah makruh hukumnya tidur sebelum solat Isyak dan berbual-bual kosong dan membuang masa selepasnya hingga menyebabkan tidur lewat. Namun begitu ada keadaan yang dikecualikan untuk tidur lewat sepertimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi dalam huraiannya kepada Sahih Muslim. Katanya: Sebab dimakruhkan berbual-bual selepas solat Isyak ialah yang membawa kepada berjaga malam dan dibimbangi akan menyebabkan tertidur nyenyak hingga tertinggal qiamullail atau terlepas solat Subuh pada waktunya atau waktu yang afdhalnya dan adalah makruh berbual-bual selepas solat Isyak iaitu dalam perkara-perkara yang tiada kemaslahatan, adapun sekiranya pada perkara yang ada maslahat dan kebaikan maka tidaklah makruh, seperti mempelajari ilmu, membicarakan kisah orang-orang soleh, berbual dengan tetamu, berbual dengan dengan ahli keluarga bagi mengeratkan hubungan dan menunaikan keperluan mereka, berbual dengan orang musafir bagi menjaga harta dan diri mereka, berbual dalam urusan mendamaikan antara manusia dan membantu mereka dalam perkara kebaikan, menyeru kepada kebaiakan dan mencegah kemungkaran, menunjukkan kepada kemaslahatan dan yang seumpamanya, semua itu tidaklah termasuk dalam perkara makruh”.
Bagi seorang Muslim yang perihatin dia berjaga malam adalah kerana aktiviti perjuangan dan ibadah dan bukannya kerana perbuatan lagho, dan jika sekiranya dia lewat tidurpun dia tetap berusaha dan memastikan bangun awal untuk ke Masjid solat berjamaah subuh.
2) Memelihara adab tidur:
Kunci kedua untuk mudah bangun di waktu subuh ialah memelihara amalan sunnah ketika tidur di waktu malam. Iaitu dengan berwudhuk, ketika di atas pembaringan duduk sambil menghimpunkan kedua-dua belah telapak tangan dan meniupkan ke atasnya selepas membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas kemudian di sapu keseluruh badan dan tidur dengan membaca doa sebelum tidur. Bagi mereka yang sukar bangun pagi, hendaklah memohon bantuan daripada ahli keluarga, kawan atau jiran bagi membantu menggerakkannya untuk bangun di awal pagi atau menyediakan jam loceng. Bagi mereka yang sudah terbiasa bangun awal di waktu subuh selalunya tidak menjadi masalah untuk bangun awal kerana secara fitrah dia akan bangun pada masanya dan tidak perlu kepada faktor luaran untuk menggerakkannya kerana seolah-olah ia sentias dibantu oleh para Malaikat untuk bangun awal.
Kemudian setelah terjaga hendaklah membaca doa dan janganlah sekali-kali meneruskan tidur kerana ia akan membawa kepada terjaga lewat.
3) Memenuhkan dada dengan Iman dan ‘amal soleh:
Keimanan yang kuat adalah merupakan pendorong utama bagi seseorang melakukan sesuatu yang sukar. Mengerjakan qiamullail dan solat Subuh di Masjid adalah suatu amalan yang sukar dan ia tidak dapat dilakukan kecuali oleh mereka yang benar-benar yakin kepada janji kebaikan daripada Allah Taala. Justeru bagi meningkatkan keimanan dalam dada, seseorang itu hendaklah menambahkan amalannya dengan banyak melakukan kebaikan, kerana dengannya hati seseorang itu akan menjadi suci dan bersih yang memudahkan untuk suburnya Iman. Sebaliknya hati yang kotor akan menjadi keras dan kekerasan hati adalah menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk melakukan amal ibadah yang sukar seperti solat Subuh berjamaah di Masjid dan qiamullail. Hati boleh menjadi keras kerana dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub dan riak atau disebabkan makan dari sumber yang tidak halal.
4) Menjauhi perbuatan maksiat:
Maksiat adalah penghalang bangun solat Subuh dan mengerjakannya di Masjid. Justeru hendaklah kita sentiasa menjauhi segala maksiat. Seperti yang berpunca daripada mata iaitu melihat perkara yang haram seperti melihat aurat wanita, samada melalui televisyen ataupun internet. Juga yang berpunca dari lidah iaitu perbuatan mengata orang, mengeji, mengumpat dan menabur fitnah. Juga yang berpunca dari telinga seperti mendengar hiburan-hiburan haram dan umpatan serta fitnah. Mereka yang melakukan maksiat selalunya sukar untuk bangun solat Subuh atau ke Masjid kerana ia melemahkan naluri beramal soleh dan menghakis keyakinan kepada janji-janji kebaikan daripada Allah Taala. Mata, lidah dan telinga sepatutnya digunakan bagi melihat, membaca dan mendengar perkara kebaikan seperti al-Quran, al-Hadis, ceramah dan lain-lain.
5) Mengetahui kelebihan solat Subuh dan fadhilat mengerjakannya di Masjid
Hendaklah mengetahui kelebihan dan keistimewaan amalan solat subuh dan mengerjakannya di Masjid kerana dengan mengetahuinya barulah seseorang itu terdorong untuk berlumba melakukannya. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
Ertinya: Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secra berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. Hadis riwayat Imam Muslim.
Ibnu Mas ‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur di malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:
ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنِهِ أَوْ أُذُنَيْهِ
