Friday 10 June 2011

Himpunan BERSIH 2: Kejayaan Kulit Kacang Lagi?


- oleh BayangDiAir

Bukanlah satu kejayaan sebenar sekiranya BERSIH 2.0 berjaya menghimpunkan demonstran sejumlah 300 000 orang. Angka ini amat besar dalam mana-mana demonstrasi di Malaysia. Bilangan ini sukar untuk direalisasikan. Hal ini demikian bukan kerana bilangan rakyat yang sedar akan keadilan politik, sosial dan ekonomi sedikit. Sebaliknya  sekatan jalan raya, ancaman tindakan undang-undang dan tindakan rakus dan zalim pasukan keselamatan merupakan faktor penghalang untuk rakyat bangkit mengunjuk rasa. Kalaulah pasukan keselematan bertindak sebagaimana mereka toleran terhadap demonstrasi anjuran UMNO dan PERKASA, sudah pasti  300 000 orang amat mudah untuk dikumpulkan dalam situasi sekarang.

Andaikata   300 000 orang berjaya dipadukan dalam walk for democracy, penulis menasihatkan pemimpin dan penganjur BERSIH agar tidak mendakwa itulah kejayaan terbesar mereka. Jangan masing-masing bertepuk dada atas 'kejayaan kulit kacang' itu. Jangan memperbodohkan para demonstran. Demonstran tidak bergadai-bergolok  ke ibukota hanya kerana hendak merekodkan diri sebagai salah seorang daripada yang ramai itu. Mereka tidak datang untuk memuaskan hati penganjur dan pemimpin BERSIH.  Mereka datang bukan kerana hendak mencukupkan angka 300 000 orang. Ini mesti dimaklumi oleh pemimpin di atas sana.

Kehadiran mereka adalah kerana ingin mendesak kerajaan agar mempersembahkan  amalan demokrasi dan pilihanraya yang adil untuk mereka. Antaranya, penggunaan dakwat kuku, daftar pemilih yang bersih, media yang adil dan reformasi  undi pos. Kerajaan dan penguasa yang dungu belum tentu melayan tuntutan rakyat. Mereka seumpama penguasa di Mesir , Libya, Yaman dan Tunisia yang lebih rela melibas rakyat. Terpulanglah sejauh mana ketegaan rakyat dalam perjuangan mereka. Menyerah mudah kepada tuntutan rakyat tidak sekali.

Justeru itu, BERSIH 2.0 jangan usai hanya kerana  berjaya menghimpunkan 300 000 demonstran. Desakan tidak boleh berhenti pada 9 Julai 2011 sahaja. Momentumnya perlu  diteruskan dan diperkasakan. Bukankah Perhimpunan BERSIH yang pertama dahulu hanya menempa ‘kejayaan kulit kacang’? Nyatakan yang manakah salah satu daripada empat tuntutannya berjaya dijelmakan? Apakah BERSIH 2.0 juga ingin menguar-uarkan ‘kejayaan kulit kacang’ ini?

Kini rakyat khususnya demonstran mahu ‘kejayaan isi kacang’. Terpulanglah kepada penganjur dan pemimpin bagaimana hendak memobilisasikan langkah dan semangat mereka. Mereka akan turun. Mereka akan mengambil cuti. Kalau perlu mereka akan bergilir-gilir sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda-pemuda Mesir di Medan Tahrir. Mereka sanggup berkumpul lagi di ibu negeri masing-masing sekiranya peringkat negeri digerakkan.

Mengapakah mereka begitu tega kali ini? Wajarannya ialah tanpa ketelusan dan ketulusan demokrasi dan pilihanraya, mereka pasti bungkam dalam PRU13 nanti. Memadai undi pos, undi berganda, undi hantu, kad pengenalan palsu meranapkan segala-galanya. Bukan sahaja Putrajaya menjauh malah Selangor, Kedah, Kelantan mungkin terlepas daripada genggaman. Mereka tidak rela menelan kepahitan hanya kerana ditipu dan tertipu oleh demokrasi  yang palsu.

Kesimpulannya, BERSIH 2.0 kali ini mesti mengusahakan ‘isi kacang’ kepada rakyat. Isi kacang itu ada pada tangan penguasa. Tiada jaminan bahawa penguasa yang zalim akan  menghulur isi-isi kacang itu secara percuma kepada rakyat . Mereka sebenarnya suka mengajar rakyat dengan pesanan, “genggam bara api biar sampai menjadi arang”. Persoalannya ialah mampukah rakyat menggenggam bara api itu sehingga benar-benar menjadi arang?

No comments:

Post a Comment