Monday 18 July 2011

Isu Hiburan Bukan Situasi Menang-Menang


 - oleh BayangDiAir

Ini soal bukan hendak menang pilihanraya seperti ulasan Dr. Aziz Bari.? Ini soal hukum. Penulis tidak bersetuju sekiranya sesuatu isu itu dipandang dan ditangani kerana kepentingan politik semata-mata. Bukan kita tidak mahu kemenangan. Memang kita berpolitk dan berjuang kerana hendak menang. Kalau untuk kalah, baik duduk kat rumah bermain sama dengan anak bini saja. Ini persoalan hukum. Kalau Islam mengizinkan bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka, mengapa kita hendak memaksa norma kita ke atas mereka? Sebaliknya, jika kita wajib melaksanakan hukum Islam kepada semua rakyat jelata tanpa kira bangsa dan agama, mengapa pula ditarik balik ketegasan kita? Tentulah salah satunya tidak betul di sini.

Kita tidak tahu duduk perkara sebenar. Adakah media UMNO telah memanipulasikan kenyataan MB Kedah atau sememangnya kerajaan Kedah berkeras ingin melaksanakan enakmen kawalan operasi pusat hiburan ini. Daripada maklumat awal yang penulis perolehi, memang MB Kedah berazam untuk menutup terus operasi pusat hiburan pada bulan Ramadhan nanti. Maksudnya, semua orang sama ada Islam atau bukan Islam tidak dibenarkan meneruskan operasi hiburan atau  mengunjungi tempat maksiat itu.

Maka berlakulah apa yang telah kecoh sehari dua ini. DAP melenting sama dengan MCA dan Gerakan. Karpal Singh bagai kehabisan ubat penenang lagi. Ugutan untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat disuarakan lagi. Kali ini oleh Tony Phua. Hebat sungguh desakan sahabat Pakatan Rakyat ini. Setelah rundingan  diadakan dengan pengusaha pusat hiburan, kerajaan PAS Kedah bersetuju untuk melaksanakan ‘situasi menang-menang’. Pengusaha bersetuju untuk menutup pintu kepada pengunjung yang beragama Islam.

Persoalannya ialah, mengapa rundingan  menang-menang ini tidak dilakukan awal-awal lagi sebelum  keputusan yang nampak tegas dibuat? Kalaulah rundingan mendahului  kenyataan, sudah pasti suasana tidak kecoh dan melukakan hati kedua-dua belah pihak; PAS dan bukan Islam. Bagi penulis, ini bukan lagi situasi menang-menang. Imej PAS sudah tercalar pada mata rakyat kerana kelihatan mengalah kepada ugutan DAP.

Ustaz Azizan  saja cari pasal. Keputusan untuk membenarkan pusat hiburan beroperasi dengan syarat sekatan kepada umat Islam sepatutnya diputuskan  awal-awal lagi. Beliau  juga seorang  ulama dalam PAS. Tentunya beliau tahu hak-hak bukan Islam. Maka apabila beliau cuba memaksa bukan Islam menerimapakai cara hidup Islam, tentulah bercanggah dengan ‘tiada paksaan dalam beragama’.

Bagi penulis, Ustaz Azizan telah mencipta persepsi buruk umat terhadap  PAS. Orang tak kata Ustaz Azizan selalu mengalah pada DAP. Mereka kata PAS lemah dan menjadi kuda tunggangan DAP. Hujah penafian PAS lemah apabila semakin  kerap PAS berundur apabila diterjah oleh DAP. Rakyat tengok kelemahan PAS melalui media yang sedia mengangkat isu-isu seperti ini. Persoalannya, tidak mampukah Ustaz Azizan merujuk pandangan Dewan Ulama PAS Pusat? Apakah beliau telah merasakan cukup dengan  kuasa prerogatif dan taraf ulama yang ada padanya sehingga tidak perlu lagi merujuk kepada sahabat-sahabat dalam Dewan Ulama PAS Pusat?

Karpal Singh pula sampai bila tak habis-habis dengan perangai tak senonohnya.  Mudah sangat melenting dalam isu-isu agama. Sebagai pemimpin yang rumah kata pergi, kubur kata mari, sebaiknya matanglah sikit dalam bertindak. Bagai menari rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Bukankah kita ada Majlis Pakatan. Bawalah berbincang. Buat apa memberi peluru kepada Barisan. Menyampah betullah. Cerdik bodoh macamlah Abu Nawas. Hari tu sudah kena sebiji oleh TG Nik Aziz. Kata Tuan Guru, “ada bulan di dada Karpal Singh”. Sinis dan cukup pedas.  Mudahnya keegoaan seorang peguam dihunjam oleh seorang ulama.

Konklusinya, sampai bilakah isu-isu agama ditangani secara semberono begini? Sampai bilakah kita hendak mengamalkan ‘buat keputusan, kemudian baru berunding? Dan sampai bilakah DAP akan terus bermain-main dengan ugutan? Awas, kita lalai sedangkan rakyat sedang membina persepsi.

Akhir kalam, penulis memohon ampun kepada Allah s.w.t. sekiranya pandangan penulis yang daif ini menyalahi hukum. Juga penulis memohon maaf kepada Ustaz Azizan sekiranya penulislah yang bersikap semberono dalam mengulas isu ini. Penulis sedia diperbetulkan.

No comments:

Post a Comment