Monday 12 March 2012

BEZA ANTARA MERENDAH DIRI DAN MERASAKAN DIRI RENDAH.

Para pembaca yang budiman,
Antara sifat yang mulia ialah sifat merendah diri sesama insan lebih-lebih lagi kepada orang yang lebih rendah kedudukannya daripada kita. Mulialah manusia yang merendah diri. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tawaduk dan soleh. Dipesan oleh nenek moyang kita bahawa ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Ketahuilah para hamba Allah sekalian bahawa kedapatan manusia yang sanggup merendah diri dalam situasi umum tetapi tidak pula rela melihat manusia yang lebih rendah kedudukannya mengatasi mereka dalam situasi yang lain. Mereka mula rasa tercabar. Mereka terasa malu apabila pada suatu ketika orang yang dahulunya rendah tiba-tiba ditakdirkan naik kedudukannya melebihi dirinya. Kini orang seperti ini telah diganggui oleh rasa besar dirinya.

Justeru itu, pembaca yang beriman mesti benar-benar mempunyai jiwa yang zuhud dan tawaduk dalam merendah diri. Dan ketahuilah bahawa manusia yang lebih mulia  di sisi Allah Ta'ala ialah manusia yang merasakan dirinya rendah. Orang seperti ini tidak akan rasa hairan dan tergugat apabila ada manusia yang lebih rendah kedudukannya tiba-tiba diangkat oleh Allah berada pada kedudukan yang lebih baik daripadanya.  Dia tidak akan berasa apa-apa dan tidak juga merasakan bahawa Allah merendahkan kedudukannya kerana dia secara insaf dan zuhud merasakan dirinya memang kerdil, rendah dan berjiwa hamba kepada Allah s.w.t. Hanya dalam situasi begini manusia benar-benar bebas dari sifat riak, takabbur, ujub dan segala sifat yang hanya wajar dimiliki oleh Allah Yang Mencipta alam semesta.

Kata-kata hikmat:
Orang yang merendah diri ada ketikanya merasakan dirinya tinggi. Manakala orang yang merasakan dirinya rendah tidak sedar dirinya tinggi di sisi manusia dan Allah.

No comments:

Post a Comment