Thursday 20 October 2011

Syukur Kerana Masih Ada Rasa Benci Pada Maksiat.

Bersurai dari menziarahi rumah terbuka di sebuah apartment, dalam perjalanan hendak ke tempat letak kenderaan, tiba-tiba anak saya hendak buang air kecil.  Terpaksalah saya bawa anak saya itu ke tandas berdekatan.  Paling dekat letaknya di tepi kolam renang.
Selesai anak saya buang air kecil, tiba-tiba ada seorang lelaki cina masuk ke dalam tandas dan menyalin pakaian di hadapan cermin.  Tak malu sungguh!  Hanya berseluar dalam sahaja dia berdiri di hadapan cermin.  Saya sengaja melambat-lambatkan anak saya yang sedang berada di dalam tandas.  Saya suruh dia basuh kaki, basuh tangan dan betul-betulkan seluarnya.
Apabila lelaki itu keluar, barulah saya dan anak saya keluar dari tandas tersebut.  Kelihatan lelaki tersebut dengan selamba berjalan ke arah kolam renang dengan berkeadaan hanya berseluar dalam dengan tualanya di pegang di tangannya.  Saya menarik tangan anak saya berjalan cepat-cepat agar dia tidak melihat apa yang saya lihat.
Astaghfirullah, datang rasa benci meluap-luap dengan ketidakmaluan lelaki tersebut yang ‘bertelanjang’ di khalayak ramai.  Bukan sahaja lelaki, malah kelihatan juga beberapa wanita yang hanya berbaju renang di dalam kolam renang tersebut.

Saya merenung berfikir tentang perasaan yang sedang saya alami.  Agaknya penduduk di apartment tersebut mungkin sudah biasa dengan situasi seperti itu, lalu tidak berasa apa-apa.  Sudah lali dengan suasana orang yang lalu-lalang dalam keadaan tidak berpakaian.  Sudah biasa melihat orang yang hanya berseluar dalam dan berpakaian renang.
Saya bersyukur kepada ALLAH kerana saya masih mempunyai perasaan benci terhadap perbuatan yang jelas melanggar batas syariah Islam itu.  Saya tidak tahu orang lain?  Terutama penduduk yang terpaksa melihat itu semua saban minggu.  Mungkin akibat sudah biasa, maka benci sudah pudar.  Dan hati sudah tidak peka lagi.  Semoga ALLAH memelihara iman mereka dan saya.

Dalam berdebar dan kecewa, saya memanjatkan doa kepada ALLAH agar DIA memelihara saya sekeluarga.  Agar saya tidak hidup dalam lingkungan manusia-manusia yang biasa melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.  Saya takut rasa benci terhadap dosa dicabut dari hati ini.

Janganlah hendaknya hilang rasa benci kami terhadap perkara-perkara maksiat.  Kerana rasa benci terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mata adalah kota pertahanan terakhir keimanan seseorang.  Yang lebih baik tentulah dengan menegur dan membaiki kemungkaran itu.  Ah, lemahnya iman hambaMU ini…
Oh ALLAH, peliharalah kami sekeluarga.  Jauhkanlah kami dari api nerakaMU, amin…

No comments:

Post a Comment