Ertinya: Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya (atau kedua telinga). Hadis riwayat Imam Al-Bukhari.
Menurut Imam Al-Qurtubi kencing syaitan adalah kencing yang hakiki dan bukan hanya simbolik. Sebab itu ada kalanya kita boleh kenal mereka yang tidak solat Subuh kerana wajahnya yang suram akibat dari kencing syaitan, berbeza dengan merek yang bangun solat Subuh di awal pagi.
Kebesaran dan keagungan solat Subuh berjamaah di Masjid hendaklah dimasukkan ke dalam hati kerana ia akan menangkis bisikan syaitan yang selalu membisikkan rasa ringan meninggalkannya. Bagi para ulama dan ustaz pula hendaklah menanamkan rasa malu dan bersalah yang amat sangat jika tidak hadir solat Subuh berjamaah kerana dia adalah contoh ikutan orang awam.
6) Mengetahui kesan meninggalkan solat subuh@solat berjamaah subuh.
Antara punca jiwa menjadi lemah dan hilangnya banyak daripada kelebihan agama dan dunia ialah bangun lewat dan meninggalkan fardhu subuh. Oleh kerana itulah syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda: ((Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata) : Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu iakatan, jika dia berwudhuk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas)). HR Al-Bukhari.
Waktu selepas solat Subuh adalah waktu yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan, justeru Nabi SAW memelihara waktu tersebut iaitu memenuhkannya dengan zikir dan baginda selalunya selepas subuh terus duduk sambil berzikir sehinggalah terbit matahari, dan kemudian baginda solat dua rakaat Dhuha.
Amalan ini menjadi ikutan para ulama salafussoleh, antaranya ialah Imam Ibnu Taimiyyah yang turut melakukan amalan duduk berzikir selepas solat Subuh sehingga terbit matahari sepertimana yang dikhabarkan oleh muridnya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.
Waktu selepas solat Subuh adalah saat banyaknya kebaikan dan keberkatan, kerana itulah Nabi SAW berdoa:
((اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا))
Maksudnya: Ya Allah berkatilah ummatku di waktu pagi! HR Al-Tirmizi.
Oleh sebab itu kita lihat mereka yang berjaya dalam urusan dunia mereka seperti berniaga, menternak atau bertani memulakan kerja mereka di awal pagi kerana rezki terbuka luas di waktu tersebut. Begitulah juga dalam urusan akhirat waktu pagi adalah saat yang paling baik menambahkan amal ibadah. Oleh itu mereka yang mengsia-siakan waktu tersebut dengan tidur atau berehat-rehat sahaja sebenarnya telah mendapat kerugian dalam hidup mereka.
Di samping kelebihan dalam kerja dan ibadah, mereka yang bangun awal juga mendapat kebaikan dari sudut kesihatan kerana udara yang dihirup di waktu subuh adalah udara yang segar dan akan hilang kesegarannya apabila terbitnya matahari. Kesegaran udara di waktu pagi ini akan mencerdaskan otak, mendamaikan jiwa dan mencergasan fizikal.
7) Menjauhi sifat-sifat munafiq.
Kehadiran diri ke Masjid di waktu subuh adalah merupakan bukti kekuatan iman seseorang Muslim dan bebasnya diri dari sifat minafiq kerana ia adalah waktu paling sukar untuk melaksanakan ketaatan. Rasulullah SAW bersabda:
((إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلَاةَ عَلَى المـُـنَافِقِيْنَ صَلَاةُالعِشَاءِ وَالفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُوْنَ مَا فِيْهِمَا لَأَتَوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا))
Maksudnya: (( Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak)) HR Al-Bukhari dan Muslim.
Abdullah bin Mas ‘ud r.a berkata: “Engkau telah melihat kami dan tidak meninggalkannya (solat Subuh) melainkan munafiq yang dimaklumi sifat nifaqnya”. Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasai dan Ibnu Majah.
Ibnu Umar r.a pula berkata: “Apabila kami dapati ada lelaki yang tidak hadir solat (di Masjid) pada waktu fajar (Subuh) dan Isyak kami akan berburuk sangka terhadapnya”. Riwayat Al-Bazzar, Al-Tobrani dan Ibnu Khuzaimah.
Oleh itu jika anda mahu mengukur secara zahir iman seseorang maka ia boleh diukur dengan keadaan solat Subuhnya. Jika dia seorang yang sangat memelihara solat Subuh dan melaksanakannya secara berjamaah di Masjid maka ia menjadi bukti kepada kekuatan imannya. Namun jika sebaliknya, dia sangat malas berjamaah di Masjid waktu subuh maka itu adalah petanda imannya yang bermasalah serta kekerasan hatinya. Ia juga menunjukkan ketundukannya kepada hawa nafsu dan kekalahannya kepada bisikan syaitan. Seseorang yang mampu bangun untuk pergi berjamaah di waktu Subuh adalah bukti kekuatan iman seseorang kerana dia telah menang dalam peperangan dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan supaya terus tidur.
Bagi mereka yang terus tidur, apakah mereka berasa lebih seronok diulit mimpi di atas katil sedangkan ahli jamaah yang lain sedang beribadah dan mendengar bacaan Al-Quran di dalam solat di Masjid. Adalah menjadi satu kerugian yang besar bagi mereka yang tidak merasakan apa-apa kekurangan pada diri mereka sedangkan mereka terus jauh dari rahmat Allah Taala di waktu pagi.

