Thursday 27 October 2011

Jangan Bersalam Melainkan Saudara Ubah Cara Bersalam Saudara

- oleh BayangDiAir

Saudara,
Tapak tangan saudara umpama kulit ikan yang telah mati. Rasa genggamannya begitu longgar bagai mahu tak mahu bersalam denganku. Aku tidak merasa apa-apa aura apabila bersalam dengan saudara. Tangan kita bersentuh sesaat cuma. Apa yang saudara ingin berikan padaku melalui jabatan tangan saudara. Cuba saudara fikirkan.

Saudara,
Wajah saudara umpama keldai yang tak tahu senyum. Ada ketika aku rasa bersalam dengan wajah serigala. Aku jadi  keliru. Wajah-wajah yang aku ingin mesrai begitu kosong dan menghampakan. Kalau demikian, apa gunanya saudara bersusah-payah menyambut salamku. Dan mengapa aku bersusah-payah di dalam saf ini untuk menghulurkan tangan untuk merasai kulit ikan mati dan wajah keladai saudara.

Pandangan mata saudara umpama mata ikan sepat yang amat cetek renungannya sedangkan yang aku harapkan ialah renungan mesra yang meresap ke dalam hati. Kekadang saudara hanya menghulur tangan sedang mata dan wajah saudara melilau ke arah lain. Saudara, sedarkah saudara bahawa aku sedang menggenggan erat tangan saudara dengan renungan menjalin ukhwah?

Saudara,
Bukankah kita ahli jemaah yang sama-sama mengimarahkan masjid?  Mengapakah kita jadi begitu jauh dalam erti ukhwah? Mengapakah kita menjadi begitu kurang mengamalkan adab apabila bersalam? Sedangkan baru tadi kita sama-sama solat berjamaah, sama-sama mengaminkan doa untuk keselamatan semua muslimin dan muslimat, mengapa dalam mengakhiri detik kita berada di masjid ini, kita burukkan salam perpisahan kita sebagai saudara seagama, saudara sejamaah?

Saudara,
Aku tak mengharapkan dakapan erat dalam waktu bersalam yang singkat ini. Cukuplah seandainya saudara menggenggam erat tanganku, menatap wajahku dengan penuh kemesraan dan memberi sekuntum senyuman yang membawa erti besar kepadaku bahawa saudara menghargai jabatan tanganku dan menghargai kemesraan ukhwah daripadaku. Andaikata, itu saudara tidak bersedia untuk hadiahkan kepadaku, usahlah kita saling menghulurkan tangan sehinggalah ilmu dan iman dapat mengajar saudara cara bersalam menurut Islam.

No comments:

Post a Comment