Tuesday 12 July 2011

Sentuhan Kosmetik Mula Dijanjikan Oleh SPR


- oleh BayangDiAir

Undi pos diubah nama kepada pengundian awal. Peti undi akan menggantikan sampul surat dan karung undi pos.   Penyeliaan proses pengundian oleh pegawai kanan polis dan tentera akan diambilalih oleh pegawai lantikan SPR. Ejen-ejen parti (calon) dibenarkan berada di pusat pengundian dari pagi hingga keseluruhan proses pengundian berakhir.  Sekiranya pengundian berterusan sehingga dua atau tiga hari, dalam sesetengah kes, peti undi akan disimpan di pejabat pegawai pengurus pilihan raya.

Sudah penulis katakan dalam tulisan terdahulu bahawa perubahan kosmetik akan dilakukan oleh kerajaan BN dan SPR bagi mengabui mata rakyat. Bolehkah kita percaya kepada kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang cakapnya sealiran dengan citarasa  UMNO ini. 

Sudah banyak kenyataannya menjurus kepada menegakkan benang basah UMNO. Justeru itu, yakinkah rakyat bahawa beliau tidak berperanan untuk memenangkan UMNO dalam PRU13 nanti? (Harap beliau meletakkan jawatan atau lantik sahaja SPR baru yang lebih meyakinkan.)
Mengapa perubahan kosmetik direncanakan oleh beliau? Ya, sedikit sebanyak Himpunan 

Bersih 2.0 telah menampakkan impaknya. Maklumlah, baru dua hari berlalu Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ini telah berubah nada. Bukankah sebelum ini beliau tidak melayan sebarang dakwaan dan tuntutan Bersih?

Faktor utamanya ialah untuk meredakan kemarahan sambil-sambil memukau perhatian rakyat. Mustahil ‘ikon hitam’ ini tidak akses kepada item-item reformasi undi pos yang dituntut. Bukankah Bersih 2.0 mahu sebahagian besar dari hampir 300 000 pengundi pos dikeluarkan agar mereka dapat mengundi secara biasa? Apa rasionalnya isteri tentera dan polis dimasukkan ke dalam kategori undi pos? Apakah halangan-halangan bagi polis dan tentera yang tidak berada di perbatasan untuk turun mengundi dalam area tak sampai 10 km dari kem atau kediaman mereka?

Bagimana pula larangan berkempen terhadap pemimpin Pakatan Rakyat di kem dan kediaman mereka tetapi dalam  masa yang sama PM, TPM dan  menteri-menteri boleh saban ketika mengadakan program, taklimat dan aktiviti yang menjurus untuk memasung fikiran dan undi mereka kepada UMNO/BN?

Ini baru satu kosmetik yang tergesa-gesa dikenakan oleh pegawai bergaji besar ini. Mungkin akan ada lagi gincu, bulu mata palsu, eyeshadow malah rambut palsu bagi menunjukkan SPR adil, telus dan tulus. Maka kemenangan BN nanti tidak wajar dipertikaikan lagi?

Ada tujuh lagi tuntutan yang belum disentuh oleh ‘peludah warna’ SPR. Mungkin mereka menunggu arahan atau lampu biru daripada bos mereka di puncak Putrajaya sana. Mana berani buat memandai tanpa restu bos. Sama-samalah kita tunggu dalam masa terdekat kenyataan-kenyataan terbaru daripada kerajaan BN dan SPR. Kalau semuanya lebih berbentuk kosmetik, baik kita ganyang sahaja ke muka SPR ni. Dan yang lebih menyakitkan ialah tidak mungkinkah pembaharuan yang dihasratkan itu tiba-tiba tidak dilaksanakan apabila tiba saatnya dengan pelbagai alasan . Lupakah rakyat pada janji ( malah sudah habis jutaan ringgit beli dakwat kuku) untuk menggunakan dakwat kuku semasa pengundian ketika PRU12 dulu? Lupakah kita alasan ( pembohongan) SPR yang bermain kotor itu?

Penulis teruja dan menunggu kata-kata keramat Tuan Guru Presiden PAS. Beliau telah melafazkan kata-kata, “BERSIH 2.0 hanya permulaan kepada satu perjuangan yang akan mencapai kemenangan. Keputusan seterusnya terletak kepada kerajaan. Kita akan terus bangkit dengan lebih gagah sama ada sebelum atau selepas PRU13”.

No comments:

Post a Comment