KENAPA BERDAKWAH?

Saya sering ditanya oleh adik-adik di kampus tentang dakwah, tentang jamaah, tentang kaedah memilih badan yang ingin disertai… dengan pelbagai format pertanyaan.

Namun, adik-adik di kampus perlu berhenti sejenak dan menapak selangkah ke belakang. Jawab dahulu soalan yang paling penting, MENGAPA MAHU BERDAKWAH? Jawab dahulu soalan ini, sebelum pergi kepada soal organisasi dan jamaah.


Ada orang mengambil keputusan untuk berdakwah, kerana persekitarannya penuh kerosakan dan maksiat. Pengikut aliran Nafsu Nafsi semakin tinggi, mengatasi pendukung Salafi Khalafi. Ketika segelintir rancak berbincang tentang kaedah melahirkan da’ie, siswi melahirkan anak luar nikah lebih meninggi. Sesuatu mesti dilakukan, lantas keputusan diambil, saya mesti berdakwah.

Salahkah pemikiran seperti ini? Tentu tidak salah, tetapi ada kekurangannya di situ…

Ada segelintir yang mengambil keputusan untuk berdakwah kerana hasil ilmu dan pengetahuannya, dia mendapat tahu bahawa dakwah itu wajib. Kewajipan dakwah itu sangat rasional. Fathi Yakan di dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam menegaskan tiga sudut yang membawa kepada kewajipan dakwah. Himpunan ayat al-Quran dan al-Hadith tentang kewajipan dakwah, sudah pun dihadam di dalam pelbagai siri usrah dan seminar. Dakwah itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan.

