KUALA LUMPUR: Sebuah kapal misi bantuan kemanusiaan yang ditaja Malaysia untuk rakyat Palestin di Gaza, Palestin, dihalang dua bot tentera laut Israel yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah, awal pagi Isnin waktu Malaysia.
Semua 12 penumpang dan kru, termasuk dua wartawan Malaysia, selamat selepas tentera laut Mesir datang membantu dan mengiringi kapal ‘MV Finch’ ke pelabuhan Al Arish di Mesir, menurut wartawan Bernama, Mohd Faizal Hassan yang berada di atas kapal itu.
Faizal berkata, tentera Israel mengelilingi kapal misi bantuan itu dan mengarahkannya berpatah balik sebelum melepaskan tembakan amaran ke udara, kira-kira tiga batu nautikal berhampiran sempadan Rafah.
Dia menceritakan detik cemas itu ketika menghubungi bilik berita Bernama di sini, melalui panggilan dan SMS menggunakan telefon bimbit dari kapal berkenaan beberapa jam selepas kejadian itu.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 6.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia) apabila kapal yang ditaja Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) dihampiri dua bot tentera laut Israel yang mengelilingi kapal MV Finch selama setengah jam sebelum melepaskan empat das tembakan ke udara menggunakan mesingan.
Katanya, satu daripada tembakan itu hampir mengenai kru kapal rakyat Malaysia, Mohd Jaffery Ariffin, menyebabkan semua di atas kapal menjadi cemas dan menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam kapal.
“Mereka mengarahkan kami berpatah balik ke perairan Mesir. Kami dapat menghubungi tentera Mesir melalui radio untuk mendapatkan bantuan. Sebuah kapal tentera Mesir datang dan bot tentera Israel kemudian beredar dari kawasan berkenaan,” kata Faizal. Daripada 12 orang dalam kapal itu, tujuh rakyat Malaysia manakala yang lain dua kru warga India dan tiga aktivis kemanusiaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland dan Julie Levesque dari Kanada.
Faizal berkata, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang antarabangsa kerana melepaskan tembakan kepada orang awam yang tidak bersenjata.
“Tentera laut Israel menggunakan peluru jenis .50mm antipesawat,” katanya. Faizal berkata, wartawan New Straits Times (NST), Alang Bendahara sempat merakam video tindakan kejam Israel itu terhadap mereka.
Menurutnya, selepas tentera Israel melepaskan tembakan pertama, Kapten Jalil Mansor yang mengemudi kapal itu memberitahu tentera Israel melalui radio.
Kapten Jalil: “Ini menyalahi undang-undang terhadap orang awam yang tidak bersenjata.” Tentera Israel: “Ini tembakan amaran. Berpatah balik!” Kapten Jalil: “Kami orang awam yang tidak bersenjata dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.” Tentera Israel: “Ini ialah zon tentera tertutup. Ia adalah satu pencabulan. Berpatah balik!“ Kapten Jalil: “Kami akan teruskan (misi).” Kemudian tentera Israel menuju ke bahagian belakang kapal misi dan melepaskan tembakan amaran kedua ke udara. Derek Graham: “Ini melanggar undang-undang antarabangsa. Kami dalam misi keamanan dan tidak bersenjata.” Tentera Israel: “Berpatah balik! Kami akan lepaskan tembakan lagi.” Derek Graham: “Kamu tembak orang awam yang tidak bersenjata.” Tentera Israel: “Kami tidak tembak orang awam yang tidak bersenjata.” Derek Graham: “Seperti tembak ke arah kami.” Tentera Israel: “Kami tidak lepaskan tembakan ke arah kamu. Kami cuma lepaskan tembakan amaran.” Selepas itu, tentera Israel melepaskan dua lagi tembakan amaran dan mengugut: “Lain kali, kami akan mendarat di atas kapal kamu.” Kemudian kedengaran di radio, tentera Mesir memberitahu tentera Israel: “Hentikan tembakan. Mereka berada di perairan Mesir.” Kapal misi bantuan itu berlepas dari Greece petang Selasa waktu Malaysia memasuki Mediterranean menuju ke Gaza, membawa muatan paip PVC sepanjang 7.5 kilometer untuk membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.
Drp:SKJ
No comments:
Post a Comment