oleh : BayangDiAir
Amat mendukacitakan apabila para ustaz pondok mengucapkan kepada pelajar pondoknya, ‘kalau mahu belajar, belajar ; kalau tidak minat, balik”. Ada pondok yang tidak menghiraukan pelajarnya hadir atau tidak. Pelajar yang rajin akan sentiasa memenuhi ruang kehadiran. Pelajar yang malas dan letih pula akan menghadiri kelas wajib dan kelas-kelas tertentu sahaja. Ketahuilah bahawa pelajar masuk ke sekolah pondok atas beberapa keadaan. Ada kerana minat sendiri. Ada kerana kemahuan ibu bapa. Ada kerana malas belajar di sekolah biasa yang sarat dengan akademik. Dan ada kerana masalah akhlak yang kronik lalu ibu bapa lebih berbahagia sekiranya anaknya menjadi insan yang soleh dan berakhlak mulia.
Masalahnya ialah tuan-puan silap sekiranya beranggapan bahawa akhlak anak tuan-puan akan ditangani secara serius dan berfokus di sekolah pondok. Di sekolah harian biasa, ada unit kaunseling. Unit ini tidak ada di pondok. Jadi, ibu bapa jangan harap bahawa anak mereka ‘ dibaiki ‘ oleh ustaz-ustaz pondok. Ustaz-ustaz akan hanya mengajar kitab. Adalah sedikit selitan nasihat, teguran dan tindakan. Ada ustaz pondok berkata, “encik tak mampu jaga anak encik seorang, saya ada berpuluh-puluh pelajar lain untuk diuruskan.”
Di negara kita ada sistem pondok dan Maahad Tahfiz. Kedua-duanya tidak menjalankan fungsi khusus untuk mengatasi ledakan gejala sosial dalam kalangan remaja. Sistem pondok lebih menumpukan kepada menelaah kitab-kitab dan fardu ain. Bimbingan akhlak cuma diberi dalam bentuk kuliah umum. Manakala Maahad Tahfiz lebih berfokus kepada hafazan al-Quran.
Ada pondok dan maahad tahfiz mensyaratkan pelajar yang hendak masuk mesti ada kemahuan, tidak disingkirkan oleh mana-mana institusi dan berakhlak mulia. Jelas bahawa anak tuan-puan yang bermasalah dan terlibat dalam gelaja sosial tidak dialu-alukan agar tidak menjadi ‘pengacau’ dalam pondok. Ada tujuan pondok dan maahad tahfiz membuat syarat begitu. Antaranya bertujuan menjaga nama baik masing-masing. Adakah pondok tidak betul? Itu terpulanglah pada pandangan masing-masing.
Kini gejala social makin bertambah. Anak-anak remaja ramai yang terlibat dalam masalah kronik seperti menderhaka kepada kedua ibu bapa, pergaulan bebas lelaki-perempuan, penzinaan, merokok , alkohol, rempit, tidak solat dan sebagainya. Mereka tiada berminat untuk belajar. Kalau belajar pun, tidak guna kalau sudah sesat dalam beragama. Tiada tempat untuk mereka ini di maahad tahfiz. Tiada ruang untuk mereka di sekolah pondok. Satu tempat yang khusus perlu diwujudkan untuk mereka. Kerajaan, NGO, badan-badan amal dan para lepasan agama yang berminat untuk mendirikan pondok disarankan mengadakan pondok tarbiyah khusus untuk menjernihkan remaja dengan akhlak yang mulia dan amalan agama.
Apakah bezanya pondok tarbiyah ini? Pondok tarbiyah perlu memberi fokus khusus untuk pemulihan akidah dan akhlak. Bentukkan unit kaunseling Islam atau bimbingan sentuhan nurani. Di samping itu, adaptasi mana-mana sukatan sistem pondok dan maahad tahfiz yang sesuai sebagai ko-agenda . Antaranya, pengajian al-Quran dan hafazan, asas-asas kemahiran hidup serta pelajaran akademik yang penting iaitu Bahasa dan Matematik bagi pondok yang mampu melakukannya. Sekurang-kurang selepas keluar daripada pondok tarbiyah, para remaja ini terus mempunyai kemahiran dan keupayaan 4M iaitu membaca-menulis-mengira- menaakul. Ini memudahkan mereka menceburi lapangan yang sesuai apabila berada dalam masyarakat nanti.
Kesimpulannya, idea ini mungkin ada cacat-celanya. Namun pihak-pihak berkenaan tadi perlulah mengolah idea asas ini berdasarkan kemampuan masing-masing. Yang penting, pihak kerajaan, badan amal, para lepasan agama dan sesiapa sahaja yang berminat dalam kerja amal usaha dakwah, mestilah menyedari bahawa institusi pemurnian akhlak dan tarbiyah amat diperlukan sekarang sebelum gejala sosial menjadi semakin parah dan tidak terubat lagi. Lakukanlah sesuatu. Namun alangkah baik sekiranya maahad tahfiz dan sekolah pondok yang sedia ada membuka cabang pemurniaan akhlak dan akidah ini. Mereka sudah mempunyai tapak, infrastruktur, tenaga pengajar dan segala kelengkapan. Mereka mampu melakukannya jika mahu. Sebagai penutup, apa kata kalau PAS mengambil tanggungjawab ini?
No comments:
Post a Comment