Thursday, 5 May 2011

1Malaysia dan 1Bumi 1Melayu: Satu Kontradiksi Terancang


   -oleh BayangDiAir

PM mencanangkan 1Malaysia. Motifnya untuk menarik sokongan dan undi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Dengan retorika yang merdu ini, diharapkan dapat melunakkan hati kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya agar meyakini keterbukaan, kesaksamaan dan keadilan kerajaan BN. Di hujung terowong nanti, diharapkan ada cahaya untuk BN mendapat undi yang lebih baik berbanding PRU12 melalui sokongan semua bangsa di bawah 1Malaysia. Mantera 1Malaysia dijampiserapah demi menjamin BN  terus berkuasa di Putrajaya.

Utusan Malaysia pula melontarkan batu ( bukan idea) yang bernama 1Bumi 1Melayu. Motifnya pula untuk mendapat sokongan dan undi berganda daripada bangsa Melayu untuk tuannya. Melayu akan mudah teruja dengan slogan-slogan yang menunjukkan ketuanan Melayu. Maka pihak yang mendapat keuntungannya ialah UMNO, parti ketuanan dalam BN.
Kelihatan dua slogan itu kontradik. Pihak yang menyokong 1Malaysia tidak menyokong 1Bumi 1Melayu. Namun itulah kontradiksi terancang. Ini yang perlu disedari oleh rakyat. berpandukan beberapa petunjuk yang menjadi satu ‘trend’ UMNO pada hari ini.

Pertama, tertubuhnya PERKASA bertujuan untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Orang Melayu tertarik dengan perjuangannya. Justeru orang Melayu semakin kuat semangat ke-Melayu-annya. Semangat ini begitu pantas merebak hingga ke kawasan Felda dan luar bandar. Fenomena ini menguntungkan UMNO. Siri pilihanraya kecil kemudiannya memperlihatkan sedikit sebanyak parti pembangkang sukar menawan undi mereka. Di beberapa tempat, undi orang Melayu untuk UMNO/BN semakin menokok.

UMNO menolak PERKASA agar bangsa bukan Melayu tidak menolaknya secara total. Ini lakonannya. PERKASA bukan UMNO tetapi keahlian PERKASA dan para pemimpinnya didominasi oleh orang-orang kuat UMNO. UMNO main wayang dengan bukan Melayu. UMNO ‘marah-marah’  akan PERKASA  agar lakonannya tidak dikesan secara ketara oleh bukan Melayu. Harapan UMNO ialah mereka terus mendapat undi penentu daripada kaum Cina, India dan sebagainya dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan sokongan dan undi Melayu. Dengan itu, kerusi  UMNO akan berganda dalam PRU13 nanti. Kerusi yang terlepas kepada PAS dan PKR akan dapat ditawan kembali.

Kedua, UMNO menafikan mereka terlibat dalam isu video seks yang memfitnah DS Anwar Ibrahim. Mereka mendakwa itu urusan Datuk T. Tidak ada kena-mengena dengan mereka. Mereka tidak mahu rakyat melibatkan UMNO dengan kes itu. Biarlah Datuk T dengan  DS Anwar Ibrahim sahaja menguruskannya. Dalam kes ini, UMNO mahu menjaga namanya sekiranya terbukti nanti konspirasi itu tidak menjadi. UMNO mahu kekal nama baik yang sebenarnya telah rosak di mata rakyat yang celik. Mereka boleh cuci tangan. Namun, riak gelombang isunya jelas menguntungkan UMNO yang mengatakan mereka tidak terlibat tadi. Orang Melayu yang mendokong UMNO semakin benci akan DS Anwar Ibrahim. Sekurang-kurangnya orang Melayu atas pagar semakin prejudis terhadap beliau. Mereka akan menolak DSAI dan perjuangannya. Mereka akan tolak PKR dan seterusnya menolak sekutu-sekutu dalam Pakatan Rakyat. UMNO yang untung lagi.

Seterusnya bukti ketiga, kini, apabila Utusan Malaysia membawa mesej 1Bumi 1Melayu, UMNO dan pemimpin mereka tolak lagi, nafi lagi, berlakon lagi. 1Bumi 1Melayu sudah pasti mempertajamkan lagi sokongan orang Melayu terhadap parti yang berjuang atas dasar asobiyah Melayu.  Semakin hampir dengan PRU13, perjuangan asobiyah Melayu makin disemarakkan agar momentumnya sampai ke klimaks tepat pada masanya. Pihak yang mengaku ‘bukan UMNO’ akan menanam di jiwa Melayu slogan 1Bumi, 1Melayu ini.  UMNO/BN tetap dengan 1Malaysia-nya. UMNO/BN terus meraih sokongan dan undi pelbagai kaum. Dan UMNO jugalah terus menokok undi Melayu.

Pada masa mendatang, akan ada lagi trend penafian UMNO ini. Kontradiksi yang terancang ini akan terus diwayangkan kepada rakyat sehinggalah PRU13. Ya UMNO tidak terlibat dalam semua perkara yang membusuk dalam negara namun yang untungnya tetap UMNO. Ceritanya samalah seperti penjenayah yang membuka bengkel tarik dan baiki kereta. Malam-malam curah minyak atas jalan raya dekat selekoh tajam. Esok lima enam buah kereta masuk parit. Penjenayah tadi pun datang membantu untuk menyelesaikan masalah tuan kereta. Kereta pun ditarik ke bengkel mereka. Penjenayah tadi bermanis muka dengan tuan kereta. Duit masuk ribu-ribu. Tuan kereta memuji kebaikan tuan punya bengkel kereta kerena muka dan mulut manis tadi. Hakikatnya, Allah sahaja yang tahu. Begitu analogi yang sesuai untuk mereka yang mendakwa menolak PERKASA, menolak penglibatan dalam isu video seks dan menolak 1Bumi 1Melayu. Ya, hanya Allah sahaja Yang Maha Tahu. 

No comments:

Post a Comment