-oleh BayangDiAir
Ana bercakap untuk diri Ana tentang dosa Ana tidak khusyuk solat. Cakap untuk diri sendiri tak perlu masuk internet. Ana cuma beri peluang kepada pengunjung maya untuk berkongsi rasa berdosa kepada Allah sekiranya kita dari kalangan yang sama.
Rasa berdosa ini timbul sudah lama. Sejak Ana terbaca hadis yang mana kita diberitahu bahawa bahagian solat yang khusyuk diterima Allah bagai kain putih bersih manakala bahagian yang tak khusyuk umpama kain buruk yang dilempar kembali ke muka kita.
Rasa gerun dan menyesal bercampur-aduk. Maklumlah solat Ana sentiasa berseling-seli antara khusyuk dan tidak. Ada waktu khusyuknya sehingga 70%. Ada ketikanya cuma khusyuk 30%. Selebihnya ialah bahagian yang tidak khusyuk. Maka apalah nasib Ana dan solat Ana bagi peratusan bahagian yang tidak khusyuk itu?
Ana merasa dukacita dan takut kepada Allah kerana Ana nampak (secara berfikiran projektif) di alam barzakh atau di akhirat kelak tayangan solat Ana oleh Allah s.w.t. Tentulah Allah tunjukkan bahagian-bahagian solat yang tidak khusyuk itu. Tentulah Allah murka. Dan balasan bagi orang yang dimurkai Allah, kita tahulah sendiri. Di akhirat pula tu. Bukan boleh menyesal lagi dan nak balik ke alam dunia kerana nak baiki semula amalan solat yang rosak itu.
Kadang-kadang kita cuma rajin solat sehingga solat sunat kita buat - apa lagi solat sunat rawatib. Hati kita gembira dan tenang kerana banyak melakukan solat sunat. Tetapi petunjuk Allah datang menyedarkan Ana. “Teruskan dengan solat-solat sunat tetapi baiki khusyuk dalam solatmu,” bisik hati Ana. Itulah maksud Ana hidayah Allah. Allah beri peluang Ana berfikir.
Inilah yang Ana hendak luahkan dan mungkin dikongsi bersama oleh sahabat. Tulisan itu dakwah. Kalau tulisan itu bukan medan dakwah, memadai Ana pendamkan sendiri di dalam hati sambil Ana baiki solat Ana sendiri. Demikianlah.
No comments:
Post a Comment