Apakah salah berpemikiran sebegini? Tentu sekali pemikiran ini adalah pemikiran yang lurus dan benar tentang dakwah. Tetapi di sana ada sesuatu yang kurang. Kurang itu mungkin tidak muncul semasa kita di kampus. Ia datang kemudian…

Sama ada kita mengambil keputusan untuk berdakwah kerana persekitaran, atau kerana sedar akan kewajipan dakwah, kedua-dua motif dakwah ini letaknya di luar. Ia datang dari luar ke dalam diri. Apabila ia datang dari luar ke dalam, kita bergerak di medan dakwah hasil dorongan luar diri.

“Apa nak jadi dengan masyarakat di kampus kita, kalau kita tidak berdakwah”, pesan seorang naqib kepada anak buahnya.

“Takkanlah aku nak malas-malas dan mengabaikan dakwah. Ini bukan cakap naqib aku, tapi Allah yang cakap, Nabi yang cakap”, monolog seorang siswa yang baru menerima panggilan telefon memanggilnya hadir ke mesyuarat Program Minggu Dakwah tidak lama lagi.

Ya, mata melihat kemungkaran. Otak tunduk kepada rasional dalil wajib dakwah. Tetapi sudahkah HATI merasainya?

TAHU DAN MAHU

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.

Sudah berkali-kali saya cuba buktikan, bahawa manusia tidak bertindak hanya berasaskan apa yang dirinya TAHU. Manusia bertindak berasaskan apa yang dia MAHU, dan mahu itu adalah soal hati.

Bagaimanakah apa yang kita TAHU tentang dakwah itu boleh dikesan telah terserap ke dalam hati menjadi MAHU? Jawapannya tidak sukar, pada jalan dakwah itu kita mendapat KEPUASAN hidup.

Bekas peserta kursus saya (rujuk artikel Apa Tajuk Bab 1 Dakwah Anda), mengatakan bahawa beliau bersyukur dapat hadir ke kursus tersebut dan merasa rugi di pihak kawan-kawannya yang tidak hadir. Dalam keadaan baju masih dedah sana sini, dan lidah masih bertindik, beliau berkata, “saya mahu sampaikan apa yang saya dapat dalam kursus ini kepada kawan-kawan saya!”

Tidakkah beliau sudah menerima konsep dakwah? Hatinya sudah mahu, sebelum akalnya tahu…

ANALOGI 3 PEKERJA

Analogikan sahaja kepada 3 pekerja. Pekerja pertama merampus-rampus dan merungut semasa mengecat dinding kerana tertekan dengan kerjanya itu. Pekerja kedua lebih tenang dan gembira mengecat dinding kerana dia tahu, kerjanya itulah nanti yang bakal menjadi gaji. Bekerja untuk menerima imbuhan. Manakala pekerja ketiga sangat gembira dan mendapat kepuasan kerja, sebelum gaji diterima, kerana padanya perbuatan mengecat dinding bukan sekadar sebahagian kerja menyiapkan bangunan, tetapi beliau menganggap dirinya sebagai sebahagian dari kebahagiaan keluarga yang bakal duduk di rumah itu. Bukan hanya cat, tetapi yang disalut pada rumah itu adalah sebuah harapan agar ahli rumah itu nanti bahagia.

Anda pendakwah kategori mana?

Semasa berdepan dengan mesyuarat dan tekanan kerja dakwah, adakah anda merampus dan merungut-rungut? Bandingkan sahaja diri seperti ini dengan pengecat pertama. Buat sesuatu kerana terpaksa, tiada matlamat, dan penuh rungutan.

Atau anda gembira dengan dakwah di kampus? Gembira kerana penglibatan anda bakal dikira di dalam jam kredit, dan boleh dimasukkan di dalam resume? Setiap kali di awal program, nama anda akan dialu-alukan oleh penceramah? Dapat berdamping dengan orang besar-besar yang datang? Dapat kawan?

