Saturday 2 July 2011

MAKAN GAJI ATAU MAKAN KEDARAH?

- oleh BayangDiAir

Makan gaji cantik. Nak tanggung anak bini. Kerja beretika. Ikut peraturan, berdedikasi dan jujur pada tugas. Kerja cari makan cara halal ni mulia. Apalagi nak laksanakan tanggungjawab sara keluarga. Islam pandang tinggi. Kerja kerana Allah jadi ibadat. Tapi ada orang kerja membabi buta. Nak jaga isi perut. Juga nak tanggug anak bini. Babi buta ni akan sapu segala yang terlintas di depan mata. Peluang naik pangkat dikejar. Naik pangkat gaji meningkat. Kerana nak naik pangkat kena jaga hati bos. Kena ampu bos. Kena pertahankan bos. Bos betul atau salah tak penting. Kerja macam ini bukan lagi dinamakan kerja makan gaji. Ini dipanggil kerja makan kedarah.

SPR kerja di bawah bos. Bos beri gaji. Bos tentukan naik pangkat. Polis kerja di bawah bos. Polis disiplin tinggi. Tak ingkar arahan bos. Bos beri makan. Hatta mufti yang tahu agama juga di bawah ketiak bos. Pegawai jabatan agama semua berada di bawah bos yang sama. SPRM, JPN, RTM, UITM semua ada bos. Bos yang sama. Bos yang sama bayar gaji. Bos yang sama menentukan kenaikan pangkat. Masakan mahu lawan bos. Masakan berani lawan bos. Kerana tak beranilah maka ikut kata bos. Arahan bos yang salah dari segi hukum dunia diikut. Malah yang salah dari segi hukum agama pun diturut. Maklumlah, bos itu menjadi tuan yang menentukan kerja makan kedarah tadi. Puak-puak makan kedarah ini hanya pedulikan kehendak dan arahan bos. Mereka tak pedulikan Tuhan. Bila bos arah walaupun salah di sisi Tuhan, puak makan kedarah tetap patuh. Tetap ikut.

Kerana makan kedarah, orang boleh tangkap orang tanpa waran. Kerana makan kedarah, orang boleh berhujah bahawa 88 orang dalam satu rumah bukan pengundi hantu. Kerana makan kedarah, orang boleh tutup kes rasuah pemimpin. Kerana makan kedarah, orang boleh halalkan penyiaran video lucah. Kerana makan kedarah, orang boleh reka khutbah taatkan pemimpin walaupun rasuah. Sampai bila mahu kerja makan kedarah?

Makan kedarah makan duit rakyat. Duit cukai rakyat itulah yang dibayar untuk dikedarah. Kalau kerana makan gaji, rakyat redha. Kalau kerana makan kedarah, satu sen pun rakyat tidak redha. Makan duit haram orang tidak redha. Makan hasil kedarah tetap menjadi darah. Darah menjadi daging. Menjadi tulang. Menjadi perut lendir. Darah, daging, tulang dan perut lendir adalah komponen yang haram kerana makan duit yang tidak dihalalkan. Siapa yang halalkan kalau kerja kamu jenis kerja makan kedarah? Tak halal dunia akhirat.

Berhentilah kerja makan kedarah. Kerjalah dalam kaedah makan gaji. Biarlah rakyat yang menjadi pembayar cukai redha. Biarlah Allah redha. Rakyat redha pegawai yang benar dalam tindakan. Kalau mahu redha rakyat, jangan tangkap orang sewenang-wenang. Jadilah pengadil di atas padang yang rata dan seimbang. Jangan menjadi lidah syaitan. Amalkan kaedah ihsan. Kalau tak nampak Allah dengan mata batin, yakinlah bahawa Allah tak putus memandang kalian.

 
Tuntasnya,  pertama; pilihlah  kerja makan gaji , bukan  kerja makan kedarah. Yang satu diredhai dan dihalalkan. Manakala yang satu lagi,  satu sen tidak diredha dan tetap diharamkan. Jangan suap mulut anak bini dengan duit makan kedarah. Tidak berkat. Kena laknat oleh seluruh rakyat.  Kedua; menteri, polis, pegawai SPR, pegawai SPRM, pegawai RTM, mufti, pegawai agama dan sesiapa sahaja yang bekerja dengan kerajaan, ingatlah bahawa bukan UMNO yang bayar gaji kalian. Kenapa bekerja untuk UMNO yang muntah kedarah?


No comments:

Post a Comment