Saturday 17 March 2012

DAKWAH PAS DAN PENDATANG ASING

 
PAS telah sekian lama bergerak sebagai badan dakwah dan politik. Kedua-dua aspek ini berjalan seiring meskipun aspek politik kelihatan lebih menonjol. Ini adalah kerana kerja politik itu sendiri telah membawa bersama kerja dakwah. Melalui wadah politik, PAS berdakwah kepada rakyat jelata tentang peranan manusia sebagai khalifah, tentang kewajipan melaksanakan perintah Allah dan urusan pentadbiran dan pengurusan negara serta peranan warga dalam menterjemahkan Negara Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Namun penulis melihat peranan PAS masih terbatas tanpa kita disedari. Benar PAS telah memainkan peranan sama ada pada peringkat glokal atau global. PAS terlibat dalam gerakan Islam antarabangsa dan mengambil cakna tentang nasib serta hala tuju umat Islam di seluruh dunia. Namun, di dalam tanah air sendiri, PAS bagaikan tertinggal satu mad’unya iaitu pendatang asing yang kini berjumlah lebih 3 juta di Malaysia.

Para pendatang ini sama ada yang datang dengan izin atau tanpa izin perlu menerima dakwah. PAS mesti mendekati mereka tanpa bermusim dan sempadan. Justeru itu, PAS perlu menubuhkan satu lujnah khusus untuk menarik mereka kepada Islam dan pengamalan Islam dalam kehidupan yang mencakupi segala aspek. Oleh kerana bilangan mereka agak besar sewajarnya lujnah itu dijenamakan dan seterusnya boleh pula diwujudkan NGO PAS seperti mana Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah yang melahirkan ANAK pimpinan Saudara Mazlan Aliman.

Penubuhan lajnah dan NGO yang berperanan dalam pendatang asing ini semakin relevan kini. Bukan sahaja kerana kerja dakwah itu bersifat universal tetapi juga pendekatan BN sekarang yang cuba mengeksploitasi para pendatang asing ini untuk membantu kemenangan mereka. Cerita pendatang asing yang diberi kerakyatan mudah agar akhirnya dapat mengundi telah lama berlaku. Malah kini hal ini semakin berleluasa dalam usaha BN mengekalkan kuasa dalam PRU13.

Apakah usaha PAS untuk memberi mimpi ngeri kepada BN? Penulis berpandangan bahawa di samping mendedahkan dan menghalang perlakuan khianat BN dalam isu kerakyatan mudah bernuansakan politik kotor ini, PAS juga patut menarik ‘rakyat baru’ ini agar memahami politik Islam dan politik Malaysia. Ambil cakna dan prihatinlah akan kebajikan dan nasib mereka. Dekatkan mereka dengan cara hidup Islam termasuk politik Islam. 

Mereka juga berhak mendapat mesej PAS sebagimana warga Malaysia yang sedia ada. Akidah mereka perlu  diselamatkan. Bawalah yang belum Islam kepada Islam dan yang sudah Islam kepada cara hidup Islam. Pendatang asing sama ada yang telah menjadi ‘rakyat baru’ atau tidak,  akan bersama-sama dengan PAS apabila mereka mengerti akan perjuangan yang dibawa oleh PAS. Sebagaimana persempadanan semula menjadi mimpi ngeri buat BN pada PRU12, marilah kita bergerak pantas untuk mencipta mimpi ngeri kedua buat BN dengan terlepasnya Putrajaya daripada genggaman mereka.

No comments:

Post a Comment