Macam-macam kita boleh dapat melalui kerja dakwah. Hati gembira apabila berdakwah untuk MENERIMA.

Dakwah kategori ini, tarafnya hanya sekadar ko kurikulum. Aktiviti persatuan. Makna dakwah yang dilakukannya kepada sebuah kehidupan, tidak begitu difikirkan. Semasa miskin jam kredit dan semasa baru berkenalan dengan ‘pengaruh’, mungkin dorongan berdakwah untuk menerima sudah cukup kuat untuk mengajak kita turun ke medan dakwah.

Tetapi jika anda berdakwah di kategori ketiga, anda berdakwah untuk mencari makna hidup. Dakwah bukan semata-mata untuk menerima pengiktirafan kampus, tetapi dakwah anda adalah untuk memberikan makna kepada diri dan rakan. Setelah diri merasa begitu bertuah terpilih menerima sentuhan Iman, terasa dalam diri untuk berkongsi tuah itu dengan saudara yang lain.

Dakwah anda bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!

Akhirnya pendakwah ketiga, berdakwah kerana pada dakwah itulah dia bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah dia memberi makna kepada hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran).

Dakwah ini adalah dakwah dalam ke luar. Bukan lagi dakwah luar ke dalam. Dakwah ini adalah dakwah untuk memberi, bukan sekadar menghitung terima.

Kenapa soal ini penting?

DUNIA KERJAYA DAN RUMAHTANGGA

Apabila adik-adik di kampus terjun ke medan kerjaya dan berumahtangga, mereka yang dahulunya aktif berdakwah akan kecundang satu demi satu.

Mereka kecundang bukan kerana fikiran telah berubah.

Dulu saya yakin dakwah itu wajib, tetapi kini di alam kerja dan rumahtangga, saya berjumpa dengan wajib yang lebih besar dan tinggi. Tidak ramai yang ‘gugur’ kerana berfikir begini.

Mereka kecundang bukan kerana suasana persekitaran sudah kekurangan maksiat dan sebab dakwah. Malah maksiat makin banyak, makin menggila. Tetapi lagi banyak maksiat bertebaran, makin kurang pendakwah yang bertahan.

Gugurnya da’ie dari jalan dakwah bukan kerana itu semua.

Gugur itu hanya kerana 5 huruf yang sakti.

S.I.B.U.K.

Ya, jika sibuk dijadikan alasan, tidak akan ada sesiapa pun yang berani membantah. Jika dahulu kita sendiri, kini sudah bersuami atau beristeri. Anak-anak bakal menyusul. Dulu satu ibu dan satu bapa, satu keluarga dan satu saudara mara. Kini semua berganda dua. Hujung minggu hanya sehari atau dua.

Tanpa disedari, sudah setahun tidak berusrah. Sudah setahun tidak berceramah, sudah setahun bercuti dari dakwah. Salahkah bercuti dari dakwah? Akal mungkin berkata ya, tetapi hati sedap menikmatinya.

Jika dahulu, makna hidup dicari pada kawan yang mad’u dan diri yang da’ie, tetapi kini makna hidup beralih pada kerjaya, pada rumah tangga, pada semua selain dakwah.

BAGAIMANA MENGATASINYA?

Bagaimanakah adik-adik boleh selamat dan terkecuali dari fenomena warisan ini?

Saya sendiri masih bertarung, selagi nyawa dikandung tubuh.

Tetapi saya percaya, saya berdakwah bukan untuk menerima, tetapi kerana mahu memberi. Dan pada memberi itu, saya meng’erti’kan hidup, lantas terasa berbaloi mengorbankan Sabtu dan Ahad demi Sabtu dan Ahad, meninggalkan anak sendiri untuk bertemu anak orang lain, demi erti hidup yang pada MEMBERI.

Kerana itulah saya masih terus bertahan, walaupun dalam seribu kepayahan.

“Kenapa mahu berdakwah?”, tanyalah kepada diri.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com