Saturday 23 July 2011

Elak Dari Memalukan ‘Organisasi’ Sendiri

Sedang saya makan di sebuah restoran milik bumiputera, tiba-tiba terdengar suara ‘perdebatan’ di antara majikan restoran dan si pembancuh air.  Saya tidak dengar suara majikan tersebut, tetapi kedengaran jelas suara si pembancuh air itu dari meja tempat saya duduk.  Sambil menjamah nasi dan lauk tengahari, terpaksalah juga telinga mendengar drama siaran langsung yang menyakitkan telinga.  Malu saya mendengarnya.
Disebabkan suara si pembancuh air itu kuat, jadi dapatlah saya dengar inti ‘perbualan’ mereka.  Si majikan cuba menegur sikap si pembancuh air yang marahkan pekerja baru yang tulis order tak jelas.  Dengan sikap defensive si pembancuh air tersebut, diluahkan macam-macam kepada si majikan.
Aduhai, bukankah perkara seperti ini boleh diselesaikan di sebalik tabir?  Kenapa perlu dizahirkan suara itu dengan kuat sehingga boleh didengari pelanggan?  Tidak malukah dengan pelanggan dan orang lain yang mendengarnya?

Situasi Sama Dalam Lain-lain Organisasi

Situasi di atas bukan sahaja berlaku di restoran berkenaan sahaja.  Malah ia berlaku dalam mana-mana organisasi, tidak kiralah samada di restoran, di pejabat, di sekolah, di ejensi-ejensi swasta atau kerajaan, di dalam persatuan dan di dalam rumahtangga pun perkara ini juga berlaku.
Kita biasa mendengar ada pekerja yang memburuk-burukkan syarikat mereka sendiri.  Ada sebilangan kakitangan kerajaan yang mendedahkan rahsia kerajaan.  Juga ahli persatuan yang mendedahkan keburukan dan kelemahan persatuan mereka ke pengetahuan umum.  Isi mesyuarat yang sepatutnya tidak didedahkan, tetapi didedahkan, malah disebarkan.  Suami isteri yang menghebohkan masalah rumahtangga dengan rakan mereka.  Dan banyak lagi.  Amat menyedihkan.
Perkara seumpama ini berlaku disebabkan oleh sikap individu-individu di dalam organisasi tersebut yang mungkin tidak mempunyai ‘sense of belonging’ yang tinggi terhadap organisasi mereka.  Faktor yang mungkin menyebabkan ini terjadi adalah suasana kerja yang tidak kondusif, tekanan kerja, ganjaran yang tidak memuaskan, masalah dengan rakan sekerja dan sikap ahli organisasi itu sendiri.
Saya lebih suka melihat ini semua lahir dari sikap sendiri.  Kerana sikap memainkan peranan utama dalam banyak hal.  Sebab itu sangat penting masing-masing menekankan ‘human capital’ sebagai asas dalam organisasi mereka.  Tanpanya, maka akan wujudlah sikap seperti di atas, malah mungkin lebih teruk lagi sehingga menjadi liabiliti dan kemusnahan secara diam kepada sesebuah organisasi atau institusi.

ISLAM Terfitnah Dengan Sikap Ummat ISLAM

Sedang saya mendengar ‘perdebatan’ antara majikan dan pembancuh air itu, di hati saya terlintas akan sikap sebilangan besar ummat ISLAM yang suka bergaduh dan bertengkar, malah label-melabel di antara satu sama lain.  Kebanyakannya hanyalah timbul dari perbezaan pendapat dan pandangan dalam soal-soal cabang dan ijtihadiah yang sepatutnya boleh diselesaikan di sebalik tabir dan di meja-meja rundingan.
Fenomena ini memberi gambaran yang buruk kepada masyarakat yang belum beragama ISLAM.  Sikap keras kepala, suka menuding jari dan tuduh-menuduh, suka label-melabel dengan gelaran yang bukan-bukan, sesat-menyesatkan, malah ada yang sehingga kafir-mengkafirkan menggambarkan seolah-olah di dalam ISLAM ini tiada kesejahteraan dan keamanan buat penganutnya.  Tidak habis-habis bergaduh dan bertengkar.
Bersederhanalah, berukhuwwahlah dan beradablah.  Soal perbezaan pandangan dan pendapat ini telah diselesaikan oleh para ulama sekian lama dahulu.  Mereka telah berlapang dada dan saling hormat-menghormati.  Perbezaan mereka adalah dalam lingkungan ilmu dan adab.  Contohilah para ulama dalam hal ini.  Jangan lebih sudu dari kuah.
Cukup-cukuplah bergaduh.  Bukankah kita ini ummat yang satu, ummatan wahidah.  Tidak sepatutnya kita melupakan asas yang penting ini.  Janganlah disebabkan oleh perkara-perkara remeh dan ranting, kita berpecah belah.
  • Bersederhanalah.  Jangan terlampau keras dan jumud.  Dan jangan pula terlampau longgar dan liberal.
  • Jagalah ukhuwwah dan persaudaraan sesama Muslim.  Ia barang yang terlalu tinggi nilainya untuk dijual dengan ego masing-masing.
  • Jagalah akhlaq sebaik mungkin kerana akhlaq adalah buah agama.  Malah antara tujuan utama Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam diutuskan ialah untuk menyempurnakan akhlaq.
  • Sebarang perbezaan pendapat dan pandangan hendaklah dihadapi dengan adab dan ilmu.  Serahkan hal ini kepada orang yang berkelayakan.  Jangan kita yang tidak layak pun hendak cakap sama.

Kesimpulan

Apa yang ingin saya simpulkan di sini ialah bahawa janganlah kita jadi seperti majikan dan si pembancuh air restoran dalam mukaddimah di atas.  Anggaplah ISLAM sebagai organisasi yang kita sayangi dan perlu kita bela.  Malah ia sebenarnya bukan setakat organisasi, malah lebih besar dari itu.  Ia adalah hidup dan mati kita.
Jagalah ISLAM betul-betul dan jauhilah perkara-perkara yang boleh menyebabkan ISLAM tertimpa malu dek perbuatan kita.  Perbuatan ummat ISLAM yang asyik bergaduh dan bertengkar hanya akan memberi imej yang buruk kepada agama yang kita semua sayangi ini.  Orang lain iaitu orang-orang yang belum ISLAM melihat fenomena ini suatu yang menjengkelkan mereka.  Mereka geleng kepala.  Malah mungkin ada juga di kalangan mereka yang memusuhi ISLAM yang bergembira dan bertepuk tangan apabila ummat ISLAM bergaduh sesama kita.
Justeru, selesaikanlah perbezaan pandangan dan pendapat yang ada di kalangan ummat ISLAM dengan cara yang hikmah.  Jangan biarkan ISLAM dipalit perangai buruk kita lantas menjadi tontonan ‘orang luar’.  Contohilah para ulama bagaimana mereka bertoleransi dan berlapang dada dalam soal-soal ‘dahan dan ranting’.
Kita adalah ummah yang satu.  Janganlah rosakkan organisasi kaum muslimin yang sangat besar dan mulia ini.  Jangan jadikan diri kalian muslim yang mencomotkan ISLAM yang cantik ini.  Ayuh, kita bersatu.  Ada perbezaan, selesaikan di sebalik tabir dan berbincanglah.  Jangan beri malu kepada ISLAM akibat perbuatan kita.
WAllahu Ta`ala A`lam.

No comments:

Post a Comment